📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Jabatan Pendaftar telah melancarkan Pelan Tindakan Pendaftar 2026 yang bertemakan “Transformasi Tangkas, Pasak Ekosistem Berprestasi Tinggi” untuk mendepani era pascanormal. Pelan ini menekankan peralihan kepada pendekatan dinamik, pengurusan bakat, dan budaya kerja berprestasi tinggi, selaras dengan kerangka UTM ASCEND 2030. Pelbagai inisiatif digital dan strategik telah dirangka untuk tahun 2026 bagi memperkasa kecemerlangan operasi dan tadbir urus universiti
JOHOR BAHRU, 2 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Jabatan Pendaftar telah mengadakan Sesi Taklimat Pelan Tindakan Pendaftar 2026 yang disampaikan oleh Pendaftar UTM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, bertempat di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.
Taklimat yang bertemakan “Transformasi Tangkas, Pasak Ekosistem Berprestasi Tinggi” ini menekankan keperluan universiti untuk beralih daripada kaedah konvensional kepada pendekatan yang lebih dinamik dalam mendepani era pascanormal yang sarat dengan ketidaktentuan dan perubahan pantas.
“Transformasi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan. Ketangkasan pula bukan sekadar kelebihan tambahan, tetapi syarat asas untuk universiti kekal relevan, diyakini dan berdaya saing,” ujar Dato’ Dr. Mohd Sharil.

Jabatan Pendaftar kini berperanan sebagai pasak yang memastikan kecemerlangan strategik universiti diterjemahkan melalui sistem, pengurusan bakat dan budaya kerja berprestasi tinggi, bukan sekadar mengurus rekod serta prosedur pentadbiran semata-mata. Melalui lima topik utama yang dibentangkan, pelan ini bertujuan menyelaraskan kompas seluruh warga UTM agar seiring dengan trajektori pendidikan tinggi negara dan global yang menuntut fleksibiliti, integrasi teknologi serta penekanan terhadap kesejahteraan insan.

Asas kepada pelan ini adalah kefahaman mendalam terhadap lima persoalan strategik yang menegaskan bahawa universiti wujud untuk membina tamadun melalui ilmu dan membentuk manusia, bukan sekadar melahirkan tenaga kerja. Aspirasi tersebut diperkukuhkan melalui kerangka UTM ASCEND 2030 yang merangkumi empat tunjang utama iaitu Leap in Niche Excellence, Global Talent, Sustainability serta Humanity and Well-Being.
Sebagai imbasan pencapaian tahun 2025, Jabatan Pendaftar telah melaksanakan pelbagai inisiatif digital dan kebajikan seperti Aturan Kerja Fleksibel (AKF), sistem pergerakan staf (i-Gerak), serta penambahbaikan kemudahan perubatan dan keselamatan kampus melalui penggunaan teknologi CCTV pintar. Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa ekosistem kerja yang responsif dan berorientasikan kesejahteraan warga.
Bagi tahun 2026, sebanyak lapan fokus strategik telah dirangka bagi memacu kecemerlangan operasi. Antaranya termasuk pemerkasaan bakat melalui Skim Pensyarah Muda Antarabangsa (IYLS) dan pemendekan tempoh lantikan staf akademik daripada tiga bulan kepada satu bulan. Di samping itu, kelestarian kepakaran akan diperkukuh melalui program mentor SME Protege, manakala pendigitalan perkhidmatan dipertingkat menerusi aplikasi MyPesara dan pelaksanaan transkrip digital.
Segala keputusan strategik pada masa hadapan akan dipandu oleh data melalui pembangunan UTM Datasphere, manakala aspek keselamatan warga kampus terus diperkasa menerusi Security Monitoring Operational Centre (SMOC). Pendekatan berasaskan data dan teknologi ini diyakini mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh tadbir urus universiti.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelan ini bergantung kepada penghayatan DNA ASCEND yang merangkumi Adab, Sinergi, Cekap, Empati, Navigasi dan Dinamik, serta pembudayaan kerja 5K iaitu Keharmonian, Kesejahteraan, Kecekapan, Keterangkuman dan Kemampanan. Nilai-nilai ini menjadi tunjang kepada pembentukan tenaga kerja yang kalis masa hadapan dan berupaya mendepani cabaran global.
Sebagai penutup, Jabatan Pendaftar komited untuk terus berperanan sebagai pemudah cara (enabler) yang membina sistem cekap dan adil demi kepentingan pelajar, staf serta masa depan negara. Sinergi kolektif seluruh warga UTM hari ini merupakan penentu utama kepada kejayaan universiti pada masa hadapan.