Disember 26, 2024

KUALA LUMPUR, 7 Apr.– Seramai 20 orang pensyarah dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah Sekretariat Mahasiswa Anak Johor (SMAJ) melakukan sesi kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Pertanian dan Asas Tani untuk membincangkan peranan, hala tuju dan perancangan strategik Persatuan Mahasiswa Anak Johor serta menjemput Menterinya, YB Dato’ Salahuddin Bin Ayub untuk hadir ke UTM bagi melihat penyelidikan dan inovasi yang telah dilaksanakan.

Perkara yang dibincangkan tertumpu kepada peranan dan halatuju Persatuan Mahasiswa Anak Johor di setiap universiti, bagaimana kementerian pertanian dan asas tani melihat peranan pelajar dalam bidang agropertanian dan membentangkan hasil hasil projek penyelidikan dan inovasi yang telah dilakukan oleh pelajar dan pensyarah UTM.

Delegasi yang terdiri daripada Persatuan Mahasiswa Johor UTM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini telah berkerjasama bagi memastikan kejayaan program ini.

Merancang persiapan program ini sejak tiga bulan yang lalu, persetujuan yang diberikan oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani adalah satu peluang dan ruang buat mahasiswa Johor untuk mendekati ikon pemimpin Johor yang dihormati dan disegani.

Pengarah Program, Muhammad Danish, pelajar Tahun Satu dalam bidang Kejuruteraan Kimia berhasrat dengan penganjuran program sebegini, universiti dan masyarakat dengan Kementerian tiada lagi sempadan dan dapat bekerjasama demi pembangunan negara.

Pelajar tahun Dua Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Umar Mahfudz yang juga merupakan Presiden SMAJ 2019 menyatakan program yang dianjurkan oleh Sekretariat Anak Johor (SEJATI) berunsur holistik dan tidak spesifik kepada satu-satu bidang.

Program ini dapat membentuk dan mencungkil bakat pemimpin muda supaya cakna dengan isu-isu semasa sekaligus mengimbangkan peranan mahasiswa dalam kemajuan ekonomi, politik dan sosio-budaya negara.

Penasihat SEJATI, Prof Madya Othman Bin Ibrahim berpendapat ini merupakan satu langkah yang efektif di mana mahasiswa universti melawat Kementerian dan bertemu mata dengan Menteri dan menonjolkan dan mengetengahkan hasil kajian dan inovasi UTM yang boleh membantu produktiviti pertanian dan asas tani.

Program tersebut juga telah dipantau oleh Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip selaku Felo Penyelidik Institut Human Centred Engineering (iHuMen) dengan menitikberatkan aktiviti pemindahan ilmu, percambahan minda dan perkongsian ilmiah bersama Kementerian Pertanian dan Asas Tani secara menyeluruh demi memastikan kemajuan pertanian dan asas tani negara.

Seketeriat Mahasiswa Johor selaku tuan rumah program ini telah melakukan raptai awal di UPM bersama persatuan mahasiswa johor yang lain pada sesi sebelah pagi sebelum pertemuan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang  di lakukan pada sesi sebelah petang.

Ini bagi memastikan masa yang telah diperuntukkan oleh Menteri iaitu selama satu jam untuk perjumpaan ini digunakan secara bermanfaat dan pembentangan yang dilakukan memberi impak kepada kedua-dua belah pihak.

Peluang dan ruang ini hanya datang sekali dan perlu digunakan sebagai medium platform penghubung kementerian dengan universiti melalui persatuan pelajar.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia YB Tuan Muhammad Faiz Fadil turut hadir bersama untuk bertemu pemimpin muda yang terdiri daripada kalangan SMAJ tiga buah universiti utama iaitu UTM, UPM dan UIA.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan sangat berbesar hati kerana dapat bertemu dengan mahasiswa dan membincangkan isu- isu semasa berkenaan kehidupan pelajar di Universiti.

Turut berkongsi pengalaman kerja dan pengalaman beliau sendiri sebagai pelajar universiti, YB Tuan Muhammad Faiz Fadil memberi nasihat kepada pelajar agar sentiasa berjiwa besar dan menerimaan keterbukaan dalam perbincangan dan perdebatan.

Menurut beliau, mahasiswa juga perlu sentiasa berani dalam menyatakan pendirian dan sentiasa menuntut ilmu.

Program kunjung hormat ini juga melibatkan pembentangan hasil penyelidikan dan inovasi yang telah dilaksanakan di UTM.

Sebagai contoh di dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Ekuin UTM, bekas alumni UTM dan SEJATI iaitu saudari Ummi Habibah dijemput bersama ke program ini untuk membentangkan hasil kajian penyelidikan beliau.

Kini bekerja di syarikat makanan kuda yang terkemuka dan tersohor di Asia, Syarikat Equine Nutrition Australasia Sdn Bhd. (ENA), beliau turut berkongsi pengalaman dalam melakukan penyelidikan makanan kuda semasa pengajian beliau.

Ia adalah menjadi satu kebanggaan apabila hasil kajian alumni UTM ini dijadikan rujukan utama ENA dalam bidang pemakanan kuda dimana makanan kuda yang dihasilkan juga dieksport ke luar negara.

Selain itu, mantan Presiden SEJATI juga iaitu Pemenang Anugerah Tokoh Siswa 2019, Syafik Rahmat iaitu merupakan pelajar tahun akhir Sekolah Komputeran telah membentangkan program-program 2018 yang telah dilaksanakan oleh SEJATI dan juga menggunakan platform ini untuk membentangkan produk SEJATI yang telah berjaya memperolehi anugerah akademik seperti Anugerah Naib Canselor iaitu saudari Ayu Alimon, anugerah Pelajaran Diraja iaitu saudari Nurzariyatul Syahirah Bt Masrol dan Anugerah Institute Kimia iaitu saudari Aina Hazimah Bt Bahaman.

Presiden SEJATI 2019 iaitu Umar Mahfudz juga telah membentangkan perancangan strategik SEJATI iaitu untuk mewujudkan Exco Agropertanian dan akan merancang program laman mini herba di bangunan V01 di Fakulti Kejuruteraan.

Pasukan pensyarah dan pelajar UTM juga telah menyerahkan cenderahati khas berbentuk kuda kepang kepada YB Dato’ Salahuddin Bin Ayub sebagai tanda penghargaan.

Pada hari terakhir delegasi pasukan pensyarah dan pelajar SEJATI telah melakukan Kembara Diskusi Mahasiswa Johor untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama-sama kepimpinan Bahagian Pembangunan Mahasiswa KPM.

Turut bersama-sama ialah Pengarah Pembangunan Mahasiswa JPT, YBrs. Dr. Zaid Omar, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Pembangunan Nasional, YBhg. Dato’ Barkhiya Shahirudin dan kepimpinan kanan yang lain untuk berdiskusi secara santai bersama-sama SEJATI.

Antara topik perbincangan adalah berkenaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, student union dan keterlibatan pelajar.

Di kesempatan tersebut delegasi SEJATI juga telah melawat ke booth Robocon UTM untuk memberi sokongan kepada pasukan universiti dalam pertandingan Robocon Malaysia 2019.

Semua laporan ini akan diserahkan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Asas Tani, pihak iHuMen dan UTM.

 

Disediakan oleh:

Dr Hadafi Fitri Mohd Latip

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan

Felo penyelidik Institut Human Centred Engineering

Felo Kolej Tun Dr Ismail

 

Explore More