Disember 4, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 7 Apr. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi telah turun padang menjalankan aktiviti berkonsepkan tanggungjawab sosial dan kali ini ianya lebih bermakna apabila dipilih untuk menjalankan kerjasama dengan TV3 dalam Program TV3 Bersamamu Tanggungjawab Sosial Universiti dan Korporat: Jaringan Industri Landskap menceriakan halaman rumah pesakit kanser.

Pada 17 Mac 2019, Universiti Teknologi Malaysia International yang diketuai oleh Prof Madya Dr Mohd Ariffin Abu Hassan bersama staf Senibina Landskap, Fakulti Alam Bina dan Ukur telah terpanggil untuk terlibat dalam rakaman Program TV3 Bersamamu dalam usaha meringankan bebanan keluarga En Johan Zainal dan Puan Shamsiah dari Kampung Tanjung Piai, Serkat Pontian.

Adik Muhammad Syukri Johan, 9 tahun yang merupakan anak bongsu dari dua beradik, mengidap penyakit kanser di tahap 4 yang memerlukan kos rawatan dan pembedahan yang tinggi.

Pengarah Senibina Landskap, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) UTM, LAr Dr Sapura Mohamad melahirkan ucapan terima kasih di atas kesempatan dan kepercayaan yang diberikan oleh UTMI untuk turut serta dalam sumbangan tersebut.

FABU telah memberi sumbangan dalam rekabentuk landskap hasil daripada kerjasama pelajar dan pensyarah Jabatan Senibina Landskap, FABU, UTM dengan badan professional, Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) Southern Chapter dan pihak industri landskap iaitu Sunway Paving Solutions Sdn Bhd., Nature Landscaping Sdn Bhd., Tropics Design dan EDUP Design.

Sumbangan juga turut diberi dalam bentuk wang ringgit, idea rekabentuk, tenaga pekerja, bahan tanaman, tanah dan pengangkutan.

Kerjasama rekabentuk dan pembangunan landskap ini diharapkan dapat meningkatkan keceriaan persekitaran rumah ini bagi membantu adik Muhammad Syukri untuk lebih ceria dan gembira apabila berada di luar rumah.

Ini membuktikan jaringan kerjasama antara universiti, badan professional, industri dan komuniti amat penting di dalam merealisasikan satu-satu pembangunan agar ianya dapat dinikmati bersama.

Aktiviti ini telah disiarkan dalam slot Program TV3 Bersamamu pada 7 April 2019 jam 6:30-7:00 petang.

Ia telah merakamkan keprihatinan UTM untuk turut serta membantu meringankan penderitaan pesakit kanser melalui sumbangan wang dan juga tenaga kepakaran bidang senibina landskap.

Keprihatinan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terhadap isu-isu kemanusiaan merupakan antara nilai utama yang sering diterapkan di kalangan warga IPT.

 

Explore More