November 22, 2024

Search
Close this search box.

Kemudahan pembelajaran dan pengajaran di UTM bertaraf tinggi – Graduan

JOHOR BAHRU, 28 April 2018 – Kemudahan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang terdapat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah lengkap, bertaraf tinggi dan sesuai dengan keperluan terkini.

Di samping kemudahan penyelidikan dan pembangunan, kemudahan pengajaran dan pembelajaran juga berada di tahap yang terbaik.

Bercakap mengenai kemudahan pengajaran dan pembelajaran di UTM, dua graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Majlis Konvokesyen ke-60 berkata kemudahan tersebut adalah yang terbaik pernah ditemui sepanjang pengajian mereka.

Bagi Dr. Siti Maisarah Aziz yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Fizik, berkata beliau tidak menafikan bidang yang dipelajarinya memerlukan beliau melakukan analisa sampel di makmal penyelidikan dalam kampus.

“Saya amat berpuashati dengan kemudahan makmal yang disediakan yang sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih serta peralatan yang sentiasa sesuai dengan keperluan semasa.

“Tidak dapat saya bayangkan jika tiada kemudahan makmal penyelidikan ini sudah tentulah saya tidak dapat menyiapkan tesis kerana gagal menjalankan ujian sampel. Caj yang dikenakan adalah RM100.00 dan masih berpatutan jika dibandingkan dengan makmal penyelidikan swasta,” katanya.

Rakannya, Dr.Imran Ullah juga bersetuju dengan kenyataan Dr. Siti Maisarah mengenai kemudahan penyelidikan sepertimana yang terdapat di UTM.

“Saya mengambil bidang matematik dan perlu merujuk kepada beberapa bahan rujukan yang terdapat di perpustakaan.

“Sungguh pun bidang matematik tidak perlu masuk ke makmal penyelidikan tetapi saya masih perlu untuk membuat rujukan di perpustakaan,” katanya.

Menurutnya lagi, kemudahan rujukan yang terdapat di perpustakaan UTM adalah yang terbaik pernah ditemuinya bahkan lebih baik dari universiti di negara kelahirannya, Pakistan.

Perpustakaan UTM katanya mempunyai koleksi rujukan kertas kerja yang boleh diakses pada bila-bila masa di samping juga rujukan dari Universiti Awam (UA) yang boleh diakses dari sini.

Di samping kemudahan pembelajaran dan pengajaran, para pensyarah di UTM juga bersifat baik hati dan juga tidak keberatan untuk dirujuk seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan dalam pengajian masing-masing.

Kedua-dua graduan ini telah berjaya menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang dan dianugerahkan dengan Anugerah Canselor.

Dr. Siti Maisarah Aziz bersama dengan rakannya, Dr. Imran Ullah selepas menerima anugerah masing-masing di Majlis Konvokesyen UTM ke-60 di Skudai semalam.

 

Explore More