JOHOR BAHRU, 21 Mac — Sebanyak 200 pek makanan dan minuman percuma telah diedarkan kepada mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menjayakan program makanan percuma anjuran Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) universiti itu.
Program yang dinamakan sebagai ‘HEK Prihatin- Free Food’ itu telah berlangsung di susur laluan antara Perpustakaan UTM dan juga Masjid Sultan Ismail (MSI), UTM Johor Bahru.
Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM ,Prof. Madya Dr. Zaleha Abdullah berkata usaha pengedaran makanan percuma ini adalah satu bentuk inisiatif bantuan pihak universiti kepada mahasiswanya dengan tujuan meringankan beban.
“UTM telah pun memulakan bantuan makanan percuma ini sejak awal tahun 2018 dan kami tetap meneruskannnya sehingga kini.
“Kami di HEK telah memainkan peranan untuk menjadi Pusat Tanggungjawab (PTJ) pertama pada tahun 2019 untuk memberikan bantuan kepada mahasiswa UTM dan berharap agar lebih ramai lagi PTJ lain yang akan menyertai usaha ini,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan untuk HEK mengadakan lagi program seumpama ini di masa hadapan, Dr. Zaleha berkata bahawa beliau tidak menolak untuk kemungkinan itu kerana memang menjadi hasrat semua PTJ dalam UTM untuk membantu mahasiswanya dari semasa ke semasa.
“Program ini merupakan salah satu inisiatif universiti untuk membantu dan meringankan beban mahasiswa UTM.
Dengan penganjuran ini diharap lebih banyak lagi program seumpama ini diadakan oleh rakan PTJ agar kebajikan mahasiswa sentiasa terjaga.” tambah beliau.
Antara PTJ yang telah menganjurkan program ini di UTM ialah Pejabat Naib Canselor, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan juga Sekolah Pendidikan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).