📝 Ringkasan
UTM mengetengahkan empat teknologi inovatif sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026. Inovasi-inovasi ini termasuk Eksoskeleton Pasif untuk Penuaian Buah Kelapa Sawit, Pengekstrakan Superkritikal Biji Tunjuk Langit untuk Aplikasi Kesihatan, NanoBlast™ Nanobubble Technology, dan Sistem Kamera Pintar Dipertingkat IoT GreenPulse untuk Pemantauan Automatik bagi Fertigasi dan Penyakit Tanaman. Pameran ini bertujuan untuk memperkenalkan hasil penyelidikan UTM kepada pemain industri, agensi, usahawan dan masyarakat, serta membuka ruang bagi teknologi universiti untuk mendapatkan maklum balas pasaran dan membina jaringan strategik.
SERDANG, 7 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya dalam mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi berimpak apabila empat teknologi UTM dipamerkan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.
Penyertaan UTM kali ini mengetengahkan inovasi dalam bidang mekanisasi pertanian, teknologi pemprosesan bahan semula jadi, akuakultur serta pertanian pintar berasaskan Internet Kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI). Pameran dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu 28 hingga 31 Ogos 2026 dan 1 hingga 6 September 2026.
Antara inovasi yang diketengahkan dalam fasa pertama ialah Eksoskeleton Pasif untuk Penuaian Buah Kelapa Sawit (Passive Exoskeleton for Harvesting Palm Oil Fruit) oleh Dr. Wan Aliff Abdul Saad dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM). Inovasi ini memberi fokus kepada penggunaan teknologi sokongan fizikal dalam aktiviti penuaian buah kelapa sawit, sekali gus memperlihatkan potensi kejuruteraan dalam membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

Turut dipamerkan ialah GoSwiet: Pengekstrakan Superkritikal Biji Tunjuk Langit untuk Aplikasi Kesihatan (GoSwiet: Supercritical Extraction Swietenia Macrophylla Seed for Healthcare Applications) yang diterajui oleh Prof. Madya Dr. Liza Md Salleh dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) bersama syarikat hilirannya, HA Southern Global Sdn. Bhd. Teknologi ini mengetengahkan aplikasi pengekstrakan superkritikal bagi memanfaatkan biji Swietenia macrophylla atau tunjuk langit untuk potensi aplikasi dalam sektor kesihatan.

Bagi fasa kedua pameran pula, UTM mengetengahkan NanoBlast™ Nanobubble Technology oleh Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah dari Fakulti Sains bersama syarikat hilirannya, Pure Aims Technologies Sdn. Bhd. Teknologi nanobuih ini diketengahkan khususnya bagi aplikasi yang berpotensi meningkatkan produktiviti dalam industri akuakultur.
Satu lagi inovasi ialah Sistem Kamera Pintar Dipertingkat IoT GreenPulse untuk Pemantauan Automatik bagi Fertigasi dan Penyakit Tanaman (GreenPulse IoT-Enhanced Smart Camera System for Automated Fertigation and Disease Monitoring) oleh Ir. Dr. Hazilah Mad Kaidi dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI). Sistem ini membawa pendekatan pertanian pintar melalui penggunaan IoT dan kamera pintar bagi menyokong proses fertigasi automatik serta pemantauan penyakit tanaman.
Kehadiran empat teknologi ini di MAHA 2026 memberi peluang kepada penyelidik UTM untuk memperkenalkan hasil penyelidikan secara terus kepada pemain industri, agensi, usahawan dan masyarakat. Platform seperti MAHA turut membuka ruang kepada teknologi universiti untuk mendapatkan maklum balas pasaran, membina jaringan strategik serta meneroka potensi kerjasama dan pengkomersialan.

Selain pameran inovasi, penglibatan UTM turut diperkukuh menerusi sesi Pocket Talk selama 30 minit yang memberi ruang kepada penyelidik berkongsi secara lebih dekat mengenai teknologi, aplikasi dan potensi inovasi masing-masing.
Pada 28 Ogos 2026, Prof. Madya Dr. Liza Md Salleh menyampaikan perkongsian bertajuk “Inovasi GoSwiet: Memaksimumkan Potensi Biji Swietenia macrophylla (Tunjuk Langit) dalam Sektor Kesihatan”. Sesi ini mengetengahkan potensi sumber semula jadi tempatan untuk diterokai melalui teknologi pemprosesan dan seterusnya diterjemahkan kepada aplikasi bernilai tambah dalam sektor kesihatan.
Pada 5 September 2026 pula, Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah berkongsi mengenai “NanoBlast™ – Pemacu Produktiviti dalam Industri Akuakultur”, manakala Ir. Dr. Hazilah Mad Kaidi mengetengahkan GreenPulse IoT-Enhanced Smart Camera System for Automated Fertigation and Disease Monitoring. Kedua-dua sesi ini memperlihatkan bagaimana inovasi UTM boleh diaplikasikan bagi menangani keperluan sebenar sektor pertanian dan akuakultur melalui penggunaan teknologi baharu.
Sesi Pocket Talk ini bukan sahaja menjadi medium perkongsian ilmu, malah turut membantu penyelidik menerangkan teknologi dalam konteks aplikasi sebenar kepada pengguna dan industri, sekali gus meningkatkan keterlihatan inovasi UTM kepada khalayak yang lebih luas.

Penglibatan UTM dalam MAHA 2026 mencerminkan usaha berterusan universiti untuk memastikan hasil penyelidikan tidak terhenti di makmal, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian yang boleh dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat.
Melalui penyertaan yang diselaraskan oleh Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC UTM), platform MAHA menjadi salah satu medan strategik untuk meningkatkan keterlihatan teknologi universiti, membina hubungan bersama industri, mengenal pasti peluang pengkomersialan serta mendapatkan input secara langsung daripada bakal pengguna dan rakan strategik.
Penyertaan ini juga memperkukuh agenda UTM dalam membangunkan ekosistem inovasi yang menghubungkan penyelidikan, teknologi, industri dan pasaran, khususnya dalam bidang pertanian dan agromakanan yang semakin memerlukan penyelesaian berasaskan teknologi pintar, automasi dan kelestarian.
Dengan mengetengahkan inovasi daripada pelbagai disiplin serta memberi ruang kepada penyelidik berinteraksi secara langsung dengan masyarakat menerusi Pocket Talk, UTM terus membawa semangat inovasi daripada makmal kepada pasaran dan masyarakat, sekali gus memperluas impak penyelidikan universiti kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Oleh Ts. Dr. Norhayati Mohamed Noor, AMIChemE (Pegawai Strategik ICC & Penyelaras MAHA 2026 – UTM) dan ChM. Ts. Dr. Siti Nor Azlina Abd Rashid (Pegawai ICC)