JOHOR BAHRU, 3 Mac — 100 orang mahasiswa Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berpeluang membuka mata dan mengetahui lebih lanjut tentang cara pemilikan rumah buat kali pertama apabila mereka menyertai Program Tips Pemilikan Rumah Pertama atau dikenali sebagai IM EduHome 2019.
Program ini merupakan anjuran Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Perumahan, Malaysia Institute of Planner Southern Branch dan Persatuan Pengurusan dan Penilaian Harta Tanah (PEHARTA).
IM EduHome 2019 bertindak sebagai program motivasi untuk mendidik pelajar ke dunia nyata tentang kefahaman dan isu-isu semasa berhubung perumahan mampu milik, pasaran perumahan peranan kerajaan dalam pembangunan rumah mampu milik dan memiliki rumah pertama.
Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan jumlah peserta seramai 200 orang dan ianya terdiri daripada 100 orang pelajar UTM serta 100 orang peserta lagi terdiri daripada orang awam.
Program ini disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pembangunan Sosial Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Cik Suhaily Abdul Hamid, diiringi oleh Ketua Penolong Setiausaha, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Perumahan, Puan Tazrina binti Ahmad dan Town Planner Nur Faizal bin Abdullah sebagai wakil daripada Malaysia Institute of Planner Southern Branch.
Pada masa yang sama, turut menjayakan program ini adalah Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Ali yang merupakan Pengarah Pengurusan Perniagaan dan juga Pensyarah di Fakulti Alam Bina dan Ukur serta akhir sekali turut hadir bersama ialah Sifu Hartanah dari MUKA BUKU iaitu Dr. Azizul Azli Ahmad.
Sepanjang program ini berlangsung, para peserta memperoleh banyak informasi yang disampaikan oleh para jemputan dan antara tajuk yang dikongsikan ketika program tersebut adalah Kerangka Strategi Perumahan yang Berpacukan Pasaran yang disampaikan oleh Prof. Sr. Dr. Hishamuddin, Puan Tazrina Ahmad berkongsi mengenai Perumahan Mampu Milik oleh Kerajaan Negeri Johor,
Perancangan Pembangunan Perumahan Mampu Milik di Iskandar Malaysia oleh Town Planner Nur Faizal dan penyampaian yang paling dinanti-nantikan oleh para peserta ialah Tips Pemilikan Rumah Pertama yang dikongsikan oleh “Sifu Hartanah” iaitu Dr Azizul Azli Ahmad.
Program ini diakhiri dengan ucapan penutup daripada Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur iaitu Prof Dr. Hamdan bin Haji Ahmad sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam menganjurkan program IM EduHome 2019 di UTM.
Hasil maklum balas daripada para peserta yang terlibat mereka berasa bertuah kerana terpilih dan mendapat peluang untuk menyertai program ini kerana mereka memperoleh banyak info mengenai cara pemilikan rumah buat kali pertama dan berharap agar program ini dapat dijalankan lagi dari semasa ke semasa.