November 17, 2025

SDG Ride Batam 2025 menyatukan UTM dan UniSZA dalam Misi Lestari

BATAM, 9 Ogos Kepulauan Riau sekali lagi menjadi saksi kepada semangat kesukanan dan perpaduan serantau apabila seramai 27 pengayuh dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyertai SDG Ride Batam 2025, satu ekspedisi berbasikal sejauh 80 kilometer merentasi enam jambatan ikonik di Batam. Berlangsung pada 9 Ogos 2025, kayuhan ini bukan sekadar acara sukan, tetapi platform untuk membina jaringan sosial, mempromosi gaya hidup sihat dan menyampaikan mesej penting mengenai pembangunan mampan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Sebelum pelepasan di hadapan penginapan di Bandar Batam

Pemilihan Batam sebagai lokasi kayuhan bukan suatu kebetulan. Wilayah ini merupakan zon pertumbuhan pesat yang menggabungkan aspek kejuruteraan moden, kepelbagaian budaya dan kelestarian alam sekitar. Dengan struktur jambatan megah yang menghubungkan pulau-pulau utama seperti Pulau Tonton, Pulau Setoko dan Pulau Galang Baru, Batam menawarkan kombinasi cabaran fizikal dan keindahan panorama menjadikan ia latar ideal untuk menjayakan kayuhan yang berimpak tinggi secara fizikal dan simbolik.

Acara ini diketuai oleh dua tokoh akademik dan sukan lasak, Prof. Dr. Abd Latif Saleh dan Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, serta disertai peserta berusia antara 19 hingga 63 tahun dari pelbagai latar belakang profesional. Dengan semangat kesukarelawanan yang tinggi, peserta memulakan kayuhan seawal jam 6.15 pagi dari Batam Center, selepas dilepaskan secara rasmi oleh Konsul Malaysia di Pekanbaru, Tuan Ros Faizi Rosli. Cuaca panas terik dan laluan berbukit tidak melemahkan semangat, malah menjadi pencetus kekuatan mental sepanjang perjalanan.

Konsulat Malaysia di Pekanbaru menyaksikan pelepasan kayuhan ke Barelang Ujung

Kayuhan bermula dengan menyeberangi Jembatan Tengku Fisabilillah yang tersergam sepanjang 642 meter, jambatan pertama daripada enam yang dilalui. Setiap jambatan mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi struktur dan fungsi. Dari Jembatan Nara Singa hingga ke Jembatan Raja Ali Haji, peserta menempuh jalan-jalan yang menghubungkan pulau-pulau kecil dengan laluan berliku dan pemandangan laut yang mengasyikkan, menjadikan setiap kayuhan satu pengalaman tersendiri yang menggabungkan cabaran fizikal dan ketenangan mental.

Perjalanan diteruskan ke Jembatan Sultan Zainal Abidin dan kemudiannya Jembatan Tuanku Tambusai yang dibina menggunakan teknik peluncuran bertahap, sebelum tiba ke jambatan terakhir – Jembatan Raja Kecik, yang hanya sepanjang 180 meter tetapi memainkan peranan penting sebagai penghubung ke Titik Nul. Laluan ini yang sering digelar “belakang naga” oleh penduduk tempatan kerana struktur bukitnya, menjadi ujian sebenar ketahanan peserta. Namun begitu, semangat berpasukan yang ditunjukkan menyuntik kekuatan kolektif.

Jembatan Tengku Fisabilillah

Lebih daripada sebuah acara sukan, SDG Ride Batam 2025 membawa impak langsung terhadap pelaksanaan SDG 3, iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan. Kayuhan ini menjadi medium kesedaran tentang gaya hidup aktif dan pentingnya kesejahteraan mental dalam kalangan masyarakat moden. Apabila peserta saling menyokong, memberi galakan dan berkongsi keletihan, ia mencerminkan nilai empati yang sering dilupakan dalam rutin harian yang sibuk.

Dalam masa yang sama, kayuhan ini turut menyokong prinsip SDG 7 berkaitan Tenaga Bersih dan Mampu Milik. Dengan bergantung sepenuhnya kepada tenaga manusia, program ini menunjukkan bahawa pergerakan secara lestari bukan sekadar konsep, tetapi satu tindakan yang praktikal. Lori sokongan digunakan secara minimum, memperlihatkan kesungguhan peserta dan penganjur untuk meminimumkan jejak karbon sepanjang program berlangsung.

Kayuhan juga menjadi simbol tindakan terhadap perubahan iklim seperti yang digariskan dalam SDG 13. Dengan cuaca panas melampau dan landskap mencabar sebagai latar, peserta mengalami sendiri kesan-kesan iklim yang semakin tidak menentu. Ini menimbulkan kesedaran secara langsung tentang keperluan adaptasi dan tindakan kolektif dalam menangani isu alam sekitar, baik di peringkat individu mahupun organisasi.

Lebih menarik, program ini turut menepati semangat SDG 17 – Perkongsian untuk Matlamat. Ia berjaya menghimpunkan peserta dari pelbagai institusi, latar profesional dan usia dalam satu platform inklusif. Penglibatan Konsulat Malaysia dan sokongan komuniti tempatan membuktikan bagaimana kerjasama rentas sempadan boleh menghasilkan impak positif, bukan sahaja dari sudut sukan dan kesihatan, tetapi juga dalam membina diplomasi rakyat yang berkesan.

Jembatan Tuanku Tambusai

 

Jembatan Raja Kecik

Setibanya di Titik Nul sekitar jam 2.00 petang, para peserta disambut dengan rasa lega dan bangga. Setelah berehat, mereka memulakan kayuhan pulang ke Batam Center. Walaupun keletihan jelas terpancar, semangat tidak pernah pudar. Tiada kecederaan dilaporkan sepanjang program, membuktikan tahap persediaan, keselamatan dan pengurusan yang teliti oleh pasukan penganjur dan sukarelawan.

SDG Ride Batam 2025 membuktikan bahawa aktiviti sukan boleh menjadi pemangkin kepada perpaduan, kesedaran kesihatan dan tindakan terhadap perubahan iklim. Lebih daripada sekadar kayuhan, ia adalah simbol kekuatan kolektif yang terhasil daripada keazaman, kerjasama dan keyakinan bersama. Acara ini telah mengangkat Batam sebagai lokasi berpotensi untuk pelaksanaan program pembangunan mampan yang inklusif, progresif dan berimpak tinggi.

Tiba di Titik Nul Barelang Ujung Pulau Balang Baru

 

Laluan di Batam yang sangat mencabar

Explore More

UTM Open Day