November 16, 2025

Jurutera Reservoir Bertaraf ASEAN Gapai PhD dengan Deretan Pengiktirafan Profesional

JOHOR BAHRU, 15 Nov – Di tengah-tengah kesibukan kerjaya sebagai Jurutera Resevoir di PETRONAS, di celah amanah sebagai suami dan bapa kepada dua cahaya mata, dan di balik ujian terbesar apabila kehilangan ayah tercinta, berdirilah sosok seorang anak kampung yang tekadnya tidak pernah goyah.

Di pentas Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-69, Ir. Ts. Dr. Mohd Razmi Ziqri Ahmad Shukri, 36 tahun, muncul sebagai simbol ketabahan dan ketekunan yang dipahat melalui ilmu, keikhlasan, doa dan rasa cinta terhadap keluarga.

Berasal dari Bagan Datuk, Perak, Dr. Razmi ialah anak sulung dan satu-satunya anak lelaki daripada enam beradik. Kehidupannya dibesarkan dalam suasana keluarga yang sederhana namun sarat dengan nilai dan impian.

Ayahnya seorang petani, manakala ibunya pernah berseloroh bahawa beliau “belajar tinggi,” bukan kerana kehebatan akademik tetapi kerana sekolahnya terletak di atas bukit. Gurauan yang kedengaran lucu itu sebenarnya menyimpan impian besar yang tidak dapat direalisasikan oleh ayah dan ibu, namun itulah impian untuk melihat anak-anak mereka menikmati pendidikan setinggi yang mungkin.

Hari ini, impian itu ditunaikan oleh anakanda mereka.

“PhD ini bukan sekadar milik saya. Ia adalah impian mak yang tertangguh, dan amanah ayah yang pergi sebelum sempat melihat saya menggenggam kejayaan ini,” tutur Dr. Razmi dengan suara yang masih tersangkut rasa.

Jejak akademiknya bermula di SK Simpang 3, kemudian di SMS Teluk Intan sebelum meneruskan pengajian matrikulasi di Pulau Pinang. Beliau seterusnya menamatkan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Kejuruteraan Petroleum di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), sebelum memilih UTM sebagai destinasi terakhir bagi menyempurnakan pengajian doktor falsafahnya.

Tidak seperti ramai penyelidik lain yang memilih laluan sepenuh masa, Dr. Razmi melalui perjalanan yang jauh lebih mencabar. Beliau menyiapkan PhD sambil bekerja sepenuh masa dalam industri minyak dan gas yang menuntut fokus tinggi, sambil membina keluarga kecilnya, dan dalam masa sama mengurus tanggungjawab profesional di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tesisnya dalam bidang Malaysia PVT black oil correlation berasaskan Machine Learning hadir sebagai solusi penting kepada industri petroleum negara. Jika sebelum ini korelasi yang digunakan banyak bergantung pada model luar negara, kajian Dr. Razmi membawa sinar baharu kepada keupayaan tempatan untuk berdikari dalam bidang tersebut.

Dr. Razmi memegang tesis di hadapan pejabat beliau

Namun, perjalanan itu tidak pernah sunyi daripada ujian berat. Pada tahun 2024, ayahnya kembali ke rahmatullah. Di hospital, walaupun dalam keadaan uzur, ayahnya masih bertanya tentang perkembangan PhD, seolah-olah semangatnya disambungkan melalui perjuangan anak yang disayanginya.

“Walaupun dia seorang petani, hasratnya untuk melihat anak belajar di peringkat tertinggi tidak pernah pudar. Saya berjanji pada diri bahawa saya akan tamatkan juga, walau apa pun yang datang.” Janji itu akhirnya tertunai.

Dalam dunia profesional, Dr. Razmi turut mencipta rekod tersendiri. Beliau kini merupakan Professional Engineer (Lembaga Jurutera Malaysia– Petroleum), Professional Technologist (Lembaga Teknologis Malaysia – Oil & Gas Technology), ASEAN Chartered Professional Engineer (ACPE), selain memiliki pensijilan Certified Data Science Analyst, Data Engineering Associate serta pentauliahan sebagai Trainer Human Resource Development Corporation (HRDC).

Dr. Razmi di Majlis Penyerahan Sijil ASEAN Chartered Professional Engineer

Di peringkat nasional, beliau berkhidmat sebagai panel pakar Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), panel akreditasi BEM dan MBOT, Panel Penilai Professional Examination, penasihat industri di tiga universiti, dan pendidik sambilan yang sering dijemput menyampaikan kuliah di UTM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), UTP, Asia Pacific University (APU) serta pelbagai platform profesional lain.

Di sebalik pencapaian yang panjang itu, Dr. Razmi tetap kembali kepada pegangan hidup yang sederhana tetapi sarat makna, iaitu “You miss 100% of the shots you don’t take,” di samping peribahasa Melayu yang menjadi mantera hidupnya, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.”

Kini, langkahnya tidak terhenti di sini. Beliau menanam harapan untuk menjadi pakar petroleum yang mampu memberi sumbangan besar kepada negara dan masyarakat, selain bercita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) serta meneroka peluang kerjaya di luar negara. Dalam semua impian itu, beliau tetap menekankan kepentingan keseimbangan antara dunia dan akhirat.

Buat generasi muda, Dr. Razmi menitipkan pesanan yang lahir daripada pengalaman yang panjang dan ujian yang mengajar, “Cuba yang terbaik. Aim big. Bila terasa buntu, minta bantuan. Yang paling penting, nikmati saat belajar, kerana suatu hari nanti kamu akan merindukannya.”

Dr. Razmi menerima sijil pembentang di Carbonate Forum 2025 oleh Head of Reservoir Engineering PETRONAS

Sebelum melangkah keluar dari dewan konvokesyen, Dr. Razmi mengungkapkan penghargaan tulus ikhlas kepada kedua-dua penyelianya, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Zaidi Jaafar dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi Abu Husain, Kejuruteraan Petroleum di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), para pensyarah, rakan seperjuangan dan semua pihak yang menghulurkan sokongan sepanjang perjalanan ini.

Tetapi paling utama, penghargaan itu didedikasikan buat ayahnya yang telah pergi, buat ibunya yang tidak pernah jemu berdoa, buat isterinya Siti Nur Idayu, kedua-dua anaknya, adik-beradik serta sahabat-sahabat yang menjadi tunggak kekuatannya.

Dr. Razmi bersama keluarga yang menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan PhD
Allahyarham Ahmad Shukri Mansor, ayah kepada Dr. Razmi yang sentiasa memberi semangat sehingga ke saat terakhir

“Semoga setiap ilmu dan kebaikan ini menjadi amal jariah untuk ayah di alam sana. Ini hadiah untuknya. Untuk mak. Untuk keluarga. Alhamdulillah.”

Pada hari bersejarah itu, yang berdiri di pentas UTM bukan sekadar seorang graduan bertaraf doktor, tetapi seorang anak kampung yang membuktikan bahawa ilmu mampu mengangkat maruah, menyambung impian, dan mengubat kehilangan.

Explore More

UTM Open Day