Disember 21, 2024

UTM perluas hubungan antarabangsa melalui UPF 2017

JOHOR BAHRU, 9 Ogos 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berhasrat untuk memperluaskan jalinan perhubungan antarabangsanya melalui penganjuran program persidangan The 9th University President Forum (UPF) 2017 secara tahunan.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, UPF mampu menjadi platform kepada universiti itu bagi memperkukuhkan lagi kedudukannya di arena pendidikan tinggi antarabangsa.

Menurutnya, UPF adalah platform terbaik bagi kepimpinan universiti dari seluruh dunia untuk membincangkan isu-isu semasa mengenai pengajian tinggi, di samping meneroka peluang untuk melaksanakan kerjasama akademik pada masa akan datang.

“Selain itu, UPF 2017 adalah platform terbaik bagi peserta untuk berkongsi pendapat, praktis terbaik dan pengalaman masing-masing dalam aspek pengurusan pengajian tinggi.

Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan salah seorang wakil universiti antarabangsa yang menyertai UPF 2017.

“Antara isu besar yang diperbincangkan adalah ‘University 4.0’ yang menyebabkan perubahan besar dalam dunia pendidikan tinggi, isu perubahan kurikulum dan infrastruktur pendidikan di peringkat universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman yang membabitkan lebih 10 buah universiti yang mengambil bahagian dalam UPF 2017 di Dewan Sultan Iskandar, hari ini.

UPF 2017 dianjurkan secara kolaborasi dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), University of Southampton (Kampus Malaysia), Forest City dan British Council dengan disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Beberapa program sampingan juga dianjurkan bersempena dengan UPF 2017 iaitu mesyuarat The 2nd Asia Technological University Network (ATU-Net) yang dihadiri oleh 11 universiti teknikal dari enam buah negara.

Seramai 97 peserta yang terdiri dari Presiden, Rektor, Naib-naib Canselor dan juga perwakilan dari 54 buah universiti yang datang dari 19 buah negara serata dunia telah menyertai UPF 2017 ini.

Explore More