Pelaksanaan Tahun 1 Murid Berusia 6 tahun dan Penilaian Tahun 4: Realiti dan Cabaran

📝 Ringkasan

Kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai 2027. Pelaksanaan ini tidak diwajibkan dan ditawarkan sebagai pilihan kepada ibu bapa dengan syarat kanak-kanak melepasi ujian saringan diagnostik khas. Ujian ini bertujuan menilai kebersediaan murid secara menyeluruh, bukan sekadar kebolehan akademik.

Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 bermula tahun 2026 mencerminkan langkah progresif Kerajaan Perpaduan MADANI dalam memperkukuh asas pendidikan negara. Penilaian dilaksanakan pada Tahun 4, iaitu fasa kritikal peralihan murid daripada belajar membaca kepada membaca untuk belajar.

Kerajaan bersetuju untuk membenarkan kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun bermula sesi persekolahan 2027, manakala pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun. Pengumuman ini dibuat oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2036 sebagai usaha memastikan kanak-kanak menerima pendidikan formal lebih awal dan lebih tersusun. Dari perspektif global, umur enam tahun merupakan titik kemasukan paling lazim ke sekolah rendah. Secara purata, kebanyakan negara menetapkan umur sekitar enam tahun sebagai syarat rasmi memasuki Darjah Satu atau Grade 1.

Di kebanyakan negara Eropah, Amerika Utara, Asia Timur dan Afrika, kemasukan Darjah 1 pada umur enam tahun ialah standard. Namun, terdapat juga kepelbagaian dasar iaitu beberapa negara Eropah Tengah dan Asia Tengah menetapkan umur tujuh tahun, manakala di United Kingdom dan Northern Ireland, murid seawal umur empat hingga lima tahun telah memasuki kelas awal yang setara dengan peringkat sekolah rendah. Hakikatnya, dasar kemasukan pada usia enam tahun selari dengan trend antarabangsa. Dalam kalangan negara Asia Tenggara, umur enam tahun merupakan norma serantau bagi kemasukan ke pendidikan rendah.

Majoriti negara ASEAN menetapkan umur ini sebagai titik permulaan rasmi kerana ia dianggap selari dengan tahap perkembangan kognitif, sosial dan emosi kanak-kanak. Sebahagian negara seperti Brunei, Kemboja, Laos, Singapura dan Vietnam menetapkan umur enam tahun sebagai umur kemasukan standard, menjadikannya kategori paling dominan di rantau ini. Negara-negara ini melihat umur enam tahun sebagai tempoh peralihan yang sesuai daripada pendidikan awal kanak-kanak kepada pembelajaran formal yang lebih berstruktur. Dalam masa yang sama, terdapat negara yang memulakan pendidikan rendah lebih awal, iaitu Myanmar, yang membenarkan kemasukan seawal umur lima tahun, manakala Indonesia pula mengambil pendekatan lebih konservatif dengan menetapkan umur tujuh tahun sebagai syarat kemasukan ke sekolah rendah. Malaysia, Filipina dan Thailand, mengamalkan pendekatan yang lebih fleksibel dengan membenarkan kemasukan pada usia enam atau tujuh tahun.

Fleksibiliti ini biasanya bergantung kepada tahap kesediaan murid, pilihan ibu bapa serta mekanisme sokongan dan penilaian yang disediakan oleh kementerian pendidikan masing-masing. Pendekatan sedemikian mencerminkan prinsip bahawa kesediaan kanak-kanak adalah lebih penting daripada sekadar umur kronologi. Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun mulai tahun 2027 adalah tidak diwajibkan. Ia ditawarkan sebagai pilihan kepada ibu bapa, dengan syarat kanak-kanak tersebut melepasi ujian saringan diagnostik khas. Ujian ini bertujuan menilai kebersediaan murid secara menyeluruh, bukan sekadar kebolehan akademik. Antara aspek yang akan dinilai termasuk tahap psikoemosi, kemahiran asas, serta keupayaan kanak-kanak untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran formal Tahun Satu. Ibu bapa perlu mendaftarkan anak mereka untuk menduduki ujian ini, dan kementerian akan menyediakan panduan serta sokongan sepanjang proses tersebut. Sekiranya ibu bapa tidak bersetuju atau anak didapati belum bersedia, mereka masih boleh mengikuti laluan sedia ada dengan memasuki Tahun Satu pada usia tujuh tahun. Justeru, ibu bapa tidak perlu panik, sebaliknya melihat pembaharuan ini secara rasional dan berfakta.

