Mei 9, 2024

Search
Close this search box.

UTM-Kerajaan Johor meterai MoU hantar 25 Pegawai Tadbir Negeri lanjut pengajian

NUSAJAYA, 3 Jun 2015 – Satu kerjasama strategik telah dimuktamadkan antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga Kerajaan Negeri Johor bagi membolehkan seramai 25 orang Pegawai Tadbir Negeri melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana.
Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Datuk Dr. Wahid Omar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Haji Ismail Karim di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar.
Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian ini adalah Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Khaled dalam sidang medianya yang berlangsung di tempat yang sama selepas majlis menandatangani perjanjian ini berkata program ini dilakukan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu kerajaan negeri memiliki sekurang-kurangnya 50 peratus Pegawai Tadbir Negeri yang memiliki Ijazah Sarjana.
“Bagi menyahut seruan tersebut, kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menghantar seramai 25 orang Pegawai Tadbir Negeri bagi melahirkan penjawat awam yang berkelayakan dan mampu memantapkan perkhidmatan awam Johor.
“Pada peringkat permulaan, kerajaan negeri mendapati bahawa bidang Pengurusan Hartanah amat diperlukan ketika ini yang didapati bersesuaian dengan tugasan Pegawai Tadbir Negeri Johor,” katanya.
Sebanyak RM874,000.00 telah dibelanjakan kerajaan negeri dari Bajet tahun 2015 bagi menjayakan usaha ini.
Khaled juga melahirkan harapan agar UTM dapat menggilap kesemua Pegawai Tadbir ini menjadi pelajar cemerlang agar menjadi penjawat awam yang berkemahiran tinggi dalam bidang yang dituntut.

Prof. Wahid (tiga kiri) bersalaman dengan Ismail Karim sambil diperhatikan oleh Khaled Nordin di Nusajaya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan Kerajaan Negeri Johor.
Prof. Wahid (tiga kiri) bersalaman dengan Ismail Karim sambil diperhatikan oleh Khaled Nordin di Nusajaya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan Kerajaan Negeri Johor.

Explore More