📝 Ringkasan
Danial Erfan Shah Nor Azam Shah, 23, telah berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian Komputer dan Keselamatan) dengan Kepujian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau juga menerima Anugerah Dekan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang cemerlang, 3.96.
JOHOR BAHRU, 19 November 2026 — Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70 meraikan kejayaan luar biasa Danial Erfan Shah Nor Azam Shah, 23 tahun, yang membuktikan bahawa kecemerlangan akademik, sukan dan kepimpinan mampu dicapai secara seiring.
Graduan kelahiran Ontario, Kanada yang berasal dari Johor ini berjaya menyempurnakan pengajian Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian Komputer dan Keselamatan) dengan Kepujian dan menerima Anugerah Dekan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang cemerlang, 3.96.

Didorong minat mendalam terhadap penyelesaian masalah dan teknologi sejak kecil, anak sulung daripada tiga beradik ini menyertai UTM kerana reputasi sebagai universiti penyelidikan terkemuka.
Minatnya juga dipengaruhi oleh arwah ayah beliau, Allahyarham Nor Azam Shah Ahmad yang pernah bekerja sebagai jurutera minyak dan gas serta kapten kapal.
Sejak kecil, arwah ayahnya sering memberi peluang kepada beliau untuk belajar membaiki peralatan-peralatan rumah yang rosak.
Pengalaman ini meningkatkan kemahiran beliau untuk menyelesaikan masalah dan menjadi titik tolak kepada pemilihan bidang komputer kerana bidang ini juga memerlukan kemahiran yang sama.

Bukan sekadar cemerlang di dalam bilik kuliah, beliau turut aktif mempamerkan semangat sukan yang tinggi. Ketika di tahun satu, Danial menyertai Pasukan Memanah UTM.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengurus Pasukan Memanah UTM dan mewakili UTM di Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT), serta Varsity Archery Championship.
Beliau telah mengetuai pasukannya dan berjaya merangkul Pingat Emas dalam acara Recurve Berpasukan Lelaki di Grand Final Varsity Archery Championship pada Oktober 2026 dan Pingat Perak dalam acara Recurve Berpasukan Lelaki di Siri 1 pada Julai 2026.
“Memanah ialah sukan yang memerlukan fokus, kesabaran dan ketenangan, dan sifat-sifat ini sangat berguna ketika menghadapi peperiksaan atau menyelesaikan masalah teknikal yang sukar.”

Selain itu, pasukannya juga pernah menduduki tempat ke-2 di Kejohanan Memanah Sirkit Kebangsaan 2023 Siri 2 untuk mewakili kumpulan MASUM dan pernah tersenarai dan jalani latihan atlet memanah Malaysia untuk pertandingan Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Indonesia.
Danial Erfan menjadikan atlet memanah Malaysia, Khairul Anuar Mohamad, dan atlet memanah Amerika Syarikat, Brady Ellison, sebagai idolanya dalam sukan memanah.
“Kuncinya ialah perancangan dan disiplin. Saya merancang jadual secara mingguan dan mengenal pasti tarikh penting seperti peperiksaan, tugasan dan pertandingan lebih awal.”
Kebijaksanaan membahagikan masa antara latihan petang, persediaan akademik di siang hari, dan mesyuarat pengurusan di waktu malam menuntut disiplin yang kental.
Kejayaan beliau sangat didorong oleh doa dan semangat pantang menyerah daripada ibunya, Prof. Ir. Dr. Haslenda Hashim, pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga yang juga felo di Pusat Kejuruteraan Sistem Proses (PROSPECT) UTM.
Ibu beliaulah yang paling banyak memberi sokongan walau apa pun keadaan. Selain itu, kejayaannya juga berkat bimbingan penyelia, Rasidah Kadir dan Dr. Yusliza Yusoff, serta jurulatih memanah Dr. Adjah Naqkiah Mazlan dan Nik Kamal Izuddin Nik Ibrahim.
Dalam bidang Rangkaian Komputer dan Keselamatan pula, beliau pernah menyertai pertandingan Capture The Flag (CTF) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Keselamatan siber kini menjadi keperluan kritikal kerana hampir semua aspek kehidupan bergantung kepada teknologi, seperti perbankan, kesihatan, pendidikan dan infrastruktur negara.
“Melalui bidang ini, saya boleh membantu melindungi data rakyat dan sistem penting negara daripada ancaman siber. Pengalaman di MyCERT memperlihatkan kepada saya betapa pentingnya peranan ini. Saya juga ingin membantu meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan masyarakat supaya mereka tidak mudah menjadi mangsa penipuan dalam talian.”
Sepanjang pengajiannya, beliau turut mencapai pelbagai kejayaan akademik dan profesional. Beliau merupakan penerima Anugerah Pembentang Terbaik di Persidangan Penyelidikan Prasiswazah Antarabangsa ke-10 (IURC 2026).
Kajian yang dibentangkan bertajuk ‘Benchmarking Saber Post-Quantum Cryptography Key Encapsulation Mechanism Scheme Against Kyber768 and ECC on STM32F4DISCOVERY Microcontrollers.’

