📝 Ringkasan
Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang pernah berkhidmat sebagai Kadet Wartawan sempena Majlis Konvokesyen ke-68 dan ke-69 kini diraikan sebagai graduan. Mereka pernah menulis kisah kejayaan graduan lain dan kini mengekalkan pengalaman tersebut sebagai graduan sendiri.
JOHOR BAHRU, 19 November 2026 – Jika dahulu mereka menemu bual graduan dan menulis kisah kejayaan insan lain, kini tiba giliran mereka meraikan pencapaian sendiri.
Pelajar yang pernah berkhidmat sebagai Kadet Wartawan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-68 dan ke-69 kini diraikan sebagai graduan, membawa bersama pengalaman menyumbang kepada liputan antara acara terpenting universiti.
Di sebalik berita konvokesyen yang sampai kepada pembaca, mereka turut memainkan peranan mengetengahkan kisah ketabahan, pengorbanan keluarga dan kejayaan akademik warga UTM.

Sumbangan itu membantu masyarakat mengenali perjalanan graduan dengan lebih dekat, termasuk cabaran yang ditempuh dan sokongan insan tersayang di sebalik segulung ijazah.
Antara Kadet Wartawan yang diraikan ialah Muhammad Hazim bin Azatul Amery, penerima Anugerah Naib Canselor (Kepimpinan), dan Megat Muhammad Farhan Daniel Megat Suwardi, penerima Anugerah Alumni. Kedua-duanya kini bekerja sebagai Jurutera Proses Pembuatan di ExxonMobil.
Bagi Hazim, pengalaman mendengar dan menulis kisah orang lain memberikan dimensi baharu kepada pembentukan dirinya sebagai pemimpin mahasiswa.
“Sebagai Kadet Wartawan, saya belajar untuk mendengar sebelum membuat kesimpulan. Setiap graduan mempunyai pengalaman yang berbeza, dan tanggungjawab kami ialah memahami serta menyampaikannya dengan tepat. Pengalaman itu membentuk saya menjadi lebih peka, sabar dan bertanggungjawab ketika membawa suara orang lain,” katanya.
Megat pula menyifatkan penugasan tersebut sebagai latihan membina keyakinan dan disiplin yang turut berguna dalam alam pekerjaan.
“Menemu bual individu yang belum dikenali mengajar saya untuk berani memulakan perbualan, mengemukakan soalan dengan jelas dan menghormati pandangan orang lain. Apabila perlu menyiapkan berita mengikut masa yang ditetapkan, saya belajar mengurus tekanan serta menerima teguran untuk memperbaiki hasil kerja,” katanya.
Turut diraikan ialah Tsai Jia Yuh, penerima Anugerah Siswi Cemerlang 2026 daripada Persatuan Siswazah Wanita Malaysia, yang kini telah menerima tawaran sebagai Jurutera Kualiti Produk di Micron Singapura.
Menurut Tsai, pengalaman sebagai Kadet Wartawan memperkukuh ketelitian dan keupayaannya melihat sesuatu perkara daripada perspektif yang berbeza.
“Menulis kisah graduan mengajar saya bahawa setiap perkataan membawa tanggungjawab. Saya perlu menyemak maklumat, memahami konteks dan memilih cara penyampaian yang menghormati individu yang berkongsi cerita. Proses itu membentuk saya menjadi lebih teliti, terbuka terhadap maklum balas dan yakin berkomunikasi,” katanya.
Kejayaan memasuki alam kerjaya turut dikongsi Muhammad Syamil Mohd Zuhairini yang kini bertugas sebagai Jurutera Reka Bentuk Struktur di Panasonic Appliances Air-Conditioning R&D Malaysia Sdn. Bhd.
Nurish Airiesya Mohamad Azri pula bekerja sebagai Jurutera Proses di Rianlon Corporation Malaysia, manakala Nurul Amelyawati Ali Rofiq berkhidmat dalam jawatan sama di Maruwa Malaysia Sdn. Bhd.
Seorang lagi anggota pasukan, Nur Amirah Wajihah Roslan, kini bekerja sebagai protege di Maxit Corporation Sdn. Bhd.
Sesungguhnya, pengalaman dalam pasukan Kadet Wartawan menjadi sebahagian daripada pembelajaran mereka di luar bilik kuliah, khususnya dalam kemahiran mendengar, menilai maklumat, berkomunikasi dan bekerja dalam pasukan.

Inisiatif penglibatan pelajar UTM dalam pasukan Kadet Wartawan sempena konvokesyen dicetuskan oleh Cik Rohaizan Khairul Anuar, Timbalan Pendaftar UTMAlumni dan Pegawai Tadbir Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Puan Nur’aina Osman yang melihat liputan kisah graduan sebagai ruang membangunkan bakat serta karakter mahasiswa.
Menurutnya, kepercayaan yang diberikan kepada pelajar perlu disertai bimbingan supaya mereka dapat memahami tanggungjawab dalam penerbitan berita.
“Kami mahu pelajar mengalami sendiri proses mendengar, memahami dan menyampaikan kisah manusia. Apabila mereka diberi amanah menulis pengalaman orang lain, mereka belajar tentang empati, ketepatan dan integriti. Nilai ini akan terus berguna dalam apa-apa bidang kerjaya yang mereka ceburi,” kata Puan Nur’aina Osman.
Beliau turut menyifatkan kejayaan anggota pasukan menamatkan pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan sebagai detik yang membanggakan.
“Dahulu, kami membimbing mereka merakam kejayaan graduan. Kini, kami melihat mereka sendiri diraikan atas pencapaian masing-masing. Harapan kami agar pengalaman sebagai Kadet Wartawan terus mengingatkan mereka untuk peka terhadap manusia dan bertanggungjawab terhadap setiap amanah,” katanya.
Sepanjang penugasan, pasukan itu turut menerima sentuhan Mohd Fadthul Ikmal Misnal selaku penyunting bahasa Melayu, Dr. Wan Farah Wani Wan Fakhruddin selaku penyunting bahasa Inggeris, Siti Nur Fatin Hakimah Ibnuzaman selaku penulis, dan Hairusyakirin Shafei yang membantu kelancaran gerak kerja sebagai pembantu penyelaras pasukan.

Gabungan kepakaran dalam pasukan ini memberikan ruang kepada pelajar untuk memperkemas soalan temu bual, menyusun fakta, membina aliran berita dan memperbaiki penggunaan bahasa.
Proses penyuntingan turut membiasakan mereka menerima teguran serta menilai semula hasil kerja dengan lebih teliti.
Pada masa yang sama, komitmen sebagai Kadet Wartawan dilaksanakan ketika mereka memenuhi tuntutan pengajian.
Kesediaan menyumbangkan masa dan tenaga kepada liputan konvokesyen memperlihatkan semangat mahasiswa untuk turut menjayakan majlis rasmi universiti.
Kini, apabila mereka sendiri bergelar graduan, pengalaman berada di sebalik tabir liputan memberikan makna tersendiri kepada detik tersebut.
Mereka pernah mendengar harapan graduan lain, menyaksikan kebanggaan keluarga dan merakam penghargaan terhadap pensyarah.
Kali ini, kegembiraan itu menjadi sebahagian daripada kisah mereka sendiri.