Mei 9, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa UTM dan Mini RTC Layang-Layang hasilkan biobaja

JOHOR BAHRU, 15 Mei 2017 – Seramai 27 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan 29 penduduk Kampung SC Jaya Sepakat, Layang-Layang menyertai program membuat biobaja, baru-baru ini.

Penghulu Bahren menyampaikan set biobaja kepada sukarelawan untuk pengasingan sisa makanan di rumah.

Ketua Projek Komuniti Mahasiswa Prof. Madya Dr. Lee Chew Tin berkata, program itu bertujuan menggalakkan penduduk mengamalkan kehidupan rendah karbon, di samping mengurangkan pergantungan masyarakat terhadap baja kimia yang semakin mahal di pasaran.

Beliau berkata, demonstrasi membuat biobaja dari sisa makanan dan sisa hijau yang diketuai oleh pengusaha utama komuniti biobaja di kampung tersebut, Zambri Abdul Hamid.

“Projek komuniti ini ditaja oleh geran NBOS dan geran University Community Transformation Centre (UCTC) dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan disokong oleh CCSL UTM.

Proses kisaran sisa pelepah daun kelapa sawit oleh pengusaha utama Projek Komuniti Kg. SC Sepakat bersama pelajar UTM.
Dr Lee Chew Tin (kanan) memberi penerangan proses pengkomposan sisa makanan kepada pelajar dan penduduk kampung.

“Sesi perkongsian ilmu disertai oleh 10 sukarelawan yang terdiri daripada penduduk kampung yang sebahagian besar merupakan pengusaha fertigasi di bawah Mini RTC Layang-layang,” katanya,

Beliau berkata, demonstarasi itu dijalankan bersama mahasiswa tahun satu Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (FKT) yang merupakan sebahagian daripada kerja kursus Sains dan Komuniti di bawah Pusat Kursus Ko – Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL), UTM.

Dr Lee berkata, demonstrasi itu membuktikan bahawa biobaja mudah dihasilkan, dan masyarakat perlu menggembleng tenaga bagi menghasilkan produk yang boleh digunakan secara bersama di peringkat komuniti.

Sementara itu, Penghulu Bahren Safon berkata pihaknya menyambut baik kerjasama di antara mahasiswa UTM dan penduduk kampung dan melihat projek biobaja sebagai peluang terbaik kepada sukarelawan untuk mendapatkan baja bebas kimia dengan harga berpatutan.

Beliau kemudiannya menyampaikan set biobaja kepada sukarelawan untuk kerja pengasingan sisa makanan di rumah masing-masing.

Sesi itu turut mendapat sokongan Ketua Kampung Kg. SC Jaya Sepakat, Roslim Miskon.

Dr Lee berkata, projek biobaja komuniti itu diselaras oleh Mini RTC Layang – Layang. Mereka berharap agar projek tersebut sentiasa dipantau oleh pihak UTM.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Mini RTC Layang – Layang dan Kampung SC Jaya Sepakat yang sudi bekerjasama bagi menghasilkan biobaja,” katanya.

 

Explore More