PASIR GUDANG, 22 Nov – Pemeliharaan dan pemulihan sungai merupakan agenda penting dalam usaha memelihara alam sekitar dan kelestarian ekosistem air. Program River Rehabilitation Program Sungai Buluh 2025 adalah inisiatif Khidmat Masyarakat (CSR) yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Malaysian Marine and Heavy Engineering (MMHE)-MHB, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), serta komuniti setempat di sekitar Pasir Gudang.
Program ‘Tangkap dan Lepas Ikan’ bersama komuniti Flat MMHE di bawah UTM-MHB-MBPG River Rehabilitation Programme 2025 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan sungai dan biodiversiti, khususnya di Sungai Buluh yang mengalami ancaman pencemaran dan kemerosotan ekosistem.

Ketua Program, Prof. Datin Dr. Zaharah Ibrahim, menjelaskan bahawa aktiviti tangkap dan lepaskan ikan merupakan usaha pemuliharaan yang berkesan untuk mengekalkan populasi ikan di sungai tersebut.
“Kami menangkap ikan untuk mengenal pasti jenis-jenis ikan yang terdapat dalam Sungai Buluh yang teruk tercemar oleh aktiviti industri, kebanyakan berasaskan pemprosesan kelapa sawit. Setiap ekor ikan yang ditangkap dikenalpasti melalui kaedah iNaturalist sebelum dilepaskan semula ke dalam sungai bagi memastikan ia terus menyokong keseimbangan ekosistem,” katanya yang juga merupakan Profesor Adjung di Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM.


Prof. Dr. Zaharah berkata proses ini penting dalam usaha konservasi dan pengumpulan data saintifik yang boleh digunakan untuk kajian biodiversiti sungai.
“Sebelum penangkapan ikan menggunakan jala dan sauk, sampel air diambil untuk mengukur tahap pencemarannya. Hasil kajian jenis ikan yang terdapat dalam sungai boleh dikaitkan dengan tahap pencemaran. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran komuniti tentang pentingnya menjaga sungai, tetapi juga memberi peluang kepada mereka belajar tentang ekosistem sungai secara langsung,” katanya lagi.

Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS), LAr. Dr. Zanariah Jasmani; Prof. Dr. M. Rafee Majid, pakar alam sekitar dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU); serta Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Pemegang Taruh, Strategi Korporat dan Kelestarian MMHE, Tn. Syed Shaharum Tn. Syed Dabal.

Program ‘Tangkap dan Lepas Ikan’ ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) keenam (Air Bersih dan Sanitasi), ke-14 (Kehidupan Di Bawah Air), ke-15 (Kehidupan di Daratan), dan ke-17 (Kerjasama bagi Mencapai Matlamat).
Data dan maklumat yang diperoleh akan dimasukkan ke dalam pangkalan data iNaturalist UTM dan dikongsi dalam program pendidikan serta penerbitan saintifik.
Melalui usaha ini, diharapkan kesedaran masyarakat terhadap perlindungan sungai dan biodiversiti akan dapat ditingkatkan, sekali gus menyumbang kepada usaha kelestarian alam sekitar di peringkat nasional dan global.