Mei 8, 2024

Search
Close this search box.

JPA Pertimbang Usaha Perkasa Perkhidmatan Awam Malaysia – KPPA

JOHOR BAHRU, 2 Nov. – Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) sedang dalam usaha untuk memperkasakan perkhidmatan awam di samping meningkatkan tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Borhan Dolah berkata langkah ini juga diambil dengan matlamat mahu melahirkan anggota perkhidmatan awam yang mampu memberikan komitmen yang berterusan kepada rakyat dan negara di samping bersifat daya saing tinggi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bertajuk ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’ yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru pagi tadi.

Turut hadir ialah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus dan Pemangku Pendaftar, Abdul Razib Hj. Shahuddin.

Datuk Seri Borhan berkata penambahbaikan yang dilakukan ini adalah untuk menyahut seruan kerajaan yang ingin mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi pemerintahan negara kerana ia adalah teras kepada kestabilan negara dan kemakmuran ekonomi.

“Apabila rakyat telah hilang kepercayaan kepada institusi kerajaan, maka akan timbullah pelbagai permasalahan yang merumitkan pemerintahan dalam sesebuah negara itu seperti masalah ketidakstabilan politik, proses pertumbuhan ekonomi yang terganggu dan juga bermacam-macam masalah sosial,” katanya.

UTM ialah Universiti Awam (UA) pertama yang dilawati Datuk Seri Borhan sejak dilantik sebagai KPPA ke-22 Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia berkuatkuasa 13 Julai 2018 yang lalu.

Datuk Seri Borhan Dolah (lima kiri) bergambar kenangan bersama Pengurusan Tertinggi UTM selepas menyampaikan ucapan di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Explore More