April 23, 2024

Search
Close this search box.

Mesin Pembungkusan Pes Berpastur Hasil Inovasi Penyelidik UTM

JOHOR BAHRU, 17 Ogos 2016: – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak ketinggalan dalam menyumbangkan kepakaran dan hasil kajian kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) melalui program Public Private Research Network (PPRN) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Terbaharu, penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) yang diketuai oleh Dr. Mohamad Shukri Zainal Abidin bersama dengan beberapa pensyarah dan pelajar telah berjaya menghasilkan mesin separa automatik untuk mempastur dan membungkus pes.

Projek berkenaan dijalankan di bawah pembiayaan geran PPRN yang diberi nama Integrated Pasteurize and Packaging System for Food Paste (IPPASTE).

Penyelidikan bagi menghasilkan mesin berkenaan mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan mengikut keperluan dan spesifikasi yang telah dikenalpasti daripada usahawan IKS, Noraini Margono yang mengusahakan industri pes dengan jenama Pes Mak Nani.

Keistimewaan pes yang dikeluarkan oleh Noraini ialah tidak menggunakan bahan pengawet dan membolehkan teknik pempasturan makanan digunakan dalam pembungkusan pes beliau.

Walaubagaimanapun, proses tersebut adalah rumit kerana pes perlu dibungkus dengan segera selepas proses pempasturan dan ketika pes masih panas. Sebelum itu, proses berkenaan dilakukan secara manual.

pes-hasil-mesin-utm
Mesin yang dibangunkan itu menggunakan kaedah pendidihan berganda yang dilengkapi dengan sistem pemanas elektrik dan gas yang dikawal secara hibrid menggunakan sistem pengawal automatik.

Pes yang telah dipastur itu akan dipam mengunakan sistem pneumatik ke bahagian pembungkusan dan dipek mengikut berat yang telah ditetapkan.

Menurut Dr.Shukri, mesin tu boleh mempastur sehingga 50kg pes pada satu-satu masa, selain sangat mudah dan selamat untuk digunakan.

Mesin berkenaan dapat menjimatkan masa pempasturan dan pembungkusan pes sehingga lebih 70 peratus berbanding dilakukan secara manual. Anggaran masa pembungkusan termasuk pempasturan untuk 50 kg pes ialah 90 minit.

Proses pempasturan yang lebih sistematik dan terkawal itu dapat menjamin kualiti dan tempoh hayat pes yang dikeluarkan oleh Pes Mak Nani. Apa yang lebih penting ialah mesin itu menggunakan tenaga elektrik yang sangat minimum dan boleh dikendalikan oleh seorang pekerja sahaja.

Sementara itu, Noraini berkata, mesin yang dibangunkan oleh penyelidik UTM itu sangat diperlukan oleh banyak industri pes yang berskala kecil seperti beliau.

Menerusi rekabentuk yang padat dan kapasiti pempasturan yang sederhana, ia akan dapat meningkatkan pengeluaran pes dengan ketara. Mesin berkenaan telah siap berfungsi dan ditempatkan di premis industri Pes Mak Nani untuk ujian lanjutan.

Selaku ketua penyelidik, Dr Shukri berharap dengan terhasilnya mesin itu, teknologi tersebut dapat digunapakai oleh lebih ramai lagi usahawan IKS yang lain.

Kumpulan penyelidik beliau juga bersedia untuk membantu indusri IKS untuk membangunkan teknologi atau mesin-mesin yang berkaitan untuk produk mereka yang lain.

Explore More