October 7, 2025

DIRGAHAYU MALAYSIAKU KE-68: Jalur Gemilang, Patriotisme dan Ketahanan Nasional

“Patriotisme bukan sekadar semangat pada hari kemerdekaan, tetapi penghayatan sejarah dan simbol kebangsaan dalam kehidupan seharian.”

Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim

Dalam era globalisasi dan digitalisasi yang kian mencabar, semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda, dilihat semakin pudar. Ini satu fenomena yang boleh dikenali sebagai sindrom defisit patriotisme iaitu sikap acuh tak acuh terhadap sejarah perjuangan negara, ketidakpedulian terhadap simbol kebangsaan seperti bendera dan lagu rasmi. Sindrom ini juga menunjukkan lemahnya keterlibatan rakyat dalam agenda kenegaraan merupakan antara petunjuk gejala ini semakin menjalar..

Justeru, menghidupkan budaya mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar ritual tahunan, tetapi suatu usaha simbolik dan strategik untuk menyemai kembali nilai cinta negara, memperkukuh ketahanan nasional, serta memastikan kelestarian Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, bersatu dan harmoni. Hal ini seiring dengan tema hari kemerdekaan ke-68 iaitu Malaysia MADANI; Rakyat Disantuni yang menekankan pembentukan masyarakat berperikemanusiaan, beradab, dan saling menghormati, di mana semangat patriotisme menjadi teras keharmonian dan kekuatan negara bangsa.

Bendera adalah simbol suci bagi sebuah negara yang merdeka. Ia bukan sekadar kain yang berkibar ditiup angin, tetapi mengandungi falsafah dan nilai tinggi yang wajar difahami dan dihayati oleh setiap lapisan masyarakat. Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, kemegahan, dan kebebasan yang telah kita kecapi sejak lebih enam dekad lalu. Setiap rekabentuk, lorekan, warna dan simbol di Jalur Gemilang mempunyai makna yang mendalam, menceritakan sejarah perjuangan, prinsip kehidupan, dan nilai bernegara yang membentuk kita sebagai sebuah negara bangsa.

Bendera adalah simbol mewakili setiap rakyat tanpa mengira bangsa, agama, dan budaya. Jati diri dan identiti bangsa kita tersemat dalam setiap warna dan lorekan yang direka bentuk dengan makna falsafah dan nilai yang unik. Jalur Gemilang adalah simbol identiti bangsa Malaysia yang merdeka, serta menyimpan sejarah panjang perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang wajar dikenang dan dihargai oleh generasi baharu.

Beberapa buku seperti Imagined Communities: Reflections on the Origin and Spread of Nationalism (Benedict Anderson, 1991); Symbols of Nations and Nationalism: Celebrating Nationhood (Gabriella Elgenius, 2011) dan National Identity (Anthony D. Smith, 1991) dan Flag, Nation and Symbolism in Europe and America (Thomas Hylland Eriksen & Richard Jenkins, 2007) menyebutkan bagaimana bendera dan simbol lain digunakan untuk mengukuhkan jati diri dan semangat patriotisme rakyat khususnya dalam kalangan negara pascakolonial. Bendera antara simbol yang menyatukan rakyat dalam satu identiti bersama, meskipun mereka mungkin tidak mengenali satu sama lain secara peribadi.

Buku Digital ‘Jalur Gemilang’ diterbitkan Jabatan Penerangan Malaysia (2020) menyebutkan falsafah, prinsip, dan nilai seperti agama rasmi, kedudukan Raja Berperlembagaan, konsep federalisme, dan perpaduan kaum semuanya terkandung dan terakam dalam Jalur Gemilang. Selain itu, nilai-nilai berani, bersungguh-sungguh, ikhlas, dan sentiasa bersedia mempertahankan maruah agama, bangsa, dan negara adalah antara makna tersirat dan tersurat yang terdapat di Jalur Gemilang. Jika semua falsafah, prinsip, dan nilai ini difahami dan dihayati oleh rakyat Malaysia, tentu sekali ia dapat membentuk jati diri dan identiti bangsa yang kukuh.

