November 17, 2025

UTM anjur siri kedua bengkel pembuatan coklat, bekas peserta dilantik sebagai pengajar

KULAI, 6 Sept. – Program Pembangunan Komuniti B40 berasaskan kemahiran asas pembuatan coklat dengan konsep ghost kitchen dan keusahawanan digital yang digerakkan menerusi inisiatif KTP@Fakulti anjuran Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan sokongan dana daripada Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) terus membuktikan keberkesanannya dalam memperkasa komuniti setempat.

Siri pertama program yang dilaksanakan bersama Jawatankuasa Penggerak Wanita (JPW) DUN Bukit Permai dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) Daerah Kulai telah melahirkan peserta berkemahiran yang mampu berdikari. Antara yang menyerlah ialah Puan Latipah Nanang, peserta siri pertama yang kini tampil sebagai tenaga pengajar utama dalam bengkel siri kedua bersama JPW Felda Taib Andak yang melibatkan seramai 19 peserta.

Peserta mengikuti Bengkel Pembuatan Coklat Siri 2 berkonsepkan ghost kitchen dan keusahawanan digital yang diketuai Puan Latipah Nanang
Puan Latipah Nanang (barisan depan, kiri) bersama peserta Program Pembangunan Komuniti B40 Siri 1 anjuran JPW DUN Bukit Permai

Peralihan peranan daripada peserta kepada pengajar ini mencerminkan kejayaan sebenar pemindahan ilmu dan kemahiran yang dihasratkan. Puan Latipah bukan sahaja menunjukkan peningkatan keyakinan diri, malah turut membuktikan bahawa wanita komuniti setempat mampu berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada fasilitator universiti. Kisah kejayaannya sekali gus menjadi inspirasi kepada peserta lain untuk turut berkongsi kepakaran bersama masyarakat masing-masing.

Puan Latipah, bekas peserta siri pertama, kini tampil sebagai pengajar utama dalam demonstrasi pembuatan coklat bersama komuniti JPW Felda Taib Andak

Selain berjaya menguasai teknik asas pembuatan coklat, peserta siri pertama turut menunjukkan kemampuan mengatur bengkel susulan secara kendiri. Hasil pemantauan mendapati mereka dapat menguruskan peralatan serta bahan asas tanpa memerlukan bimbingan lanjut. Keupayaan ini jelas menggambarkan peningkatan kapasiti, penguasaan teknikal serta semangat kepimpinan dalam kalangan wanita, khususnya JPW DUN Bukit Permai dan JPW Felda Taib Andak.

Peserta siri pertama membuktikan keberkesanan program apabila berjaya mengurus peralatan dan bahan asas pembuatan coklat tanpa bimbingan lanjut

Program ini turut memberi nilai tambah melalui pengaplikasian konsep ghost kitchen, iaitu pendekatan fleksibel yang membolehkan pengeluaran produk dilakukan tanpa memerlukan ruang fizikal yang besar. Konsep ini bukan sahaja mengurangkan kos operasi, malah memberi ruang kepada peserta menjana keuntungan yang lebih tinggi. Peserta turut didedahkan dengan kemahiran keusahawanan digital, termasuk strategi pemasaran berasaskan media sosial untuk memperluas capaian produk mereka ke pasaran yang lebih meluas.

Hasil pembuatan coklat siri kedua oleh komuniti wanita di bawah JPW Felda Taib Andak

Secara keseluruhannya, inisiatif ini menegaskan komitmen UTM dalam memperkasa komuniti sekali gus menyokong agenda pembangunan mampan negara. Kejayaan JPW Felda Taib Andak di bawah kepimpinan Puan Latipah Nanang menjadi bukti bahawa pemerkasaan wanita melalui pendidikan dan kemahiran praktikal mampu memberi impak berganda kepada ekonomi keluarga dan komuniti.

Usaha ini juga sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 5 (Kesaksamaan Jantina) dan SDG 8 (Pekerjaan Sesuai dan Pembangunan Ekonomi) yang menekankan pembangunan diri, peluang ekonomi inklusif dan penglibatan aktif wanita dalam keusahawanan secara mampan.

Explore More

UTM Open Day