Selain itu, beliau pernah memenangi tempat pertama di Pertandingan Antarabangsa bagi Inovasi dalam Peralihan Tenaga (IGNITE) 2025, dan menduduki tempat ke-12 keseluruhan serta tempat ke-2 di Malaysia dalam Standoff Cyberbattle bersama Pasukan TLP:R3D.
Beliau telah mewakili Kumpulan MyCERT semasa menyelesaikan latihan industri di CyberSecurity Malaysia.

Pasukan CAPYBARA dari Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dinobatkan sebagai Johan melalui Projek EcoPath.
Projek ini bermula sebagai tugasan kursus Interaksi Manusia-Komputer (HCI), menukar langkah kaki kepada tenaga boleh baharu melalui gabungan laluan pejalan kaki kinetik dan aplikasi mudah alih pintar.
Aplikasi ini membolehkan pengguna menjejak tenaga yang dijana, mengira pengurangan karbon dioksida CO₂ dan mencari laluan mesra alam. Aplikasi ini dibangunkan sebagai prototaip interaktif Figma serta projek ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 7 dan SDG 11.
Pertandingan ini dianjurkan oleh UTM PROSPECT, Pusat Tenaga ASEAN (ACE) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Di samping itu, beliau juga mewakili UTM dalam pertandingan Formula Student Malaysia 2025, kategori FSAE (400cc–800cc), di Litar Dato’ Sagor, Perak pada 23–24 April 2025.
Beliau merupakan Ketua Pasukan Aerodinamik dan Fabrikasi, bertanggungjawab merekabentuk dan membina keseluruhan badan aerodinamik kereta, menghasilkan reka bentuk livery dan pelekat, serta bekerjasama dengan pasukan teknikal dan mekanikal.

Beliau juga pernah merasai pahitnya kegagalan dalam Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Universiti Malaya (UM) dan hanya menduduki tempat ke-4 walaupun telah berlatih bersungguh-sungguh.
Selain tu, beliau juga pernah memperoleh keputusan yang kurang memuaskan dalam pencapaian akademik. Namun, semua ini tidak mematahkan semangatnya malah mengajar beliau untuk bangkit dan terus memperbaiki diri.
“Beranilah mengambil risiko, kerana di situlah detik-detik terindah bermula.”
Langkah beliau tidak akan berhenti di sini. Dalam bidang sukan, Danial berhasrat untuk terus menyokong Pasukan Memanah UTM sebagai alumni dan membantu membimbing atlet muda.
Beliau juga ingin terlibat dalam program kesedaran keselamatan siber dan juga aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk masyarakat, khususnya golongan muda sebagai persediaan mereka untuk lebih bersedia menghadapi cabaran dunia digital.
Beliau turut merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang keselamatan siber dan berhasrat untuk menganggotai pasukan merah (red teaming) bagi melindungi keselamatan infrastruktur digital negara.