Kembar kongsi detik bergraduasi bersama

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Pasangan kembar Nur Syahirah Athirah dan Nur Syafiqah Athirah telah bergraduasi bersama dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70. Mereka telah menamatkan pengajian diploma dalam program Diploma Sains Komputer (Multimedia) di UTM Kuala Lumpur dan kemudian meneruskan pengajian di UTM Johor Bahru selama empat tahun. Nur Syafiqah Athirah mengikuti program Sarjana Muda Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian, manakala Nur Syahirah Athirah memilih Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dengan Kepujian.

JOHOR BAHRU, 18 November 2026 – Selepas bersama-sama menamatkan pengajian diploma, pasangan kembar Nur Syahirah Athirah binti Aizam dan Nur Syafiqah Athirah binti Aizam berkongsi satu lagi detik bermakna apabila menerima ijazah sarjana muda pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70.

Bagi pasangan itu, kejayaan selepas tujuh tahun menimba ilmu di UTM turut membawa makna besar buat ibu bapa yang menyokong perjalanan pendidikan kedua-duanya sejak peringkat diploma.

Nur Syahirah Athirah, yang merupakan kakak, dan adiknya, Nur Syafiqah Athirah, memulakan pengajian dalam program Diploma Sains Komputer (Multimedia) di UTM Kuala Lumpur selama tiga tahun sebelum bergraduasi bersama.

Nur Syahirah Athirah (kiri) dan Nur Syafiqah Athirah (kanan) telah bersama sejak menuntut dari diploma di UTM Kuala Lumpur.

Mereka kemudian meneruskan pengajian di UTM Johor Bahru selama empat tahun. Kali ini, Nur Syafiqah Athirah mengikuti program Sarjana Muda Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian, manakala Nur Syahirah Athirah memilih Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dengan Kepujian.

Walaupun bidang pengajian berbeza, mereka berkongsi matlamat untuk menamatkan pengajian dan membanggakan keluarga.

“Bagi kami, peluang untuk berkongsi dua detik graduasi ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna,” menurut pasangan itu dalam perkongsian bertulis bersama.

Keakraban mereka turut mewarnai kehidupan di kampus. Ketika mengikuti pengajian diploma, kedua-duanya tinggal sebilik di Kolej Kediaman Siswa Jaya selama dua semester sebelum pandemik COVID-19 mengubah rutin pengajian mereka.

Pada peringkat ijazah sarjana muda pula, mereka tidak lagi sebilik, namun pernah tinggal di kolej kediaman yang sama, iaitu Kolej 9 dan Kolej Perdana, dengan bilik yang bersebelahan atau berhampiran.

Hubungan rapat itu turut terserlah melalui penglibatan dalam persatuan, pertandingan, penganjuran program dan kegiatan kesukarelawanan. Apabila seorang daripada mereka menyertai sesuatu aktiviti, seorang lagi akan diajak bersama.

Semasa pengajian diploma, Syahirah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Pelajar Luar Kampus (JKM PLK) UTM Kuala Lumpur, manakala Syafiqah berkhidmat sebagai bendahari.

Kedua-duanya menjadi sebahagian daripada pasukan JKM PLK yang meraih Anugerah JKM Terbaik pada Anugerah GEMA 2021, disumbang oleh kecemerlangan dalam penganjuran program Webinar Pengajaran & Pembelajaran Dalam Talian Kebangsaan 2021 yang turut disertai pensyarah dan pelajar dari UTM, UM, USM, UUM, UnisZA, UTeM dan UiTM.

Dalam majlis yang sama juga, Syahirah turut meraih tempat kedua bagi kategori Anugerah Program Kepimpinan Keusahawanan.

Penglibatan Syahirah dalam penganjuran Virtual Entrepreneur Carnival dan Entrepreneur Interior Co. kemudian melayakkannya mewakili UTM ke Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2022. Beliau mara sebagai finalis kategori Anugerah Kepimpinan Keusahawanan.

Syafiqah pula menerima Anugerah Alumni UTM (Diploma) sempena Majlis Graduasi UTM 2022 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik dan kecemerlangannya sebagai pelajar terbaik.

Pasangan kembar itu turut menjadi ahli jawatankuasa Coding-Generation Programme 2021, yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori “Most Number of Participants in a Virtual Coding Learning Programme”.

Pengalaman tersebut membuka ruang kepada mereka untuk mempelajari perkara baharu, membina kemahiran mengurus program dan bekerjasama dengan peserta serta rakan penganjur daripada pelbagai latar belakang.

Apabila melanjutkan pengajian dalam bidang berbeza, komitmen masing-masing mengehadkan peluang untuk menganjurkan program besar bersama seperti dahulu. Bagaimanapun, minat terhadap kegiatan kesukarelawanan terus dikongsi.

Persamaan wajah pula sering menyebabkan rakan dan pensyarah keliru membezakan mereka. Namun, rakan yang sudah lama mengenali kedua-duanya dapat mengecam siapa Syahirah dan siapa Syafiqah.

Doa dan pengorbanan ibu bapa menjadi pembakar semangat buat pasangan kembar ini.

Di sebalik pencapaian dan kenangan kehidupan kampus itu, pasangan kembar berkenaan meletakkan pengorbanan ibu bapa sebagai asas penting yang membolehkan mereka meneruskan pengajian.

Menurut mereka, perjalanan tersebut tidak mungkin sampai ke tahap ini tanpa ibu bapa yang membesarkan, memberikan peluang pendidikan dan berusaha menyediakan yang terbaik untuk masa depan kedua-duanya.

Sokongan itu amat dihargai, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua anak meneruskan pengajian sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Mungkin tidak semua pengorbanan itu mampu kami balas, tetapi kami berharap kejayaan ini dapat menjadi salah satu hadiah yang membahagiakan mereka.

“Jika dahulu ibu dan ayah membesarkan kami dengan penuh kesabaran, kini kami berharap dapat melihat mereka tersenyum bangga apabila menyaksikan kami melangkah ke pentas graduasi,” menurut mereka.

Pasangan kembar itu menyifatkan ijazah yang diterima sebagai hasil usaha yang turut disertai doa, harapan dan pengorbanan ibu bapa sepanjang pengajian.

Mereka juga menghargai bimbingan pensyarah serta bantuan warga UTM yang menjadi sebahagian daripada perjalanan pendidikan di kedua-dua kampus.

Menurut mereka, pengalaman di universiti bukan sahaja membolehkan mereka memperoleh kelayakan akademik, malah membantu membentuk kematangan, sikap berdikari dan persediaan menghadapi cabaran kehidupan.

“Bagi kami, sangat bermakna apabila dapat menyambung pengajian daripada diploma hingga ke ijazah sarjana muda di universiti yang sama,” menurut pasangan itu.

Daripada berkongsi bilik dan program pengajian ketika diploma kepada membina pencapaian dalam bidang berbeza, Syahirah dan Syafiqah kini meraikan satu lagi kejayaan bersama. Bagi kedua-duanya, detik itu menjadi hadiah buat ibu bapa yang menyokong setiap langkah mereka sepanjang tujuh tahun.

Explore More

UTM Open Day