📝 Ringkasan
Pasangan kembar identikal Nur Izah Azan dan Nur Izzati Azan bergraduasi serentak dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Islam) dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70. Mereka berdua berasal dari Tanah Merah, Kelantan dan telah menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang.
JOHOR BAHRU, 18 November 2026 – Hanya berbeza tujuh minit waktu kelahiran, pasangan kembar identikal, Nur Izah Azan dan Nur Izzati Azan, membuktikan bahawa ikatan persaudaraan yang erat, disiplin diri dan keazaman mengejar cita-cita mampu menjadi pemangkin kejayaan akademik.
Berasal dari Tanah Merah, Kelantan, kedua-duanya melakar pencapaian bermakna apabila bergraduasi serentak dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Islam) dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70.
Perjalanan akademik Nur Izah, kakak yang dilahirkan pada jam 4 petang, dan Nur Izzati, adik yang dilahirkan tujuh minit kemudian pada jam 4.07 petang, bermula di Maahad Ahmadi Tanah Merah, Kelantan, dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Walaupun belajar di sekolah yang sama, kedua-duanya mengikuti aliran berbeza. Izah memilih aliran Ekonomi, manakala Izzati mengikuti aliran Sains Tulen.
Selepas menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka menerima tawaran pengajian di institusi berbeza, iaitu Izah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Izzati di Kolej Matrikulasi Kelantan.
Namun, kerana masih belum bersedia untuk berjauhan, pasangan kembar itu membuat keputusan bersama untuk melanjutkan pengajian Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Kelantan, dalam aliran Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Agama.
“Kami membuat keputusan untuk tidak berpisah dahulu dan menyambung pengajian di SMKA Wataniah dalam aliran STPM Agama. Melalui pengajian itu, kami mula menetapkan cita-cita untuk menjadi guru Pendidikan Islam,” imbau Izah mengenai permulaan perjalanan mereka.
Perjalanan mereka di peringkat STPM turut diwarnai cabaran kesihatan apabila kedua-duanya pernah menjalani pembedahan besar yang melibatkan pemasangan implan.
Keadaan tersebut memerlukan mereka mengambil cuti persekolahan selama dua bulan bagi menjalani proses pemulihan. Namun, cabaran itu tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan pengajian.
Kedua-duanya berjaya menamatkan STPM dengan keputusan yang memberangsangkan hasil bimbingan guru-guru sebelum memperoleh peluang melanjutkan pengajian ke UTM bersama-sama.
Keputusan melanjutkan pengajian ke UTM pula didorong oleh pengalaman yang memberi inspirasi ketika mereka masih di SMKA Wataniah.
Pada awalnya, mereka tidak mengetahui bahawa UTM turut menawarkan program Pendidikan dalam Pengajian Islam kerana menyangka universiti itu hanya memberi tumpuan kepada bidang kejuruteraan.
Tanggapan tersebut berubah apabila seorang senior sekolah mereka, Muhammad Wasiq Mohd Shukry, pelajar UTM, pulang ke sekolah sempena program persatuan dan menyampaikan ceramah motivasi.
“Ketika itu, kami memang mahu menjadi guru, tetapi belum tahu universiti mana yang sesuai. Kemudian, seorang senior dari UTM datang ke sekolah untuk memberikan ceramah. Daripada situ, barulah kami tahu UTM bukan hanya menawarkan bidang kejuruteraan, tetapi juga program Pendidikan Islam. Apabila mengisi UPU, kami sama-sama meletakkan UTM sebagai pilihan pertama,” kongsi Izah.
Kedua-duanya kemudian dipanggil menghadiri sesi temu duga dalam talian yang dijalankan secara berturut-turut dengan panel penemuduga yang sama. Mereka akhirnya berjaya memperoleh tawaran pengajian di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM.

Saling melengkapi tanpa persaingan
Memulakan kehidupan sebagai mahasiswa di UTM Johor Bahru menjadi cabaran baharu bagi dua beradik berusia 24 tahun itu. Buat pertama kali, mereka perlu tinggal jauh daripada keluarga di Kelantan.
Atas nasihat ibu bapa yang mahu mereka belajar berdikari dan meluaskan pergaulan, kedua-duanya bersetuju untuk tinggal di bilik berasingan bersama rakan sebilik masing-masing sepanjang dua tahun pertama di Kolej 9 (K9).
Memasuki tahun ketiga dan keempat pengajian, mereka berpindah ke Kolej Rahman Putra (KRP) dan kembali berkongsi bilik. Seiring dengan kematangan sepanjang tempoh pengajian, pasangan kembar itu turut mula membentuk identiti peribadi masing-masing, termasuk dari segi penampilan.
“Ketika mula-mula masuk universiti, setiap kali hendak ke kelas, saya akan bertanya kepadanya baju apa yang mahu dipakai. Namun, apabila memasuki Tahun Tiga dan Tahun Empat, kami rasa perlu membawa identiti sendiri. Contohnya, jika seorang memakai tudung bawal, seorang lagi akan memakai tudung jenis selendang supaya penampilan kami tidak terlalu serupa,” seloroh Izzati.
Dari segi penampilan fizikal, rakan-rakan dan pensyarah yang mengenali mereka secara dekat mula dapat membezakan kedua-duanya melalui bentuk wajah dan nada suara.
Izzati mempunyai bentuk wajah yang sedikit lebih panjang, manakala wajah Izah kelihatan lebih bulat.
Mengikuti program pengajian yang sama tidak pernah menimbulkan persaingan tidak sihat antara Izah dan Izzati.
Sebaliknya, mereka menganggap satu sama lain sebagai rakan yang saling mencabar dan menyokong, atau sparring partner, sejak zaman persekolahan.

