JOHOR BAHRU, 3 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi menjadi wadah suara mahasiswa apabila puluhan pelajar berhimpun di Dataran Agora berhampiran Dewan Sultan Iskandar bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin melalui program Himpunan Solidariti Palestin & Global Sumud Flotilla (GSF) yang berlangsung, hari ini.
Himpunan yang dianjurkan itu bertujuan mengangkat suara mahasiswa dalam menentang kezaliman, selain menzahirkan sokongan padu terhadap rakyat Palestin yang terus berjuang mempertahankan tanah air mereka. Penganjuran himpunan ini turut dipacu oleh perkembangan semasa misi kemanusiaan GSF, iaitu konvoi kapal antarabangsa yang membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza. Misi aman ini kini berdepan risiko besar apabila kapal-kapal bantuan kerap dipintas, malah beberapa aktivis Malaysia dilaporkan telah ditahan baru-baru ini. Situasi itu mengundang keprihatinan masyarakat dunia, sekali gus membangkitkan rasa tanggungjawab mahasiswa UTM untuk menyatakan solidariti secara terbuka.
Program bermula setelah selesai Solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail, disusuli Solat Hajat yang dikhususkan bagi mendoakan keselamatan aktivis serta rakyat Palestin. Seusai itu, para pelajar berkumpul di Dataran Agora untuk bacaan doa Qunut Nazilah serta rakaman video solidariti, yang menjadi simbolik kepada suara bersama mahasiswa UTM menentang penindasan dan mengangkat keadilan sejagat.
Suasana penuh keinsafan menyelubungi dataran apabila laungan takbir dan doa bergema serentak, disertai puluhan tangan yang menadah harapan agar keamanan kembali bertapak di bumi Palestin. Kehadiran mahasiswa daripada pelbagai latar belakang jelas membuktikan nilai kebersamaan yang melangkaui batas politik serta sempadan geografi.
Menurut wakil mahasiswa yang juga penggerak utama program, Muhammad Aqil Fikri Zulkipli, penganjuran himpunan ini adalah manifestasi kepada tanggungjawab moral dan kemanusiaan yang digalas oleh mahasiswa.
“Solidariti ini bukan sekadar simbolik, tetapi bukti bahawa mahasiswa UTM sentiasa cakna dengan isu global. Kami percaya suara mahasiswa, meskipun kecil, mampu menjadi gelombang besar apabila disatukan dengan doa, tindakan dan kesedaran masyarakat. Harapan kami agar rakyat Malaysia terus berdoa, terus cakna, dan terus teguh menyokong Palestin kerana perjuangan ini adalah perjuangan kemanusiaan,” katanya.
Beliau menambah, kehadiran pelajar antarabangsa dalam himpunan ini turut memperlihatkan mesej jelas bahawa isu Palestin bukan hanya isu agama, tetapi perjuangan universal menuntut keadilan.


Selain menekankan kepentingan solidariti, program ini turut seiring dengan semangat Malaysia Madani yang mendukung nilai ihsan, adab serta tanggungjawab sosial. Ia membuktikan bahawa mahasiswa bukan sekadar menekuni bidang akademik, tetapi juga berperanan sebagai agen perubahan yang berani menyuarakan keprihatinan terhadap isu sejagat.
Dengan slogan “Stand Together”, himpunan ini menjadi pentas mahasiswa menyuarakan sokongan menerusi ruang akademik, sosial dan kemasyarakatan. UTM sekali lagi membuktikan bahawa institusi ilmu bukan hanya medan menuntut pengetahuan, tetapi turut mendidik jiwa mahasiswa agar menjadi insan berjiwa besar, yang sentiasa peka terhadap penderitaan dan keadilan global.