Falsafah, prinsip dan nilai yang tersemat di Jalur Gemilang tidak akan berubah dan kekal sampai bila-bila. Maka, makna daripada falsafah, prinsip dan nilai yang telah disepakati tersebut wajar dihayati dan diamalkan oleh setiap warganegara. Justeru, sesiapa pun yang mengibarkan jalur gemilang khususnya pada ketika menyambut kemerdekaan akan memberi makna terhadap semangat patriotismenya terhadap negara ini.

Kibaran Jalur Gemilang oleh rakyatnya secara tidak langsung menjadi sumber inspirasi dan aspirasi khususnya kepada generasi muda untuk memajukan negara pada masa hadapan.  Ditangan generasi baharu ini, negara diharapkan menjadi lebih dinamik, progresif, dan proaktif dalam meningkatkan daya saing ekonomi, mengikat semangat patriotisme dan merakyatkan kesaksamaan serta membina jati diri kukuh kemalaysiaan.  Semua ramuan ini cukup penting bagi membina ketahanan nasional dan menghadapi pelbagai cabaran lokal-global dengan semangat kolektif yang kukuh.

Setelah 68 tahun merdeka, Jalur Gemilang semestinya berupaya membentuk jati diri nasional, identiti bangsa dan ketahanan nasional yang utuh. Mungkin ada yang bertanya, mengapa masih ada segelintir masyarakat yang kurang menghayati atau menyambut kempen kibar Jalur Gemilang secara sambalewa? Setiap kali munculnya bulan Ogos, fenomena yang dapat dilihat di premis kerajaan dan perniagaan, deretan kibaran Jalur Gemilang berkibar megah, sedangkan di premis persendirian dan kenderaan pengguna kurang mendapat sambutan.

Benar!, Jawaban klise, kita sedang berada dalam Zaman VUCA (Volatile, Uncertain, Complex, Ambiguous).  Inilah zaman yang disebut oleh Ziauddin Sardar (2021) dalam bukunya Postnormal Times: A Theory for the 21st Century. Fasa yang ditandai dengan pelbagai cabaran tempatan dan global di semua sektor kehidupan termasuklah melemahkan ‘rasa nikmat bernegara’. Masyarakat terdedah dengan pelbagai ideologi, budaya, gaya hidup yang menyebabkan kekaburan terhadap identiti nasional. Ini telah menyebabkan berlakunya ‘defisit patriotisme’, khususnya dalam kalangan generasi milineal. Digitalisasi, pelbagai faktor VUCA dan pascanormal menipis dan melemahnya semangat cintakan negara (patriotisme). Pahit tapi itulah realitinya.

Kurangnya penghayatan terhadap sejarah negara bangsa menyebabkan generasi muda kurang menghargai ‘kemerdekaan’ dan makna ‘kebebasan’. Generasi hari ini menikmati ‘kebebasan’ tanpa memahami dan merasai  bahawa ‘kemerdekaan dan kebebasan’ yang dinikmati telah ditebus dengan keringat, darah dan air mata ribuan pejuang kemerdekaan. Harga sebuah kemerdekaan dan kebebasan tidak murah dan begitulah yang sedang terjadi di negara-negara yang masih berjuang mendapatkan ‘kemerdekaan sejati’ seperti Palestin.

Segelintir masyarakat pula seperti  ‘mati rasa’ akan keperluan pentingnya semangat patriotisme kepada kehidupan peribadi dan bernegara. Mereka bersifat pragmatik dan tidak melihat wujudnya kepentingan kempen mengibarkan Jalur Gemilang kepada kesejahteraan dan kemakmuran hidup. Ada yang berpendapat patriotisme tidak memberi kesan nyata kepada mereka, dan kempen mengibar Jalur Gemilang bukanlah suatu keutamaan dalam hidup. Terdapat juga pihak yang langsung tidak ambil peduli dan bersikap sinis terhadap kempen-kempen seperti ini dan menganggapnya hanya sesuai untuk penjawat awam, pelajar sekolah dan universiti sahaja.

