JOHOR BAHRU, 27 Sept. – Karnival Kimia Malaysia (K2M) Johor 2025 yang dianjurkan oleh Institut Kimia Malaysia (IKM) dengan kerjasama Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berlangsung meriah di Blok T02, Fakulti Sains UTM Johor Bahru pada Sabtu, 27 September.
Acara tahunan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ilmu kimia dalam kehidupan seharian serta menggalakkan minat pelajar sekolah menengah terhadap bidang sains. Program ini diketuai oleh ChM. Dr. Nurrulhidayah Salamun, dengan sokongan lebih 50 staf dan pelajar daripada Jabatan Kimia, Fakulti Sains UTM serta Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTMSPACE).
Lebih 500 peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru sekolah menengah dari pelbagai daerah di Johor hadir memeriahkan karnival ini.
Program dimulakan dengan sesi ceramah ilmiah bertajuk “Meet the Scientist” yang disampaikan oleh pakar kimia, Prof. Madya ChM. Dr. Roswanira Abdul Wahab, yang berkongsi pengetahuan mengenai enzim dan kimia biologi dengan pendekatan interaktif. Ceramah itu berjaya menarik perhatian para pelajar dan guru untuk lebih memahami peranan kimia dalam sistem kehidupan.

Sesi diteruskan dengan seminar bertajuk “Keselamatan Makmal” yang dikendalikan oleh Prof. Madya ChM. Dr. Jafariah Jaafar, memberi pendedahan tentang langkah keselamatan penting yang perlu dipatuhi ketika menjalankan eksperimen di makmal sekolah.
Selain ceramah dan seminar, karnival turut menampilkan pelbagai pameran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang membolehkan peserta menyaksikan demonstrasi langsung mengenai proses kimia serta aplikasi praktikalnya dalam kehidupan harian.
Antara pameran yang menjadi tumpuan ialah Demonstrasi Peniupan Kaca, Pameran Kimia Interaktif, serta Pameran Sains dari Jabatan Biosains dan Jabatan Sains Matematik. Peserta turut berpeluang melawat makmal dan mencuba sendiri peralatan sains melalui sesi Lawatan dan Demonstrasi Makmal yang dikendalikan oleh pelajar dan pensyarah Fakulti Sains UTM.


Menambah kemeriahan karnival, lima pertandingan telah dianjurkan melibatkan 18 buah sekolah menengah dari seluruh Johor. Pertandingan tersebut ialah Crime Scene Investigation (CSI), ChemXplorer, ChemExcellence, ChemShot, 3 Minutes Chemistry, dan Chem Demo. Semua pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Menengah Rendah dan Menengah Atas, bagi memberi ruang kepada pelajar menonjolkan kreativiti serta kefahaman mereka dalam konsep kimia secara menyeronokkan.
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah diadakan pada sebelah petang dan disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Tuan Hj. Mohd Dom Dui. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi IKM Cawangan Selatan, ChM. Rachel Yap Fei Ching; Naib Pengerusi IKM Cawangan Selatan, ChM. Dr. Sheela Chandren; Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan & Inovasi) Fakulti Sains, Prof. Madya ChM. Ts. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek; serta Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya ChM. Dr. Norazah Basar.


Kehadiran pelajar, guru dan keluarga pada karnival tersebut membuktikan minat mendalam masyarakat terhadap bidang sains dan kesedaran mengenai peranan kimia dalam kehidupan seharian semakin meningkat.
Menurut Pengarah Program, ChM. Dr. Nurrulhidayah Salamun, penganjuran kali ini berjaya mencapai objektif yang disasarkan.
“Program ini telah mencapai matlamatnya dalam meningkatkan kesedaran dan minat dalam bidang STEM. Dengan pelbagai aktiviti dan pameran menarik, ia bukan sahaja mendidik tetapi juga menginspirasikan generasi muda untuk terus meminati bidang sains. Kami berharap penganjuran ini diteruskan pada masa akan datang sebagai platform bermanfaat kepada pelajar dan masyarakat, khususnya di negeri Johor,” katanya.
Penganjuran K2M Johor 2025 membuktikan komitmen berterusan UTM dan IKM dalam memperkukuh budaya saintifik di peringkat akar umbi, sejajar dengan aspirasi negara melahirkan generasi muda yang berfikiran kritikal, inovatif dan celik teknologi.