JOHOR BAHRU, 16 Nov – “Preparing for Luck” menjadi tema utama dalam amanat disampaikan oleh Pro-Canselor, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin Ibrahim, kepada para graduan pada Sesi Ketiga Majlis Konvokesyen ke-69 UTM hari ini.
Dalam ucapannya, Tan Sri Jamaludin menegaskan bahawa para graduan kini melangkah masuk ke dunia yang bersifat VUCA – volatile, uncertain, complex dan ambiguous, sebuah realiti yang menuntut kesiapsiagaan, kelenturan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Beliau menekankan bahawa nasib baik bukanlah sesuatu yang hadir begitu sahaja, tetapi peluang yang muncul kepada mereka yang benar-benar bersedia, cekal dan komited memperbaiki diri.
“Preparation makes luck predictable. Anda mungkin tidak dapat mengawal peluang yang datang, tetapi anda boleh mengawal persiapan diri,” jelas beliau.
Berdasarkan lebih empat dekad pengalaman dalam industri IT, telekomunikasi dan pengurusan, Tan Sri Jamaludin turut berkongsi lima bidang persediaan utama yang diyakini kekal relevan merentas perubahan zaman.
Antaranya ialah keupayaan menguasai teknologi sebagai asas dalam hampir setiap sektor hari ini; kemampuan mengimbangi pemikiran analitik dan kreatif untuk melahirkan penyelesaian yang lebih holistik dan inovatif; ketangkasan untuk menjadi lincah dari segi mental dan fungsi, termasuk kesediaan menyesuaikan diri dengan pantas serta meneroka pelbagai peranan; kecekapan menguasai komunikasi dan pemikiran kritis bagi menyampaikan idea dengan jelas dan menilai sesuatu isu daripada pelbagai sudut; serta disiplin untuk menekuni setiap perincian dalam kerja, satu sikap profesional yang memastikan ketepatan, kualiti dan keutuhan dalam setiap tugasan.
Beliau turut menyentuh perubahan landskap teknologi yang bergerak begitu pantas, termasuk peranan kecerdasan buatan yang kian merubah cara dunia bekerja. Namun demikian, tegas beliau, nilai kemanusiaan tetap menjadi tunjang kepimpinan masa depan.
“Teknologi boleh menulis kod dan menganalisis data, tetapi ia tidak mampu menyentuh hati, memberi inspirasi atau membuat keputusan beretika ketika tekanan,” katanya sambil mengingatkan graduan bahawa empati, akhlak dan prinsip merupakan kelebihan manusia yang tidak dapat digantikan.
Dalam masa yang sama, beliau mengajak para graduan menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan para pensyarah yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka.
“Pengorbanan ibu bapa dan guru-guru ialah anugerah yang tidak ternilai. Keberkatan ilmu datang daripada doa dan restu mereka,” ujar beliau.
Mengakhiri ucapannya, Tan Sri Jamaludin menyeru graduan agar melangkah ke masa depan dengan keberanian, disiplin dan iltizam untuk terus belajar.
“Apabila ‘luck’ itu muncul, saya berharap anda sedang berdiri tepat di hadapan pintunya, bersedia membukanya. Masa depan yang cerah sedang menanti anda.”
Pada sesi tersebut, beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada 593 graduan, dan merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti yang telah menjayakan Majlis Konvokesyen ke-69 UTM dengan penuh dedikasi.