Izzati menyifatkan sikap saling membantu sebagai antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajian. Ikatan kembar memudahkan mereka berkongsi ilmu dan membantu apabila berdepan kesukaran, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada rakan lain.
“Momen paling bermakna ialah apabila kami dapat saling membantu. Kami belajar bersama dalam kelas. Jika salah seorang tidak faham atau tidak dapat hadir, seorang lagi boleh membantu. Pernah juga ketika pembentangan, dia membantu saya kerana saya tidak dapat hadir. Kami mempunyai kembar sendiri yang boleh membantu,” katanya.
Sikap saling membantu itu menjadi lebih bermakna apabila Izah sekali lagi berdepan cabaran kesihatan ketika berada di Semester 5. Beliau perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pembedahan.
Keadaan tersebut menyebabkan Izah tidak dapat menghadiri beberapa sesi kuliah seperti biasa. Dalam tempoh itu, Izzati banyak membantu, termasuk mewakili kakaknya dalam beberapa sesi pembentangan di dalam kelas.
Walaupun baru dua minggu menjalani pembedahan, Izah bertekad untuk tidak menangguhkan pengajian. Beliau meneruskan latihan mengajar pada Semester 6 bagi memastikan dapat menamatkan pengajian dan bergraduasi bersama-sama Izzati dalam Majlis Konvokesyen UTM Ke-70.
Kejayaan sepanjang pengajian hingga melangkah ke alam kerjaya
Sepanjang empat tahun di UTM, pasangan kembar itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengajian, malah turut aktif dalam aktiviti inovasi, penyelidikan dan penulisan ilmiah.
Antara pencapaian mereka ialah penyertaan dalam pertandingan Innovation in Education (InnoVex 2026), apabila Izah dan Izzati bersama empat ahli kumpulan menghasilkan video animasi Sirah Nabi, khususnya berkaitan Detik Kewafatan Nabi Muhammad SAW, menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Projek itu berjaya meraih tempat kedua kategori Young Social Science dengan bimbingan pensyarah subjek Dr. Muhammad Talhah Ajmain @ Jima’ain.
“Melalui pertandingan InnoVex, kami menggunakan AI untuk menghasilkan animasi Sirah. Projek ini berpotensi membantu masyarakat dan pelajar mempelajari Sirah melalui visual animasi yang menarik,” jelas Izah.

Selain itu, Izah menyertai pertandingan inovasi idea Dream Chaser anjuran sebuah universiti di China secara dalam talian. Ketika Izah berdepan masalah keyakinan diri, Izzati terus memberikan sokongan moral. Hasilnya, kumpulan Izah berjaya meraih tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM3,000.
Penglibatan mereka dalam aktiviti kesukarelawanan turut membuka peluang untuk menjadi penulis bersama bagi penerbitan buku yang mengetengahkan kisah sahabat-sahabat Nabi dan isteri-isteri Rasulullah.
Kecemerlangan akademik yang ditunjukkan turut membuka peluang kepada kedua-duanya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) melalui saluran pantas (fast-track).
Bagaimanapun, mereka menangguhkan tawaran itu terlebih dahulu berikutan komitmen kontrak Biasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memerlukan mereka berkhidmat sebagai pendidik.
Selepas bergraduasi, Izah dan Izzati bersedia untuk berkhidmat di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Sementara menunggu penempatan rasmi di sekolah, yang dijangka mengambil masa, mereka berhasrat menimba pengalaman bekerja dalam pelbagai sektor.
Mengenai penempatan kelak, kedua-duanya berharap dapat ditugaskan di negeri yang sama. Namun, mereka tetap bersedia menerima kemungkinan ditempatkan di lokasi berbeza demi memenuhi tuntutan tugas sebagai pendidik.
Sebelum mengakhiri perbualan, Izah dan Izzati turut berkongsi pesanan kepada generasi muda yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.
Bagi Izzati, disiplin diri menjadi asas penting dalam mencapai kejayaan. Pelajar perlu mematuhi jadual yang ditetapkan, bijak memilih rakan kerana persekitaran pergaulan mampu mempengaruhi akhlak dan semangat, serta sentiasa memperkukuh hubungan dengan agama sebagai sumber kekuatan ketika berdepan cabaran, khususnya apabila berjauhan daripada keluarga.
Izah pula mengingatkan pelajar supaya sentiasa mengingati tujuan utama mereka melanjutkan pengajian ke universiti.
“Sentiasa ingat kembali ‘Big WHY’, iaitu sebab utama kita masuk universiti. Perjalanan untuk sampai ke universiti bukan mudah, jadi jangan lupakan matlamat apabila sudah menikmati kebebasan di kampus,” pesannya.

Kisah perjalanan Nur Izah Azan dan Nur Izzati Azan memperlihatkan bagaimana keazaman mengejar cita-cita, sokongan keluarga dan hubungan persaudaraan yang erat dapat menjadi sumber kekuatan dalam menghadapi cabaran.
Bagi kedua-duanya, kejayaan bukan sekadar pencapaian di pentas konvokesyen, tetapi juga hasil perjalanan panjang yang dibina melalui disiplin, ketekunan dan semangat saling membantu.