📝 Ringkasan
Seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, seorang tokoh ilmuwan dan pemikir peradaban Islam yang amat dihormati. Beliau telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan pemikiran Islam, falsafah serta pembangunan tradisi keilmuan di peringkat nasional dan global. Legasi intelektual beliau akan kekal menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat dan para akademia.
JOHOR BAHRU, 9 Mac – Seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh ilmuwan dan pemikir peradaban Islam yang amat dihormati, Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan pemikiran Islam, falsafah serta pembangunan tradisi keilmuan di peringkat nasional dan juga global.
Allahyarham terkenal sebagai seorang tokoh kesarjanaan tersohor yang telah memperkaya khazanah ilmu melalui penulisan dan gagasan pemikiran yang telah memberi impak signifikan kepada dunia akademia. Gagasan pemikiran beliau mengenai konsep pendidikan berteraskan pandangan Islam serta usaha memperkukuh kedudukan ilmu dalam pembinaan tamadun telah menjadi rujukan penting dalam pelbagai wacana kontemporari.
UTM amat menghargai sumbangan Allahyarham yang telah memainkan peranan penting dalam memberi gagasan falsafah dan pemikiran penubuhan Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS) yang berperanan memperkukuh penyelidikan dan pengajaran berkaitan Islam, sains dan peradaban. Pusat ini ditubuhkan pada 21 Februari 2011 di UTM Kuala Lumpur. Penubuhan pusat ini merupakan komitmen universiti dalam meneruskan tradisi keilmuan serta memperkaya wacana intelektual yang memahami cabaran pemikiran Barat semasa, pada masa yang sama mendalam ilmu turathnya.
Sebagai Profesor Pelawat Ternama di RSZ-CASIS, Allahyarham sering meluangkan masa bersama-sama pensyarah, pelajar dan masyarakat awam menerusi pelbagai wacana termasuk RZS-CASIS Saturday Night Lecture Series (SNL) yang merupakan wacana ikonik beliau. Allahyarham masih bergiat aktif bersama RZS-CASIS sehingga pemergian beliau.
Legasi intelektual yang digagaskan oleh Allahyarham akan kekal menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat dan para akademia dalam usaha berterusan memperkukuh pembangunan ilmu, memartabatkan budaya ilmu serta menyumbang kepada pembangunan peradaban yang berteraskan nilai dan adab.
Seluruh warga UTM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Al-Fatihah