Disember 27, 2024

UTM & ITPSB Bangun Teknologi Tingkat Pengeluaran Minyak Laut Dalam

KUALA LUMPUR, 17hb. Ogos 2016 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Teknologi Petronas Sdn Bhd (ITPSB) menjalin kerjasama penyelidikan bagi membangunkan “Smart Optical Fibre Sensing System for Tracking Migration of Oil Flow”.

Projek bernilai RM4,000,680.00 itu bagi menghasilkan “Smart Optical Fibre Sensor” yang dijangka akan menjadi produk yang pertama dibangunkan di dunia bagi meningkatkan pengeluaran minyak di laut dalam.

Projek berkenaan akan dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), UTM yang diketuai oleh pengarahnya Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Profesor Dr Ahmad Fauzi yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UTM akan menggunakan teknologi pembangunan sistem sensor gentian optik bagi pengenalpastian sumber aliran minyak di laut dalam melalui inovasi penyelidikan, pemindahan teknologi dan pengkomersilan produk.
Bagi menjayakan projek berkenaan, UTM dan INSTEP menandatangi Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

UTM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar, manakala Institut Teknologi Petronas Sdn Bhd oleh Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Haji Hashim.

Seramai lima orang staf akademik serta dua orang staf sokongan teknikal terlbat dalam projek ini yang turut membuka ruang dalam kerjasama perkongsian maklumat, pertukaran staf dan pelajar serta perkongsian peralatan bagi tujuan pelaksanaan projek kerjasama penyelidikan ini.
Hasil dari perbincangan ini, kedua belah pihak telah bersama-sama merangka dan menyediakan kertas kerja cadangan bagi geran Petronas Research Fund dan selanjutnya program ini telah diluluskan pada bulan April 2016.

Kerjasama penyelidikan ini akan dapat memberi peluang kepada penyelidik dan perunding di AMTEC khususnya dan UTM secara amnya untuk mengaplikasikan dan mempertingkatkan penyelidikan dari aspek perancangan dan pembangunan produk untuk negara dan masyarakat.

Jangkaan hasil jangka masa panjang adalah melalui pembangunan dan pengkomersilan produk dan aktiviti perundingan.

Staf yang terlibat di dalam projek ini juga akan dapat menimba pengalaman yang luas dari aspek penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersilan produk.

Usahasama ini juga dapat menjana modal insan iaitu pelajar dan staf serta dapat meningkatkan tahap berdaya saing dan perkongsian idea yang lebih kompetitif di kalangan para pelajar dalam projek penyelidikan.

Explore More