PALEMBANG, 5 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) terus memperkukuh jaringan antarabangsa apabila menjalin kerjasama rasmi dengan Universitas Sriwijaya (UNSRI), Palembang, Indonesia. Perjanjian kerjasama tersebut dimeterai melalui penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP) UNSRI, sekali gus membuka lembaran baharu dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi di peringkat global.
Majlis menandatangani MoA ini dirangkaikan dengan penganjuran Kuliah Umum Antarabangsa bertajuk “Overview of AI Implementation at UTM” yang berlangsung di ruang serbaguna FKIP UNSRI. Program ini telah dirasmikan oleh Dekan FKIP UNSRI, Dr. Hartono, M.A., dan menampilkan dua pensyarah dari FEST, Prof. Madya Dr. Noor Dayana Abd Halim serta Dr. Nor Farahwahidah Abdul Rahman sebagai penceramah jemputan.

Sesi kuliah umum itu mendapat sambutan hangat dengan kehadiran ratusan mahasiswa prasiswazah dan pascasiswazah FKIP UNSRI. Mereka bukan sahaja diberi pendedahan tentang perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) di UTM, malah turut berpeluang memahami bagaimana inovasi ini diaplikasikan dalam bidang pendidikan, pengajaran serta penyelidikan. Kehadiran peserta yang ramai jelas mencerminkan minat mendalam terhadap usaha memperkukuh kompetensi digital dalam kalangan tenaga akademik dan pelajar di rantau Asia Tenggara.
Melalui perjanjian yang dimeterai, kedua-dua pihak sepakat untuk melaksanakan pelbagai bentuk kerjasama strategik. Antara fokus utama ialah menjalankan penyelidikan bersama dalam bidang pendidikan dan teknologi, menggerakkan mobiliti pelajar yang membolehkan mahasiswa mengikuti program akademik atau komuniti, menghasilkan penerbitan ilmiah bersama dalam jurnal dan prosiding antarabangsa, serta menganjurkan seminar, bengkel dan persidangan yang dapat menjadi platform pertukaran ilmu dan kepakaran.

Dekan FKIP UNSRI, Dr. Hartono, dalam ucapannya menyatakan bahawa kerjasama ini amat signifikan kerana mampu membuka lebih banyak peluang untuk mahasiswa dan pensyarah UNSRI dalam memperkukuh kompetensi global, khususnya dalam bidang pendidikan digital dan teknologi. Beliau percaya inisiatif ini akan memberi nilai tambah yang besar dalam usaha melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, wakil FEST UTM menyatakan MoA ini bukan sekadar memperluas jaringan kerjasama akademik dengan universiti terkemuka di Indonesia, malah turut memperkukuh kedudukan UTM sebagai peneraju dalam bidang pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara. Menurutnya, kerjasama ini akan membuka ruang lebih luas untuk aktiviti penyelidikan rentas negara yang mampu memberi impak kepada pembangunan ilmu pengetahuan global.
Dengan termeterainya MoA tersebut, UTM dan UNSRI bertekad untuk terus memperkukuh inovasi pendidikan, memperluas peluang kolaborasi akademik, serta menyumbang secara langsung kepada pembentukan modal insan berkualiti tinggi. Majlis ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata dan perbincangan lanjut mengenai agenda kolaborasi seterusnya.
Kerjasama antara FEST UTM dan FKIP UNSRI ini diharap menjadi platform kukuh bagi melahirkan generasi pendidik yang bukan sahaja mahir dalam aspek pedagogi, malah celik teknologi, berfikiran global, serta mampu mendepani cabaran pendidikan abad ke-21 dengan penuh keyakinan.