Cemerlang akademik dan kepimpinan, Hazim rangkul Anugerah Naib Canselor (Kepimpinan)

SDGSDG4SDG5SDG17

📝 Ringkasan

Hazim Azatul Amery, seorang graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah menerima Anugerah Naib Canselor (Kepimpinan) pada Majlis Konvokesyen UTM ke-70. Hazim telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang sepanjang pengajiannya, dengan menggalas pelbagai tanggungjawab, termasuk kepimpinan kolej, perwakilan pelajar, dan misi kemanusiaan. Beliau juga telah menunjukkan keupayaan akademik yang cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.76.

JOHOR BAHRU, 17 November 2026 – Memimpin mahasiswa, aktiviti khidmat masyarakat dan wacana ilmu mewarnai perjalanan Muhammad Hazim Azatul Amery sepanjang pengajiannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Komitmen itu kini diraikan menerusi Anugerah Naib Canselor (Kepimpinan) bersempena Majlis Konvokesyen UTM ke-70 (MK70), melengkapkan pencapaian graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian itu yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.76.

Bakat kepimpinan Hazim terserlah sejak berada di tahun pertama pengajian.

Sepanjang bergelar mahasiswa, Hazim menggalas pelbagai tanggungjawab, daripada kepimpinan kolej kediaman hingga mewakili suara pelajar pada peringkat universiti dan kebangsaan.

Bermula sebagai Ketua Biro Media Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tun Hussein Onn, beliau kemudiannya menerajui JKM kolej tersebut bagi sesi 2023/2024 sebelum memegang amanah sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM sesi 2024/2025.

Dalam peranan tersebut, beliau terlibat dalam usaha mengetengahkan isu akademik dan kebajikan mahasiswa serta menjalin kerjasama dengan pengurusan universiti bagi menambah baik kehidupan pelajar di kampus.

Penglibatannya turut merangkumi tanggungjawab sebagai Setiausaha Kerja Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), dengan tugas melibatkan penyelarasan perundingan mahasiswa bersama Kementerian Pendidikan Tinggi serta penyediaan cadangan berkaitan kebolehpasaran dan kebajikan pelajar.

Semasa International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2025, Hazim menjadi anggota pasukan yang membentangkan resolusi belia kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir. Pengalaman itu memperluas ruang sumbangannya dalam menyampaikan aspirasi generasi muda tentang masa depan negara.

Keupayaan membawa suara pelajar juga terserlah apabila beliau menjadi ahli panel wacana sempena 100 hari pentadbiran Naib Canselor UTM kelapan pada April 2025.

Dalam wacana itu, beliau mengetengahkan kepentingan komunikasi terbuka antara mahasiswa dengan pengurusan universiti serta perhatian terhadap pembelajaran, kebajikan dan kebolehpasaran graduan.

Di luar ruang perbincangan, Hazim turut terlibat secara langsung dalam kegiatan kemanusiaan. Beliau menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Misi Pelajar dalam Misi Bantuan Ihsan Madani KPT ke Kelantan pada Disember 2024 yang melibatkan 64 sukarelawan, terdiri daripada pelajar, staf dan pemandu.

Misi tersebut merangkumi kerja pembersihan pascabanjir serta penghantaran barangan keperluan asas kepada masyarakat yang terjejas. Pada Mac 2025, beliau turut mengetuai misi pembersihan pascabanjir bersama penduduk Kampung Sepakat Baru, Skudai.

Komitmen kepimpinan itu berjalan seiring dengan pembangunan keupayaan akademik dan penyelidikan.

Hazim menjalani latihan industri antarabangsa selama 12 minggu di Imperial College London, United Kingdom, dengan penglibatan dalam penyelidikan automasi bagi eksperimen penghabluran serta pendedahan kepada teknologi penangkapan karbon.

Di bawah bimbingan Prof. Jerry Heng dan Dr. Isha Bade, beliau memperoleh pengalaman menggunakan sistem robotik dalam penyelidikan, di samping membina jaringan dan menyesuaikan diri dengan budaya kerja antarabangsa.

Bagi projek tahun akhirnya, beliau mengkaji penukaran karbon dioksida kepada gas metana menggunakan mangkin, suatu bidang penyelidikan yang meneroka penggunaan semula gas rumah hijau. Rekod pengalamannya turut mencatatkan pembentangan penyelidikan berkaitan dalam Global Student Leadership Summit (GSLS) 2026 di Tsukuba, Jepun.

Beliau juga merupakan anggota pasukan UTM yang meraih tempat keempat dalam Southeast Asia Global Innovation Challenge 2025 menerusi PalmEye, projek penggunaan pembelajaran mendalam untuk mengesan tahap kematangan tandan buah segar kelapa sawit.

Pencapaian kepimpinannya turut merangkumi pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa UTM 2025 dan Anugerah Kepimpinan Pelajar Terbaik (MPP). Dalam perkongsian sempena pengiktirafan tersebut, Hazim menzahirkan penghargaan terhadap insan yang menyokong perjalanan pengajiannya.

“Anugerah ini mungkin tertera atas satu nama, tetapi hakikatnya ia adalah himpunan doa ibu dan ayah yang tidak pernah putus, kepercayaan para pensyarah dan mentor yang sentiasa membimbing serta pengorbanan sahabat-sahabat yang menjadi saksi kepada setiap jatuh bangun perjalanan ini,” tulisnya.

Satu lagi sisi perjalanan Hazim ialah sumbangannya dalam penulisan berita universiti. Sepanjang MK67 hingga MK69, beliau terlibat menemu bual graduan dan menghasilkan berita tentang pencapaian serta kisah kehidupan mereka untuk UTM NewsHub.

Antara hasil penulisannya ialah kisah pasangan kembar yang bergraduasi pada MK69, diterbitkan pada November 2025. Pengalaman tersebut memberinya ruang mengetengahkan perjalanan insan lain kepada pembaca.

Kini, selepas pernah merakam kejayaan graduan lain, Hazim sendiri menjadi sebahagian daripada kisah kecemerlangan yang diraikan pada MK70.

Doa kedua ibu bapa menjadi azimat dan inspirasi Hazim untuk berjaya dalam kepimpinan dan akademik.

Beliau kini memulakan kerjaya sebagai Jurutera Proses Pembuatan di ExxonMobil, membawa pengalaman akademik, penyelidikan dan kepimpinan ke persekitaran industri.

Perjalanan Hazim memperlihatkan bagaimana pendidikan membentuk mahasiswa yang berilmu dan berjiwa masyarakat.

Daripada menguasai ilmu kejuruteraan hingga memperjuangkan kebajikan rakan pelajar dan menyumbang tenaga dalam misi kemanusiaan, beliau menterjemahkan pengalaman pembelajaran kepada bakti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Explore More

UTM Open Day