Fatin Syahirah rangkul Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim

SDGSDG4SDG8SDG10

📝 Ringkasan

Fatin Syahirah Asmawi, 23, telah merangkul Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Fatin Syahirah aktif dalam Kelab Kaunseling dan Kerjaya dan terlibat dalam pelbagai program kebajikan dan kepimpinan. Beliau juga pernah menjadi pengarah program Twinkle Carebeam, sebuah program berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Fatin Syahirah berharap kejayaannya menjadi hadiah membanggakan buat ibu bapanya dan ingin menyumbang semula kepada komuniti kampus menerusi program kepimpinan dan pembangunan kerjaya.

JOHOR BAHRU, 18 November 2026 – Fatin Syahirah Asmawi, 23, merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian yang berjaya merangkul Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim.

Menurutnya, empat tahun di UTM bukan sekadar mengejar segulung ijazah, tetapi juga proses membentuk diri dan membuktikan bahawa disiplin serta usaha mampu membuka jalan kejayaan.

Anak ketiga daripada lima beradik dari Pasir Gudang, Johor ini dibesarkan dalam keluarga yang menjalankan perniagaan sendiri. Kejayaan kedua-dua kakaknya menamatkan pengajian peringkat ijazah menjadi pemangkin semangatnya.

Fatin Syahirah buktikan bahawa disiplin mampu merintis jalan kejayaan.

Beliau memilih untuk menamatkan pengajiannya dalam Sains Pembangunan Sumber Manusia di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan kerana bidang berkenaan berkait rapat dengan manusia, komunikasi, dan pengurusan organisasi, suatu perkara yang beliau minati.

Sepanjang pengajian, Fatin Syahirah aktif dalam Kelab Kaunseling dan Kerjaya dari tahun pertama hingga ketiga. Bermula sebagai naib setiausaha, beliau diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan kepimpinan sehingga dilantik Naib Presiden kelab.

Beliau turut terlibat dalam pelbagai program kebajikan, kepimpinan, dan kesukarelawanan anjuran kelab lain.

Antara pengalaman paling bermakna ialah apabila dipertanggungjawabkan sebagai pengarah Program Twinkle Carebeam, iaitu sebuah program berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Mersing.

Program ini membolehkannya membina rangkaian kenalan dan belajar bekerja dalam pasukan berlatar belakang berbeza.

Kelab Kaunseling dan Kerjaya bersama Pertubuhan Kebajikan Anak Yarim Islam Mersing.

Fatin juga memperoleh anugerah dekan dengan memperoleh CGPA 3.84 pada semester terakhirnya.

Rahsia beliau dalam kecemerlangan akademik selaras dengan kecemerlangan kokurikulum ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika di dalam kelas supaya kerja mengulang kaji di luar kelas menjadi lebih mudah, membolehkan masa dicurahkan kepada aktiviti lain

Antara perubahan terbesar berlaku pada dirinya sendiri adalah beliau berjaya membuang sikap suka bertangguh, melawan rasa malas, dan belajar tidak terlalu terpengaruh dengan pencapaian orang lain kerana setiap individu mempunyai perjalanan berbeza.

Pengalaman sebagai pengarah program turut membentuk ketahanan dirinya.

“Ada perkara yang tidak berjalan seperti dirancang, tetapi kita perlu kekal tenang dan mencari penyelesaian,” katanya.

Beliau juga belajar daripada kekecewaan apabila hasil tidak seperti diharapkan walaupun telah berusaha sehabis baik.

“Keberanian untuk mencuba dan kesanggupan untuk bangkit juga merupakan satu bentuk kejayaan,” ujarnya.

Fatin Syahirah ingin terus menyumbang kepada komuniti kampus selepas bergraduasi.

Ibu bapanya menjadi sumber inspirasi utama. Walaupun sibuk menguruskan perniagaan keluarga, mereka tidak pernah putus memberi sokongan dan doa.

“Saya mahu membuktikan bahawa segala peluang dan pengorbanan yang diberikan tidak disia-siakan,” katanya yang berharap kejayaan itu menjadi hadiah membanggakan buat mereka.

Kini, Fatin Syahirah sudah memulakan kerjaya dalam bidang sumber manusia dan berhasrat memperdalam kemahiran dalam pengurusan pekerja, pentadbiran dan pembangunan organisasi.

Beliau juga ingin menyumbang semula kepada komuniti kampus menerusi program kepimpinan, pembangunan kerjaya dan kesukarelawanan, selain berkongsi pengalaman dengan pelajar baharu.

Explore More

UTM Open Day