UTM Memelihara Kebajikan dan Kesejahteraan Pelajar, Penuhi Harapan

🎧 Audio Shortcast

Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kebajikan pelajar bukan sekadar dasar, ia adalah amanah. UTM percaya bahawa kesejahteraan pelajar merupakan prasyarat kepada pembelajaran yang bermakna. Justeru, pelbagai inisiatif dirangka bagi memastikan setiap pelajar dapat belajar, berkembang dan berjaya dalam suasana yang kondusif serta penuh empati.

Pertama, UTM menyediakan Menu Siswa Rahmah di kafeteria kampus sebagai usaha membantu pelajar mendapatkan makanan seimbang pada harga mampu milik. Sehingga kini, 14 buah kafeteria terpilih dalam kampus telah menyahut seruan universiti untuk memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa. Kesemua kafeteria ini sudi menyokong dan menjayakan inisiatif Menu Siswa Rahmah yang menyediakan hidangan berharga berpatutan bagi pelajar, khususnya daripada latar belakang keluarga berpendapatan sederhana dan rendah. Menu Siswa Rahmah menyediakan set makanan berharga RM 5.00 dan ke bawah untuk satu hidangan, menjadikan harganya lebih murah berbanding harga biasa terutamanya di luar kampus.

 

Seorang pengusaha kafe menerima sijil penghargaan daripada UTM atas penyertaan dalam inisiatif Menu Siswa Rahmah semasa pelancarannya oleh Naib Canselor UTM pada 29 September 2025, disaksikan Timbalan-timbalan Naib Canselor

(Pautan video Tiktok: https://shorturl.at/oEbUK)

Program kebajikan bantuan makanan selain Menu Siswa Rahmah ialah Tabung Canselor Because We Care yang dilancarkan oleh KDYMM Tuanku Canselor UTM sejak tahun 2016. Jumlah agihan kini melebihi RM 1juta. Selain itu, Program Makanan Percuma turut disediakan dengan kerjasama pelbagai pihak. Antaranya, Program Almari Kasih Sayang, Food Bank Siswa (kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri) serta Bantuan MAWIP (kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan).

Kedua, Biasiswa Endowmen UTM terus menjadi sandaran ramai pelajar. Tabung endowmen yang dibangunkan bersama alumni, penderma dan rakan strategik UTM ini telah menyalurkan bantuan kepada 876 penerima, dengan 193 penerima masih aktif sehingga kini. UTM telah menyalurkan lebih RM4.46 juta Biasiswa Endowmen sepanjang tempoh lima tahun terkini, dari 2021 hingga 2025, sekali gus meringankan beban kewangan serta membolehkan pelajar menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian.

 

Pelajar antarabangsa turut diberikan bantuan kewangan, khasnya melalui International Doctoral Fellowship (pautan: https://shorturl.at/iCq1I).

Ketiga, melalui Bantuan Zakat, pelajar dalam kategori asnaf turut disantuni. UTM melalui Pusat Islam memastikan agihan sampai kepada yang benar-benar memerlukan. Pada tahun 2024, sebanyak RM1.9 juta telah diagihkan kepada 3,542 pelajar, manakala pada tahun 2025, bantuan zakat diteruskan melalui pelbagai skim merangkumi sara diri, yuran pengajian dan latihan industri.

Bantuan Zakat UTM diberikan kepada pelajar Muslim yang layak menerimanya

 

Selain itu, pada tahun 2025, UTM turut menyalurkan bantuan UTMCARE yang memberi impak besar kepada kebajikan dan kesejahteraan pelajar. Sebanyak 4,452 bantuan telah diagihkan menerusi 38 program / inisiatif kebajikan, yang memberi manfaat kepada 3,247 penerima dalam kalangan pelajar UTM. Keseluruhan agihan dana UTMCARE bagi tahun 2025 berjumlah RM 2,498,690.00.

Keempat, perkhidmatan bas dalam kampus membantu mobiliti pelajar dengan selamat dan berkesan. Ribuan pelajar dapat bergerak dari kolej ke fakulti dengan mudah, menjadikan kehidupan kampus lebih mesra dan inklusif.

Perkhidmatan bas UTM mempermudahkan mobiliti pelajar di dalam kampus

 

Semasa musim perayaan khasnya Aidilfitri, program khas turut disediakan kepada pelajar UTM yang layak menerimanya. Melalui Program “Jom Balik Raya”, UTM memberikan bantuan kepada pelajar untuk pulang ke kampung dengan menyediakan wang saku, tambang bas, atau tiket penerbangan (khasnya kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak).

Kelima, UTM turut menitikberatkan kesihatan mental melalui khidmat kaunseling profesional. Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling UTM telah menyediakan pelbagai program sokongan emosi, intervensi psikologi serta bimbingan kesejahteraan diri, seperti inisiatif “Minda Sejahtera” dan ujian psikologi DAS (depression, anxiety, stress). Bagi tahun 2025, sebanyak 1309 sesi kaunseling telah dijalankan. Daripada jumlah itu, seramai 1001 orang pelajar UTM telah menjalani sesi kaunseling ini, meliputi keseluruhan kampus UTM di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Program sokongan psikologi dan kaunseling kepada pelajar baharu UTM sesi 2025/2026

Keenam, penyediaan kolej kediaman dalam kampus memastikan pelajar hidup dalam persekitaran yang selamat, tersusun dan menyokong perkembangan sahsiah. Ketika ini UTM menyediakan 11 kolej kediaman di UTM Johor Bahru dan UTM Kuala Lumpur, manakala jumlah pelajar yang tinggal di kampus adalah seramai 13,393 orang, lengkap dengan kemudahan asas, aktiviti komuniti dan sokongan kebajikan.

Bukan itu sahaja, UTM turut menyediakan kemudahan kolej khas untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) yang diberikan nama “Kampung Inklusif” di Kolej Rahman Putra UTM.

                                      Suasana di Kampung Inklusif UTM

 

Inisiatif terkini UTM ialah Program UTM Sihat dan Lestari yang telah dilancarkan pada tahun 2025 ini. Program ini bertujuan memastikan kesihatan dan kesejahteraan warga UTM, termasuk para pelajar, melalui aktiviti riadah dan sukan yang menyihatkan badan, selain kelestarian dalam penjagaan alam sekitar demi mencipta persekitaran sihat dan membina.

Kesemua inisiatif ini membuktikan komitmen UTM untuk memelihara kebajikan pelajar secara menyeluruh, meliputi aspek akademik, kewangan, emosi dan kehidupan seharian. UTM percaya, setiap pelajar membawa harapan keluarga dan negara. Selagi mereka berada di bawah jagaan universiti ini, UTM akan terus memastikan kebajikan mereka terpelihara, agar mereka mampu melangkah keluar sebagai graduan global yang menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.

Dengan kerjasama Timbalan-timbalan Naib Canselor dan seluruh jentera pentadbiran universiti, agenda kebajikan pelajar akan terus dipacu secara kolektif demi satu tujuan iaitu menjadikan UTM sebuah universiti yang memelihara kesejahteraan dan kebajikan untuk seluruh warga, khasnya para pelajar yang menjadi teras kewujudan universiti. Kerana Tuhan Untuk Manusia, UTM Sanjungan Bangsa.

Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Naib Canselor

Explore More

UTM Open Day