📝 Ringkasan
Dr. Norazam Ab Samah, seorang penasihat khas MERCY Malaysia, telah menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada usia 57 tahun. Beliau telah mengambil masa enam tahun untuk memperoleh PhD selepas tiga kali menangguhkan pengajian bagi memenuhi tanggungjawab dalam pelbagai misi bantuan dan pemulihan bencana di dalam serta luar negara.
JOHOR BAHRU, 15 Nov. – Bergiat dalam misi kemanusiaan di pelbagai negara selama lebih 25 tahun, Dr. Norazam Ab Samah melakar satu lagi pencapaian apabila berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada usia 57 tahun.
Beliau yang memulakan pengajian pada tahun 2020 mengambil masa enam tahun untuk memperoleh PhD selepas tiga kali menangguhkan pengajian bagi memenuhi tanggungjawab dalam pelbagai misi bantuan dan pemulihan bencana di dalam serta luar negara.
Menurut beliau, keputusan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD muncul daripada kesedaran bahawa pengalaman yang luas di lapangan juga perlu dilengkapi dengan pengetahuan akademik, khususnya dalam aspek penyelidikan dan pengurusan bencana.
Minat tersebut semakin berkembang selepas beliau menyertai bengkel penyelidikan pascatsunami di Jepun yang menemukan beliau dengan pakar bidang kebencanaan. Pengalaman itu membuka perspektif baru berkenaan kepentingan pendekatan saintifik dalam merancang dan melaksanakan usaha pemulihan selepas bencana.
Sepanjang tempoh pengajian, beliau terlibat dalam beberapa operasi bantuan dan pemulihan bencana bersama Malaysian Medical Relief Society (MERCY), termasuk membantu penubuhan MERCY Malaysia COVID-19 Operation Hub (MCOH), usaha pemulihan banjir di Hulu Langat serta misi bantuan susulan gempa bumi di TĂĽrkiye dan Syria.
Susulan tercetusnya konflik di Gaza pada Oktober 2023, Dr. Norazam turut berusaha menggerakkan misi bantuan ke wilayah Palestin itu. Antara cabaran yang dihadapinya ialah berulang-alik ke Mesir lebih daripada sepuluh kali bagi menguruskan penghantaran bantuan serta mengadakan perbincangan dengan rakan kerjasama.Â
Usaha tersebut membuahkan hasil apabila pada Mac 2024, beliau bersama enam anggota misi berjaya memasuki Gaza melalui Pintu Sempadan Rafah menerusi kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Misi berkenaan turut melibatkan usaha mendapatkan akses bagi membolehkan pasukan perubatan memberikan bantuan kepada hospital yang masih beroperasi.

Penglibatan aktif beliau dalam misi kemanusiaan turut membuka peluang untuk menggalas beberapa jawatan kepimpinan di MERCY, termasuk sebagai Naib Presiden II, Ketua Operasi Program Pemulihan Pascatsunami Aceh dan Nias serta Pengarah Serantau bagi Timur Tengah dan Afrika Utara. Beliau kini merupakan Penasihat Majlis Khas MERCY Malaysia.
Sepanjang kerjayanya, Dr. Norazam telah memimpin atau memberikan kepimpinan teknikal dalam 17 program pemulihan bencana dan konflik berskala antarabangsa. Pengalaman tersebut turut menjadikannya rujukan dalam bidang seni bina kemanusiaan dan pemulihan pascabencana apabila beliau terlibat sebagai penceramah, jurulatih serta penasihat dalam perkongsian kepakaran berkaitan pengurusan risiko dan pembangunan penempatan.
Antara pengalaman paling panjang beliau ialah ketika mengetuai operasi MERCY Malaysia di Aceh selepas tsunami pada 2004. Sepanjang empat tahun di sana, beliau terlibat dari fasa kecemasan sehinggalah usaha pembangunan semula dilaksanakan.Â
Sepanjang tempoh itu, beliau menyaksikan sendiri keperluan masyarakat dalam tempoh pemulihan serta membentuk kefahaman beliau tentang kepentingan perancangan penempatan yang lebih berdaya tahan.
Walaupun sibuk dengan tanggungjawab kemanusiaan, beliau tetap komited meneruskan pengajian dengan mengikuti kuliah dan perbincangan secara atas talian serta menyiapkan penulisan penyelidikan ketika berada di lokasi misi.
Menurut beliau, pengurusan masa menjadi perkara penting bagi memastikan tanggungjawab akademik tidak terabai. Beliau memanfaatkan setiap masa yang terluang untuk memberikan tumpuan kepada penulisan penyelidikannya.
Menerusi penyelidikan bertajuk Resilient Resettlement Model (RRM), iaitu kerangka perancangan yang mampu mengurangkan risiko bencana, Model ini bertujuan membantu membangunkan penempatan yang lebih lestari serta menyokong proses pemulihan masyarakat selepas berlakunya bencana.Â
Kepakaran beliau dalam bidang seni bina turut dimanfaatkan menerusi beberapa usaha kemanusiaan, antaranya membantu menyediakan cadangan reka bentuk bangunan Jabatan Kecemasan tiga tingkat di Hospital Al-Razi, Aleppo, Syria serta terlibat dalam penyediaan 240 unit kediaman sementara di Aceh Tamiang, Indonesia.
Sepanjang tempoh pengajiannya, Dr. Norazam menghargai sokongan isterinya, Mastura Ahmad Nordin yang sentiasa memberi dorongan dalam perjalanan akademik tersebut. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyelianya, Dr. Khammarul Azahari bin Razak atas bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan.

Menurut beliau, penyelianya bukan sahaja memberikan bimbingan dalam penyelidikan, malah turut turun ke lapangan bagi menjalankan penilaian awal ketika berlakunya banjir di Hulu Langat. Pengalaman tersebut memberinya pendedahan tentang bagaimana penyelidikan dan ilmu yang dipelajari dapat diaplikasikan dalam menangani situasi sebenar ketika masyarakat ditimpa bencana.
Mengimbas kenangan di UTM, beliau menyifatkan perbincangan penyelidikan bersama rakan-rakan sebagai kenangan manis apabila mereka saling berkongsi pandangan dan membantu antara satu sama lain dalam menyiapkan penulisan.
Beliau turut menghargai sesi pertemuan penyelidikan yang diadakan secara berkala kerana membolehkannya mengikuti perkembangan kajian rakan-rakan serta mempelajari pendekatan yang digunakan dalam menangani isu berkaitan bencana. Walaupun berbeza latar belakang dan usia, hubungan tersebut mewujudkan suasana pembelajaran yang saling menyokong antara satu sama lain.
Harapan beliau kepada pelajar yang baru sahaja melanjutkan pelajaran supaya bersabar dan tidak mudah putus asa dalam menuntut ilmu di samping menghargai bimbingan pensyarah. Beliau mengingatkan juga untuk memanfaatkan ilmu yang diperoleh dan menyumbang kepada masyarakat dan juga negara.