JOHOR BAHRU, 15 Nov. – “Saya tak pernah terfikir pun akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja ini,” ujar Muhammad Najmi Shah Muhamed Azam Shah, graduan Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pembangunan Tanah dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Namun pada Majlis Konvokesyen ke-69 UTM, namanya terpahat sebagai penerima dua pengiktirafan tertinggi universiti, iaitu Anugerah Pelajaran Diraja dan Anugerah Graduan Khidmat Masyarakat. Pencapaian ini bukan sekadar sebuah anugerah, tetapi simbol kepada perjalanan penuh transformasi, dedikasi dan keikhlasan memberi nilai kepada orang lain.
Perjuangan empat tahun Najmi di UTM diraikan penuh rasa syukur bersama ahli keluarga
Najmi Shah merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Berasal serta membesar di Johor Bahru, beliau pada awalnya hadir ke UTM dengan perwatakan pendiam dan pemalu.
Tidak terlintas dalam fikirannya bahawa langkah kecil yang diambil pada hari pertama menjadi mahasiswa akan membuka ruang seluas ini, sehingga menjadikannya antara figura pelajar yang mampu menjadi inspirasi buat rakan seangkatan.
Segalanya bermula secara kebetulan. Pada tahun pertama, beliau menyertai satu majlis makan malam anjuran kelab fakulti, namun perubahan yang benar-benar mengubah jalan hidupnya hadir pada tahun kedua apabila rakannya, Anis Syahirah, memperkenalkannya kepada Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM.
“Saya rasa serasi dengan GPS. Walaupun kami dari jurusan berbeza, hubungan dalam kelab sangat erat seperti sebuah keluarga. Itu yang membuatkan kami mudah dan seronok bekerja bersama,” katanya.
Najmi bersama warga GPS di Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2024
Dengan bimbingan penasihat kelab, Mohamad Hasyim Hamdan yang sentiasa menyokong, Najmi mula menunjukkan keupayaan kepimpinan yang menonjol.
Bermula sebagai Timbalan Bendahari sesi 2022/2023, beliau kemudian diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden GPS.
Di bawah kepimpinannya, GPS UTM meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) UTM 2024, serta dinobatkan sebagai Kelab GPS Terbaik peringkat Johor dan Malaysia.
Kejayaan itu mengatasi pencapaian tahun sebelumnya yang berada di tempat kedua, sekali gus membuktikan kemampuan Najmi mengemudi organisasi mahasiswa dengan cemerlang.
Apabila melangkah ke tahun akhir, Najmi mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada GPS bagi memberi sepenuh fokus kepada akademik dan projek tahun akhir. Namun, semangat menyumbang tidak pernah padam dalam dirinya.
Bersama rakan karibnya, Anis Syahirah, beliau mengambil inisiatif menganjurkan sebuah Karnival Kerjaya untuk fakulti dan jabatan, sebuah usaha yang akhirnya menunaikan hasrat yang pernah tertangguh sejak tahun pertama pengajian.
Pada waktu yang sama, beliau menyertai International Surveying Conference for Undergraduates (ISCU 2025) dan merangkul Anugerah Pembentang Terbaik.
“Itulah kemuncak transformasi saya. Najmi Shah yang dulu pemalu, sekarang mampu berdiri di pentas antarabangsa,” ujarnya dengan penuh kesyukuran.
Najmi tidak pernah menetapkan anugerah sebagai matlamat utama. Namun, beliau mengakui banyak menerima dorongan daripada pencapaian tokoh sebelum ini, termasuk Muhammad Zikry Irfan yang menerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen ke-67 UTM, serta Insyirah Ash’ari yang meraih Anugerah Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail pada Majlis Konvokesyen ke-68 UTM.
“Saya memohon kerana saya mahu menyambung legasi inspirasi mereka. Bukan kerana ingin dikenali, tetapi kerana mahu membawa semangat mereka ke hadapan,” jelasnya.
Individu yang menjadi sumber inspirasi Najmi ialah penerima Anugerah Canselor MK67, Muhammad Zikry Irfan (kanan) dan penerima Anugerah Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail MK68, Insyirah Ash’ari (kiri) yang turut merupakan ahli GPS
Najmi bersama kedua ibu bapanya yang menjadi tiang utama kekuatan sepanjang pengajian
Najmi turut menzahirkan penghargaan kepada barisan insan yang banyak membantunya sepanjang empat tahun pengajian.
Penghargaan utama ditujukan kepada kedua ibu bapa dan keluarganya, para pensyarah FABU, Ketua Jabatan Harta Tanah, Pmgr Sr Dr. Azizah Ismail, penasihat akademiknya, Dr. Aminah Mohsin serta penyelia projek, Dr. Ainur Zaireen Zainudin.
Beliau juga menghargai sahabat-sahabat seperjuangan seperti Syah Saniy, Anis Syahirah, Norkhairen dan Nur Adibah, di samping rakan-rakan serta penasihat Kelab GPS.
Tidak dilupakan juga sokongan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang banyak membantu perjalanan kelab GPS UTM, selain kerjasama industri seperti Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Pejabat Tanah dan Galian Johor , Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) dan Knight Frank Malaysia yang membuka peluang pembelajaran dunia sebenar kepada mahasiswa.
Najmi bersama penyelianya, Dr Ainur Zaireen (tiga dari kanan) yang sentiasa memberikan bimbingan rapat
“Dalam hidup, kita mesti ada visi. Bila ada visi, mentaliti akan terarah dan kita akan susun langkah untuk mencapainya,” pesan Najmi.
Beliau mengakui pernah melalui fasa keletihan, tekanan dan hampir menangguhkan pengajian, namun semua itu akhirnya dibayar dengan titik manis yang tidak ternilai. Baginya, kepuasan sebenar bukan pada anugerah, tetapi pada manfaat yang mampu diberi kepada sekeliling.
“Saya paling tersentuh bila orang ucap terima kasih. Itu sudah memadai untuk buat saya rasa sangat puas bahkan kadang kala sampai sebak,” katanya sambil tersenyum.
Beliau turut berpesan agar para pelajar tidak hanya memberi tumpuan kepada akademik semata-mata, tetapi aktif dalam kokurikulum kerana di situlah ruang sebenar yang mengajar tentang kepimpinan, empati dan nilai memberi.
Najmi Shah bukan sekadar penerima Anugerah Pelajaran Diraja. Beliau ialah manifestasi bahawa keberanian untuk memperbaiki diri, keinginan untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan kesungguhan memiliki visi hidup mampu mengangkat seseorang daripada kesenyapan kepada pentas kecemerlangan tertinggi. Kisah ini wajar menjadi inspirasi kepada seluruh warga UTM dan generasi pelajar yang bakal menyusul.