Dalam konteks lain, terdapat segelintir masyarakat yang hidup ‘tertekan’ mencari nafkah untuk keluarga, sehingga tiada masa untuk memikirkan tentang ‘patriotisme’,  apatah lagi untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Keutamaan mereka beralih kepada kelangsungan hidup. Ada benarnya, jika teori Hirarki Keperluan Maslow dijadikan sandaran dan alasan.

Berdasarkan pandangan Maslow, mana mungkin golongan yang masih belum mencapai tahap terbawah iaitu keperluan fisiologi (keperluan asas) akan mencapai tahap lebih tinggi dalam hidup seperti keselamatan, kasih sayang dan sosial, penghargaan diri dan tertinggi iaitu pencapaian hasrat diri. Berdasarkan teori Maslow untuk mengibarkan bendera sekurang-kurangnya individu telah mencapai tahap ketiga iaitu kasih sayang dan sosial dalam hidupnya.

Pengetahuan sejarah yang cetek khususnya tentang Jalur Gemilang dengan segala falsafah, prinsip, dan nilai yang terkandung di dalamnya antara faktor tiada keperluan untuk mereka mengibarkan Jalur Gemilang. Bagi mereka, mengibar Jalur Gemilang tidak memberi makna, manfaat dan kepuasan terhadap kehidupan harian. Apabila ini berlaku menyebabkan kurangnya penghargaan dan ikatan emosi terhadap salah satu daripada simbol dan identiti negara. Pelik tapi benar, setelah 68 tahun Merdeka masih kedengaran isu Jalur Gemilang dipasang terbalik. Ini tidak sewajarnya berlaku.

‘Defisit patriotisme’ juga wujud dalam bentuk falasi seperti “Ini bukan kerajaan pilihan saya, justeru patriotisme saya bukan untuk kerajaan yang saya tidak pilih”. Ini suatu falasi yang semakin melebar dan memudarkan patriotisme secara senyap. Akibatnya wujudnya polarisasi sosial dan politik sesama rakyat. Falasi dan sindrom ini perlu dibendung. Jika tidak dicegah awal, falasi dan sindrom ini akan membentuk ‘mental habit’ yang bakal menjejaskan kelestarian patriotisme dan ketahanan nasional jangka panjang.

Mereka beranggapan kempen kibarkan Jalur Gemilang adalah suatu bentuk propaganda dan indoktrinasi halus untuk menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada. Mereka berpandangan, kempen ini tidak lebih daripada promosi kerajaan untuk menunjukkan wujudnya sokongan kukuh rakyat terhadap kerajaan. Fenomena politik identiti seperti ini secara tidak langsung mewujudkan ‘defisit patriotisme’ dan sekali gus membelah kecintaan kepada negara berasaskan ‘siapa’ yang berkuasa dan ‘memerintah’.

Konsep patriotisme dan nasionalisme juga berubah mengikut zaman seperti mana menurut John Hutchison (1994) dalam bukunya Modern Nationlism. Pada era moden ini, patriotisme tidak hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang. Konsep ‘patriotisme’ bentuk baharu lebih luas dan mencakupi semua hal yang membawa kepada kebaikan untuk membina negara. Pada era moden yang sifatnya sangat terbuka, pluralistik dan global ini, ‘Patriotisme’ dilihat semakin menipis. Fahaman, nilai, dan amalan komersialisasi, liberalisasi dan naturalisasi di pelbagai bidang seperti sukan, hiburan, pendidikan, sektor pekerjaan, dan sebagainya sedikit sebanyak memberi tempias terhadap semangat ‘patriotisme’ tulen dalam kalangan generasi baharu.

