November 20, 2025

Aiman kejar impian sebagai guru, perkukuh empayar perniagaan sendiri

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Kejayaan seorang graduan UTM ini bukan sekadar menamatkan pengajian, tetapi beliau memahat sebuah cerita yang penuh ketabahan, disiplin dan keazaman apabila beliau berjaya mengimbangi tuntutan dunia akademik dengan dunia keusahawanan yang berkembang pesat sejak awal pengajiannya.

Mohamad Aiman Mohamad Najib, 24 tahun, berasal dari Batu Pahat dan merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Kehilangan ayah pada tahun 2018 memberi kesan besar dalam hidupnya, sekaligus menjadikan ibunya yang merupakan seorang suri rumah sebagai sumber kekuatan utama.

Walaupun memikul tanggungjawab untuk membantu keluarga pada usia muda, semangat Aiman untuk menuntut ilmu tidak pernah pudar, malah menjadi pendorong untuk beliau terus melangkah lebih jauh.

Dari kuliah hingga ke dunia perniagaan, Aiman meraikan detik penuh makna ini

Aiman menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Sains Sukan) dengan Kepujian di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), setelah melalui empat tahun pengajian yang bermula sewaktu negara bergelut dengan pandemik COVID-19 pada tahun 2020.

Minat mendalam terhadap sains sukan serta impian ibunya untuk melihat beliau bergelar pendidik menjadi pemacu utamanya.

Dua guru yang pernah membimbingnya sejak sekolah, Cikgu Subramanian dan Cikgu Zaidi, turut memainkan peranan besar sebagai individu yang membentuk aspirasi kerjayanya.

Sejak zaman persekolahan di SMK Tinggi Batu Pahat, Aiman aktif dalam kokurikulum dan kepimpinan sehingga dinobatkan sebagai pelajar terbaik, namun ketika memasuki universiti, cabarannya berubah dan menjadi lebih besar.

Beliau perlu berulang-alik hampir satu jam setengah dari Batu Pahat ke UTM bagi memenuhi jadual kelas sambil memastikan ibunya sentiasa terjaga di rumah.

Dalam masa yang sama, Aiman turut menguruskan perniagaan yang telah dibinanya sejak sebelum menyambung pengajian.

Dalam tempoh pengajian itulah beliau mengemudi FA Transportation Empire, sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa, airport transfer dan chauffeur.

Beroperasi dengan 20 buah kenderaan dalam pelbagai segmen serta empat kakitangan yang menjadi nadi syarikat, FA Transportation Empire berkembang pesat sehingga menjadi pilihan pensyarah UTM, UTHM, sekolah-sekolah di sekitar Batu Pahat dan beberapa agensi swasta.

Pada tahun 2024, syarikatnya turut berjaya memperoleh projek bernilai RM250,000 daripada Ombak Festival Desaru, menjadikan pencapaian itu antara kejayaan terbesar Aiman sebagai usahawan muda.

Aiman bergambar bersama kenderaan syarikat FA Transportation Empire yang diuruskan sejak awal pengajian

Perjalanan keusahawanannya tidak terhenti di situ. Pada tahun 2025, beliau menubuhkan pula FA Sublimax, sebuah anak syarikat yang menjalankan percetakan sublimation, baju korporat, poster, banner dan pelekat.

Minat dalam dunia perniagaan sudah berputik sejak usia 15 tahun meskipun beliau tidak datang daripada keluarga usahawan, membuktikan bahawa keazaman mampu membuka jalan tersendiri.

Dalam kehidupan peribadi, Aiman melalui fasa penting apabila mendirikan rumah tangga bersama Fathinah Uzma pada Ogos 2024.

Pasangan ini bukan sahaja berkongsi kehidupan, malah turut menjadi rakan kongsi perniagaan. Nama syarikat FA Transportation Empire itu sendiri diambil daripada gabungan nama mereka, simbol kepada perjalanan dan matlamat bersama.

Kini, Aiman berazam untuk menyokong isterinya menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Teknologi di UTM.

Aiman bersama isterinya, Fathinah Uzma, yang turut menjadi rakan kongsi dalam membangunkan empayar perniagaan mereka

 

Aiman bersama pasukan FA Empire yang menjadi tunjang operasi syarikat sepanjang empat tahun perkembangan perniagaan

Antara cabaran paling besar bagi Aiman ialah semasa menjalani latihan mengajar di SMK Taman Universiti 2.

Beliau berdepan realiti sebenar dunia pendidikan moden yang semakin terkesan dengan pengaruh teknologi, perubahan tingkah laku pelajar dan batasan undang-undang yang menuntut guru lebih berhikmah serta kreatif dalam mendidik generasi hari ini.

Namun pengalaman tersebut memberinya perspektif mendalam tentang kerjaya pendidik dan mengukuhkan keinginannya untuk terus berada dalam bidang berkenaan.

Segala pengorbanan, perjalanan jauh dan jadual yang padat akhirnya terbalas apabila Aiman menerima Anugerah Dekan pada Konvokesyen UTM kali ini.

Pengiktirafan itu menjadi bukti bahawa komitmen beliau terhadap akademik tidak pernah tergugat walaupun menguruskan syarikat yang semakin pesat berkembang.

Aiman menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada ibunya, isterinya, adik-beradik, rakan-rakan serta staf FA Empire yang sentiasa berada di sisi memberi semangat.

Buatnya, kejayaan ini bukan hanya miliknya, tetapi milik semua yang mempercayai keupayaannya sejak awal.

Kini, beliau merancang untuk memperluaskan perniagaan ke seluruh negeri Johor, menjadi guru cemerlang dalam bidang Sains Sukan, dan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana secara separuh masa di UTM.

“Percaya pada diri sendiri, keluarkan kemampuan dan pandang terus ke hadapan. Usaha itu milik kita, doa dan restu keluarga itu penguatnya. Insyaallah berjaya dunia dan akhirat,” katanya penuh harapan.

Bersama isteri dan ibu tercinta, Aiman meraikan kejayaan yang penuh inspirasi dan pengorbanan

Explore More

UTM Open Day