📝 Ringkasan
Forum Malaysia Merdeka dan Pameran Kelestarian diadakan di Sungai Johor Eco Retreat (SUNJER) untuk mempromosikan kelestarian Sungai Johor sebagai sumber air, khazanah alam sekitar dan sebahagian daripada sejarah dan warisan negeri Johor. Sungai Johor mempunyai nilai yang lebih luas dari segi alam sekitar, sejarah dan kehidupan masyarakat.
KOTA TINGGI, 13 Sept. – Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS) dengan kerjasama Majlis Profesor UTM (MPUTM) dan Johor Plantation Group Berhad (JPG) menganjurkan Forum Malaysia Merdeka dan Pameran Kelestarian yang mengetengahkan tema ‘Kelestarian Sungai Johor: Nadi Sejarah Bangsa’.
Program yang berlangsung di bangunan Sungai Johor Eco Retreat (SUNJER) itu memberi tumpuan kepada kepentingan memelihara Sungai Johor sebagai sumber air, khazanah alam sekitar serta sebahagian daripada sejarah dan warisan negeri Johor.

Mantan Pengarah UTMCCS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din berkata, Sungai Johor bukan sekadar aliran air, sebaliknya mempunyai nilai yang lebih luas dari segi alam sekitar, sejarah dan kehidupan masyarakat.
“Dengan kepanjangan kira-kira 123 kilometer dan lembangan seluas sekitar 2,640 kilometer persegi, sungai ini merupakan sumber air penting, habitat semula jadi, laluan perdagangan serta pentas perkembangan Kesultanan Johor Lama.
“Daripada Kota Seluyut yang dibangunkan pada tahun 1564, Kota Batu, Johor Lama dan makam-makam diraja, hinggalah kepada memori masyarakat di sepanjang sungai, semuanya membuktikan bahawa sejarah bangsa dan kelestarian alam tidak boleh dipisahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas slot pelancaran program berkenaan yang turut dihadiri LAr. Dr. Zanariah Jasmani yang Menjalankan Fungsi Pengarah UTMCCS; Pengerusi MPUTM, Prof. Sr. Gs. Dr. Mazlan Hashim dan Penolong Pendaftar Kanan UTMCCS, Kiflee Jimpi.


Dalam sesi forum, Prof. Fadhil turut mengetengahkan kepentingan pendekatan sains warga dan pemantauan berasaskan data dalam usaha memahami serta memelihara kesihatan sungai.
“Kesihatan sungai tidak boleh dinilai berdasarkan kejernihan air semata-mata, malah pengukuran perlu dibuat melalui kualiti air, biodiversiti, aliran ekologi, keadaan tebing dan habitat, kesejahteraan komuniti serta keberkesanan tadbir urus,” katanya.
Sehubungan itu, pendekatan SUNJER sebagai makmal hidup turut diketengahkan dengan menggabungkan pemantauan air dan biodiversiti, dokumentasi sejarah lisan, pendidikan sekolah serta pembangunan ekonomi komuniti.
Menurut Prof. Fadhil, pendekatan sains warga berupaya memperluas pemerhatian masyarakat terhadap keadaan sungai, namun pengumpulan data perlu dilaksanakan menggunakan kaedah yang betul, disertakan metadata dan disahkan secara saintifik.
“Sungai Johor tidak dinafikan mempunyai potensi ekonomi melalui ekopelancongan, perjalanan sungai, perikanan rekreasi, makanan tempatan dan perkhidmatan komuniti. Namun prinsipnya mesti jelas, iaitu pulihara dahulu, tafsir sejarah dengan jujur, kemudian bangunkan manfaat ekonomi secara bertanggungjawab,” tegasnya.
Beliau berkata, forum berkenaan bukan sekadar menjadi wadah untuk mengenang kegemilangan masa lalu, malah membawa seruan supaya kerajaan, universiti, sekolah, pengusaha dan masyarakat berganding bahu dalam usaha menjadikan Sungai Johor sebagai sungai yang bersih, warisan yang terpelihara dan sumber kehidupan yang terus berdaya tahan.
“Menjaga Sungai Johor bererti menjaga sejarah, keselamatan air dan masa depan generasi kita,” tegasnya.
Selain Prof. Fadhil, forum turut menampilkan Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Johor, Hj. Ahmad Bahri Mahdi, yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Kelestarian Sungai Johor (1528-1718) Nadi Sejarah Bangsa’.

Ceramah berkenaan antaranya mengupas sejarah negeri Johor dan kerajaan-kerajaan awal di negeri itu serta kaitannya dengan Sungai Johor sebagai salah satu elemen penting dalam perkembangan sejarah dan kehidupan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, penganjuran Forum Malaysia Merdeka dan Pameran Kelestarian turut disokong dengan pelbagai aktiviti berkaitan kelestarian yang memberi pendedahan kepada peserta dan penduduk setempat mengenai amalan serta pendekatan pemeliharaan alam sekitar.

Penganjuran program berkenaan turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), antaranya SDG 6 berkaitan Air Bersih dan Sanitasi, SDG 15 berkaitan Kehidupan di Darat dan SDG 17 berkaitan Rakan Kerjasama untuk Matlamat. Ia turut mempunyai kaitan dengan SDG 11 berkaitan Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 8 berkaitan Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi serta SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti.