KUALA LUMPUR, 15 Mac 2018: Majlis Perasmian Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)telah berlangsung di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur. Majlis yang akan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, turut dihadiri, YBhg. Tan Sri Azman Hashim, Pemegang Amanah Yayasan Azman Hashim dan Pengerusi AmBank, Tan Sri Abd Halim b. Ali, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid b. Omar, Naib Canselor UTM dan Puan Shalina bt. Azman, Pengerusi Amcorp Properties Berhad.
Azman Hashim International Business School sebelum ini dikenali sebagai UTM International Business School, dan penamaan Azman Hashim International Business School adalah sebagai pengiktirafan dan menghargai jasa yang telah disumbangkan oleh YBhg. Tan Sri Azman Hashim. Atas keprihatinan dan tanggungjawab sosial YBhg. Tan Sri Azman terhadap perkembangan dan pembangunan ilmu pengetahuan di Negara ini, Yayasan Azman Hashim telah bersetuju menyalurkan dana sebanyak RM30 juta kepada Endowmen UTM, dengan bayaran sebanyak RM5 juta setahun mulai tahun 2016.
Dana yang disumbangkan telah dan akan digunakan untuk membantu pelajar UTM yang menghadapi masalah kewangan dan pembangunan akademik di UTM. Bantuan kewangan kepada pelajar UTM disalurkan melalui Biasiswa Azman Hashim yang telah diwujudkan. Biasiswa Azman Hashim adalah biasiswa yang berprestij di UTM, dimana setiap pelajar akan diberikan biasiswa bernilai RM12,000.00 setahun bagi pelajar program Ijazah Sarjana Muda dan bayaran yuran pengajian kepada pelajar program Ijazah Sarjana. Pada masa ini sebanyak tujuh orang pelajar UTM adalah penerima Biasiswa Azman Hashim, iaitu lima orang pelajar program Ijazah Sarjana Muda dan dua orang pelajar program Ijazah Sarjana. Kriteria utama pemilihan calon penerima Biasiswa Azman Hashim adalah berdasarkan kecemerlangan akademik dan latar belakang keluarga (keluarga kurang berkemampuan atau B40).
Dalam majlis perasmian ini akan turut dilancarkan JomPAY AmBank Islamic -Endowmen UTM. JomPAY AmBank Islamic-Endowmen UTM adalah hasil kerjasama yang baik antara pihak AmBank dengan UTM. Dengan sokongan padu daripada YBhg. Tan Sri Azman Hashim, pihak AmBank telah membantu UTM dalam menyediakan mekanisme yang lebih baik dan mudah kepada para penyumbang untuk menyumbang ke Tabung Endowmen UTM. Dengan menggunakan biller code 52225, penyumbang boleh menyalurkan sumbangan mereka di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sumbangan yang besar dalam Tabung Endowmen UTM amat diperlukan untuk membantu pelajar UTM yang menghadapi masalah kewangan, terutamanya bila mengambil kira hampir 60 peratus pelajar UTM adalah datang dari keluarga kurang berkemampuan. Sehingga akhir tahun 2017, dengan sumbangan yang diterima daripada staf, pelajar dan alumni UTM, serta individu, pertubuhan dan pihak korporat, Endowmen UTM telah berjaya memberikan biasiswa kepada 635 orang pelajar dari pelbagai program pengajian, fakulti dan kaum, serta memberi bantuan kepada 109 orang pelajar yang menghadapi masalah kewangan.