November 17, 2025

STEM@K.E.L.A.T.E. 2025 semarakkan pembelajaran STEM di sekolah luar bandar Kelantan

DABONG, 13 Okt. – Program STEM@K.E.L.A.T.E 2025 (Kreativiti, Eksperimen, Literasi, Aspirasi, Teknologi dan Eksplorasi) anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dengan tajaan penuh daripada Yayasan MR.DIY telah berlangsung dengan jayanya di tiga buah sekolah luar bandar Kelantan. Program dua hari yang diadakan pada 12 hingga 13 Oktober itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Geris di Dabong, serta SK Bukit Marak dan SK Seneng di Bachok.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Prof. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin, Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM Kuala Lumpur, dengan Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed bertindak sebagai Penasihat Program. Turut hadir, wakil Yayasan MR.DIY, Mohd Fadzrel Abu Bakar, selaku penyumbang utama dana dan penyelaras penyerahan set kit STEM kepada murid di ketiga-tiga sekolah berkenaan.

Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed, Penasihat Program STEM@K.E.L.A.T.E 2025, ketika bersama warga sekolah di Dabong

Melalui tajaan Yayasan MR.DIY, murid-murid menerima kit STEM pembelajaran interaktif yang terdiri daripada Set Flower Clock untuk murid Tahap 1 (632 orang), Set Sport Car untuk murid Tahap 2 (668 orang) dan Set Windmill untuk murid prasekolah (192 orang). Inisiatif ini bertujuan memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan (play-based learning) yang menyeronokkan dan mudah diakses oleh murid luar bandar.

Murid tahap satu di SK Kuala Geris bersedia dengan aktiviti STEM di bawah seliaan Yayasan MR.DIY

Selain aktiviti hands-on yang dijalankan sepanjang program, turut diadakan pembinaan Fun Learning Toy Library (FLTL) di SK Bukit Marak. Program turut diserikan dengan Sesi Motivasi Keibubapaan yang disampaikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, Ketua Projek STEM@K.E.L.A.T.E 2025, bertajuk “Membina Aspirasi Anak Melalui STEM”. Sesi ini dihadiri oleh 32 ibu bapa daripada Kelas Bestari SK Bukit Marak dan mendapat maklum balas yang amat positif.

Murid SK Bukit Marak bersemangat apabila diberi kit STEM pembelajaran interaktif

Menurut Mohd Fadzrel Abu Bakar dari Yayasan MR.DIY, penganjuran program ini selaras dengan komitmen yayasan dalam memperkasa pendidikan luar bandar seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 4 (Kualiti Pendidikan), SDG 9 (Inovasi dan Infrastruktur) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

“Yayasan MR.DIY percaya bahawa inisiatif sebegini mampu membangkitkan minat dan kreativiti murid luar bandar untuk terus meneroka bidang STEM, sekali gus melahirkan generasi muda yang celik teknologi dan berdaya saing,” katanya.

Keceriaan jelas terpancar di wajah murid-murid SK Bukit Marak selepas berjaya memasang kit STEM masing-masing

Program ini turut memperkukuh hubungan strategik antara universiti, industri dan komuniti menerusi konsep ‘Adopt a Kampung’ yang diterajui oleh UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia–Jepun (MJIIT). Melalui kerjasama ini, pelaksanaan program bukan sahaja memberi kesan langsung kepada pembangunan modal insan luar bandar, malah memperluas akses kepada pendidikan STEM yang berkualiti dan inklusif.

Program STEM@K.E.L.A.T.E 2025 melabuhkan tirainya dengan sesi penghargaan dan bergambar bersama murid-murid, guru, wakil Yayasan MR.DIY serta pasukan sukarelawan UTM sebagai simbolik kepada kejayaan bersama dalam memperkukuh ekosistem pendidikan STEM di negeri Kelantan.

Murid SK Seneng ceria bergambar bersama kit STEM yang siap dipasang hasil bimbingan fasilitator

Explore More

UTM Open Day