November 18, 2024

Search
Close this search box.

13 guru pelatih Indonesia jalani latihan mengajar di bawah program kerjasama UTM- Universitas PGRI Semarang

JOHOR BAHRU, 10 Julai 2018 – Sebanyak 13 orang bakal guru dari Indonesia akan menjalani latihan mengajar selama sebulan di bawah program Sit-In Latihan Mengajar Antarabangsa Batch 4, 2018 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – Universitas PGRI Semarang, Indonesia.

Kesemua peserta program dari seberang itu akan menjalani latihan praktikal mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 dan juga SMK Skudai, Johor Bahru selama sebulan bermula 10 Julai 2018 sehingga 9 Ogos 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Latihan Praktik, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Mohd Ali Ibrahim berkata Sekolah Pendikan fakulti berkenaan telah bekerjasama dengan universiti dari negara jiran itu bagi memberikan pendedahan kepada bakal guru dari republik itu.

“Program seumpama ini adalah amat penting bagi membolehkan graduan ini mengambil peluang bagi menimba pengalaman mengajar dan menambah pengetahuan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

“Kami juga telah memohon kepada kedua-dua sekolah yang bakal menjadi tempat latihan kepada bakal guru-guru ini menjalani latihan praktik supaya memperuntukkan 4-6 waktu pengajaran dalam kelas mengikut pengkhususan masing-masing,” katanya.

Para pelajar di sekolah-sekolah berkenaan juga akan didedahkan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara ‘team teaching’ dengan guru pembimbing (mentor) yang terdiri dari pendidik berkelayakan dan berpengalaman.

Dari 13 bakal pendidik yang menuntut di PGRI-Semarang ini, seramai enam orang berlatarbelakangkan pendidikan Bahasa Inggeris, empat Pendidikan Fisika (Fizik), satu pendidikan Matematika (Matematik) dan dua Sains Sukan.

Mohd. Ali (paling kanan) ketika menerima kunjungan delegasi Universitas PGRI Semarang di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM Johor Bahru. Seramai 13 orang pelatih guru dari universiti Indonesia itu akan menjalani latihan praktik mengajar di Johor Bahru selama sebulan.

Explore More