📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melaksanakan projek “Naik Taraf Jambatan Besi Air Musang” di Kampung Plang, Gerik, Perak untuk meningkatkan keselamatan dan mobiliti penduduk setempat. Projek ini dilaksanakan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM dengan kerjasama pakar dari Fakulti Kejuruteraan Awam. Mereka menjalankan ujian awalan, analisis teknikal jambatan sedia ada dan penyediaan anggaran kos pembinaan untuk menentukan reka bentuk jambatan baharu yang lebih selamat dan mampan.
GERIK, 15 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti berimpak tinggi apabila kepakaran akademik diterjemahkan secara langsung untuk manfaat komuniti melalui projek “Naik Taraf Jambatan Besi Air Musang” di Kampung Plang, Gerik, Perak. Projek ini dilaksanakan di bawah inisiatif Program Kampung Angkat MADANI dan memberi tumpuan kepada peningkatan keselamatan, mobiliti serta kesejahteraan penduduk setempat.
Pelaksanaan projek ini membuktikan bahawa ilmu dan kepakaran universiti tidak terhad kepada penerbitan ilmiah semata-mata, sebaliknya dimanfaatkan secara praktikal bagi menangani keperluan sebenar komuniti melalui penyelesaian kejuruteraan yang mampan dan berimpak tinggi.

Projek ini diselaras oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), UTM, yang berperanan sebagai pemudah cara strategik antara pakar akademik, komuniti setempat dan agensi kerajaan. Peranan CCIN memastikan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek dilaksanakan secara bersepadu, tersusun serta selari dengan keperluan komuniti dan dasar pembangunan setempat.

Pelaksanaan teknikal projek ini digerakkan oleh barisan pakar daripada Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), UTM, yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Roslli Noor Mohamed selaku pakar struktur dan penyelaras projek. Pasukan ini turut disokong oleh Prof. Madya Dr. Nor Zurairahetty Mohd Yunus, pakar geoteknik; Ir. Dr. Wan Ikram Wajdee, pakar jambatan; Sr. Ts. Dr. Radzuan Sa’ari, juruukur tanah; serta Prof. Madya Sr. Dr. Sarajul Fikri Mohamed dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) UTM Kuala Lumpur sebagai juruukur bahan.
Gabungan kepakaran pelbagai disiplin ini membolehkan pendekatan holistik dilaksanakan, bermula daripada kajian awal tapak sehingga kepada cadangan reka bentuk jambatan yang lebih selamat dan mampan. Keunikan projek ini terserlah apabila pakar-pakar UTM turun padang bersama komuniti Kampung Plang bagi menjalankan ujian awalan, termasuk penilaian kekuatan dan kestabilan tanah, analisis teknikal jambatan sedia ada, penyediaan anggaran kos pembinaan serta penilaian keperluan pengguna.

Pendekatan kolaboratif ini bukan sahaja memindahkan ilmu teknikal kepada komuniti, malah memperkukuh kefahaman penduduk terhadap aspek keselamatan struktur dan prinsip kejuruteraan asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.
Berdasarkan dapatan teknikal dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan, satu cadangan reka bentuk jambatan baharu menggunakan sistem Precast Vehicular Box Culvert (VBC) telah diperkenalkan. Reka bentuk ini dikenal pasti lebih efisien dari segi kekuatan struktur, tempoh pembinaan dan keperluan penyelenggaraan jangka panjang.
Pelaksanaan projek ini turut melibatkan kerjasama erat dengan Pejabat Daerah Hulu Perak, khususnya dalam aspek pemantauan tapak, penyelarasan teknikal dan kelulusan pihak berkaitan. Selain itu, pakar-pakar UTM berperanan sebagai penasihat teknikal kepada kontraktor yang dilantik bagi memastikan kerja pembinaan dilaksanakan mengikut spesifikasi, piawaian keselamatan dan tahap kualiti yang ditetapkan.
Secara keseluruhannya, projek Naik Taraf Jambatan Besi Air Musang ini mencerminkan komitmen UTM, melalui penyelarasan CCIN dan kepakaran akademik fakulti, dalam menterjemah ilmu universiti kepada penyelesaian sebenar di lapangan.


Inisiatif ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan pendekatan inklusif, berimpak tinggi dan berteraskan kesejahteraan rakyat. Ia sekali gus membuktikan bahawa kepakaran universiti bukan sekadar berfungsi di makmal dan jurnal ilmiah, tetapi menjadi pemangkin kepada perubahan nyata demi manfaat komuniti.