November 17, 2025

Dr. Ahmad Najmi dinobat Naib Johan Anugerah Perdana Belia Negara 2025

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Ahmad Najmi Amerhaider Nuar, telah mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Kategori Individu Lelaki dalam Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan 2025.

Majlis penganugerahan berprestij itu diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara 2025 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan; YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara; serta Shamsuhaime Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan anugerah kepada Dr. Ahmad Najmi Amerhaider Nuar sempena Hari Belia Negara 2025 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

Anugerah Perdana Belia Negara merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan Malaysia kepada individu dan pertubuhan belia yang menunjukkan kecemerlangan dalam kepimpinan, inovasi sosial, keusahawanan serta pembangunan komuniti. Dr. Ahmad Najmi, yang mewakili Negeri Johor, diiktiraf atas sumbangan aktifnya dalam memperkasa belia melalui inovasi pendidikan digital, pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI), dan pelaksanaan program keusahawanan akademik.

Beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 berserta trofi penghargaan, sebagai tanda pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmennya dalam membangunkan potensi generasi muda seiring kemajuan teknologi dan pendidikan masa kini.

Dr. Ahmad Najmi dan pasukan bersama Shamsuhaime Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor selepas majlis penyampaian anugerah

Selain berkhidmat sebagai tenaga akademik di Fakulti Komputeran, Dr. Ahmad Najmi turut merupakan Pengarah Bersama NexScholar Sdn. Bhd., syarikat hiliran rasmi UTM yang berteraskan teknologi AI dan Analitik Data Raya. NexScholar dibangunkan sebagai platform pintar untuk memperkasa ekosistem penyelidikan, memperkukuh jaringan kolaborasi akademik, serta memudah cara pemadanan kerjasama strategik antara universiti, industri dan agensi kerajaan.

Syarikat ini merupakan hasil kejayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan di Fakulti Komputeran UTM, sekali gus menjadi antara contoh terbaik kejayaan pengkomersialan hasil inovasi akademik di universiti tersebut.

Pembangunan NexScholar turut mendapat sokongan dana melalui program PhDPreneur oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) di bawah Kementerian Ekonomi Malaysia. Program berimpak tinggi ini bertujuan melahirkan ahli akademik dan pelajar pascasiswazah yang berfikiran keusahawanan serta berupaya menterjemah hasil penyelidikan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri. Melalui inisiatif ini, Dr. Ahmad Najmi memainkan peranan penting dalam memperluas potensi NexScholar ke arah penerapan AI dan Analitik Data Raya dalam sektor pendidikan tinggi.

Selain pencapaian tersebut, beliau turut mengetuai beberapa inisiatif pembangunan belia dan keusahawanan universiti termasuk Catalyst Sandbox, platform digital yang berfungsi sebagai ekosistem bagi membimbing pelajar universiti membangunkan projek inovasi dan syarikat pemula (startup) berasaskan teknologi. Usaha ini turut menyokong aspirasi UTM untuk memperkukuh budaya inovasi, kepimpinan dan keusahawanan dalam kalangan warga kampus, seiring dengan agenda Malaysia MADANI ke arah melahirkan belia berdaya saing dan berpemikiran global.

Kejayaan Dr. Ahmad Najmi bukan sahaja mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperkasa belia dan pendidikan digital, malah mencerminkan komitmen Fakulti Komputeran dan UTM dalam melahirkan tenaga akademik yang seimbang antara kecemerlangan penyelidikan, inovasi teknologi dan tanggungjawab sosial. Pengiktirafan ini sekali lagi membuktikan keunggulan UTM sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Explore More

UTM Open Day