Malaysia sebenarnya pernah mempunyai pengalaman berkaitan pemendekan tempoh persekolahan. Sekitar tahun 1996, kerajaan melaksanakan Penilaian Tahap Satu (PTS) yang membolehkan murid melangkau Darjah Tiga terus ke Darjah Lima. Kumpulan kelahiran 1987 merupakan antara perintis kepada pelaksanaan ini, dengan pemilihan berdasarkan ujian berasaskan IQ. Namun, selepas beberapa tahun, program tersebut dihentikan sekitar tahun 2000 apabila didapati sebahagian murid yang melompat darjah tidak mampu menyesuaikan diri dan terpaksa diturunkan semula ke darjah asal. Pengalaman ini memberi pengajaran penting bahawa pemendekan laluan pendidikan tanpa sokongan menyeluruh boleh memberi kesan jangka panjang kepada murid. Berbeza dengan PTS, kemasukan Tahun Satu pada usia enam tahun bukanlah “lompat kelas” dalam sistem sedia ada.

Namun cabarannya mungkin lebih besar kerana murid belum biasa dengan persekitaran sekolah formal. Justeru, risiko seperti terpaksa mengulang tahun atau menambah tempoh persekolahan iaitu daripada menjimatkan setahun kepada menambah setahun yang perlu dielakkan dengan pelaksanaan yang berhati-hati. Antara kebimbangan utama ialah isu penguasaan asas 3M (membaca, menulis dan mengira). Pelaksanaan yang tergesa-gesa tanpa saringan dan sokongan berkesan berpotensi memburukkan lagi masalah sedia ada, selain menambah beban kepada guru dan murid. Memandangkan tiada kajian rintis berskala besar dilaksanakan, kumpulan pertama murid yang terlibat perlu dipantau secara sistematik. Keberkesanan dasar ini wajar dikaji dari semasa ke semasa agar sebarang kelemahan dapat diperbaiki sebelum diperluaskan.

Selain itu, pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 bermula tahun 2026 mencerminkan langkah progresif Kerajaan Perpaduan MADANI dalam memperkukuh asas pendidikan negara, khususnya dalam aspek literasi dan numerasi murid sekolah rendah. Pendekatan ini menandakan perubahan penting dalam sistem penilaian pendidikan apabila penilaian dilaksanakan pada Tahun 4, iaitu fasa kritikal peralihan murid daripada belajar membaca kepada membaca untuk belajar. Penilaian lebih awal ini membolehkan intervensi bersasar dan berkesan dilaksanakan sepanjang Tahun 5 dan Tahun 6 sebelum murid memasuki sekolah menengah. Matriks Pembelajaran merupakan satu penilaian kebangsaan yang bertujuan mengenal pasti tahap sebenar penguasaan murid dalam kemahiran teras, dan bukan untuk menghukum atau memberi tekanan peperiksaan.

Pendekatan ini selari dengan usaha mengurangkan budaya “ajar untuk peperiksaan” serta mengukuhkan amalan pentaksiran untuk pembelajaran. Pelaksanaan ini turut menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 dan pembangunan kurikulum baharu persekolahan, selain membolehkan data pembelajaran digunakan bagi merapatkan jurang pendidikan antara sekolah dan kawasan. Data ini juga membantu penyaluran sumber pendidikan secara lebih adil dan berasaskan keperluan sebenar murid. Dari perspektif global, Matriks Pembelajaran Tahun 4 selari dengan amalan antarabangsa dan menyokong penyertaan Malaysia dalam pentaksiran seperti TIMSS Gred 4, serta persediaan jangka panjang ke arah SEA-PLM dan PISA. Bagi Tahun 4, penilaian melibatkan mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, manakala pelaksanaan di Tingkatan 3 akan bermula pada tahun 2027.

Tuntasnya, kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun merupakan satu pembaharuan dasar yang selari dengan amalan antarabangsa. Namun, kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang teliti, saringan diagnostik yang menyeluruh, sokongan berterusan kepada guru dan ibu bapa, serta pemantauan rapi terhadap perkembangan murid. Perkara paling penting, kebajikan dan perkembangan kanak-kanak perlu kekal sebagai keutamaan dan bukan sekadar penjimatan tempoh persekolahan, tetapi memastikan setiap anak benar-benar bersedia untuk belajar, berkembang dan berjaya. Manakala Matriks Pembelajaran Tahun 4 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membangunkan sistem pendidikan yang lebih berfokuskan murid, berasaskan data dan berorientasikan masa depan demi melahirkan generasi berdaya saing dan seimbang.

 

Penulis merupakan Profesor dan juga Dekan Fakulti Pendidikan Pendidikan Sains dan Teknologi (FEST) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Explore More

UTM Open Day