JOHOR BAHRU, 28 April 2018 – Peranan penting yang dimainkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam membantu kerajaan negeri Johor menjayakan strategi Gagasan Johor Berkemajuan adalah sangat dialu-alukan.
Ini disebabkan UTM telah memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan sumber manusia yang berkemahiran, profesional dan berpengetahuan tinggi di negeri Johor.
Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Canselor UTM, bertitah peluang ini seharusnya dimanfaatkan oleh warga UTM bagi tujuan menjalin kerjasama penyelidikan dan merebut peluang pekerjaan.
“Warga akademik di UTM harus mengambil peluang kerjasama ini baik dalam bentuk khidmat perundingan, penyelidikan dan pembangunan, latihan dan pembangunan mahupun penerbitan.
“Bagi para graduan pula, harus merebut peluang pekerjaan ini dan menyahut cabaran bagi menyertai bidang keusahawanan,” titah baginda dalam pembukaan Majlis Konvokesyen UTM ke-60 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pagi tadi.
Tuanku Canselor juga menasihatkan para mahasiswa UTM supaya menghulur dan memanjangkan ikatan persahabatan kepada pelajar antarabangsa universiti itu.
Menurut baginda, sebagai rakyat Malaysia, golongan mahasiswa ini seharusnya sentiasa ingat bahawa mahasiswa antarabangsa ini adalah tetamu di negara ini dan ditawarkan persahabatan dan sokongan ketika berada di negara asing adalah sesuatu yang teristimewa.
“Ia akan meninggalkan kenangan yang berharga buat para pelajar luar negara ini. Saya berkata demikian dari pengalaman saya sendiri sewaktu menuntut di luar negara,” titah baginda lagi.
Seterusnya Tuanku Canselor juga telah menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat kepada Prof. Kyosuke Nagata dari University of Tsutkuba, Jepun atas sumbangan besarnya mengukuhkan kerjasama dengan UTM.
Pada majlis yang sama juga Raja Zarith telah menyampaikan gelaran Profesor Emeritus kepada Dato’ Dr. Ahmad Darus dan Surveyor Omar Munir atas sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada UTM.
Pada majlis konvokesyen ke-60 ini, seramai 1,967 orang graduan telah menerima sijil masing-masing dengan 309 darinya menerima Ijazah Kedoktoran (PhD), Ijazah Sarjana (881), Ijazah Sarjana Muda (714) dan Diploma (63).