Justeru, golongan profesional dan menengah ke atas, memiliki kefahaman ‘patriotisme’ yang berbeza. Pada mereka, semangat patriotisme boleh ditunjukkan dengan pelbagai cara dan bukan hanya dengan mengibarkan bendera. Pada golongan ini, sumbangan mereka secara langsung atau tidak langsung untuk memajukan keluarga, organisasi dan komuniti juga adalah suatu bentuk patriotisme terhadap negara. Menurut mereka, sumbangan dan tindakan yang bermanfaat itu lebih penting dan bermakna berbanding hanya sekadar mengibar bendera.

Jurang generasi yang semakin melebar memberi kesan terhadap kefahaman tentang sejarah perjuangan kemerdekaan, kedaulatan negara, dan makna ‘patriotisme’. Oleh itu, pendekatan baharu yang lebih segar, kreatif, dan bermakna perlu diperkenalkan dengan mengambil kira keperluan teknologi dan bentuk maklumat yang dipersembahkan.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, semangat patriotisme melalui kibaran Jalur Gemilang tetap penting kepada semangat cintakan negara. Individu yang mengibarkan Jalur Gemilang sudah pasti tersemat di dadanya rasa sayang dan cinta akan negara tempat tumpah darah mereka. Perbuatan mengibarkan Jalur Gemilang memberi gambaran wujudnya rasa keterikatan diri dengan individu, komuniti, dan masyarakat dengan negara Malaysia yang tercinta ini.

Secara kolektif pula, kibaran bendera akan menyatukan hati dan emosi antara rakyat dan sekali gus mengabsahkan bahawa ‘Jalur Gemilang’ adalah milik bersama serta merupakan identiti bangsa Malaysia. Rasa bangga ini akan wujud secara emosi dan mengukuhkan esprit de corps dalam kalangan rakyat.

Kibaran ‘Jalur Gemilang’ akan sentiasa mengingatkan semua warga negara bahawa inilah negara berdaulat milik bersama, dan inti kepada kekuatan masa hadapan adalah saling hormat-menghormati dan bersatu padu. Lebih meluas dan ramai warganegara yang mengibarkan Jalur Gemilang akan memberi pengaruh sosial yang besar iaitu menunjukkan kekuatan perpaduan dan jiwa Malaysia.

Namun, kita juga perlu sedar akan cabaran masa kini. Pelbagai berita palsu dan kempen-kempen politik tidak sihat boleh menjejaskan perhatian dan meningkatkan emosi masyarakat untuk tidak turut serta mengibarkan Jalur Gemilang. Inilah antara faktor berlakunya ‘defisit patriotisme’, selain ketidakpedulian dan sikap individualistik yang melampau.

Untuk memastikan semangat Kibar Jalur Gemilang dan semangat cinta akan negara terus menyala, pelbagai strategi yang kreatif dan inovati wajar diperkenalkan. Pendekatan sukarela melalui inovasi adalah kunci utama. Pihak wewenang mesti lebih kreatif dan inovatif dengan memanfaatkan sepenuhnya media sosial, serta mewujudkan aplikasi khusus yang menarik perhatian pengguna. Kolaborasi dengan pempengaruh untuk menghasilkan bahan dan kandungan yang ‘versatile’ dan relevan mampu menarik minat lebih ramai, terutamanya generasi muda, untuk bersama-sama menyemarakkan kempen ini.

Mengibar Jalur Gemilang bukan hanya sekadar mengangkat sehelai kain berwarna, tetapi ia adalah manifestasi jiwa merdeka, simbol kesatuan dan cerminan jati diri nasional. Dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim, serta perpecahan nilai dalam masyarakat, semangat patriotisme yang utuh menjadi asas kepada daya tahan sesebuah negara.

Justeru, usaha memerangi sindrom defisit patriotisme harus digerakkan secara menyeluruh bermula daripada  pendidikan, kepimpinan, media hingga ke akar umbi. Dengan Jalur Gemilang sebagai panji semangat dan penyatuan, Malaysia mampu terus melangkah gagah menuju masa depan yang progresif, lestari dan berdaya tahan.

**Penulis merupakan Prof. Madya di Sekolah Pembangunan Sumber Manusia & Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,  yang juga merangkap Ketua Penyelidik, Kumpulan Penyelidik Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, UTM

Explore More