JOHOR BAHRU, 6 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmen dalam membangunkan bakat kepimpinan masa depan menerusi pelaksanaan Program Persijilan Kompetensi Kepimpinan UTM (PKKUTM), yang bermula secara rasmi pada Mac 2025. Program ini dirangka dengan pendekatan berstruktur dan progresif, berteraskan pengalaman sebenar, pementoran dan pentaksiran berimpak tinggi.
PKKUTM melibatkan empat peringkat pembangunan kepimpinan iaitu Potential Talent, Bloom Lead, STAR Lead dan GOLD Lead. Setiap peringkat memberi penekanan kepada kluster kompetensi yang selaras dengan peranan jawatan pentadbiran universiti dari sudut kempimpinan diri hingga ke organisasi.
Sebagai permulaan, Seminar Kepimpinan Potential Talent telah diadakan dari 7 hingga 9 Mei 2025, melibatkan seramai 170 peserta daripada kalangan penyelaras program akademik, pengurus akademik luar dan Pegawai Pengurusan dan Profesional (PPP) Gred 10. Seminar ini menampilkan penceramah jemputan yang berpengalaman luas termasuk Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, Prof. Dr. Shahrin Mohammad, Prof. Dr. Mohd Nazri Kama, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Prof. Dr. Astuty Amrin dan Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir. Modul-modul seminar menyentuh topik berkaitan kepimpinan strategik, nilai dan komunikasi dalam konteks pengurusan akademik.


Peringkat yang berikutnya dalam PKKUTM ini adalah peserta bagi Kumpulan Bloom Lead, yang menggabungkan modul Kem Pengukuhan ISES Pentadbir, modul Lakon Layar (Role Play) yang telah berlangsung pada 2 hingga 4 Julai 2025 serta modul untuk kursus kepimpinan generik . Kumpulan Bloom Lead yang mengikuti modul kepimpinan di bawah kompetensi kepimpinan ini adalah kumpulan sasaran yang dikenal pasti terdiri daripada PPP Gred 12, Ketua Jabatan dan Pengurus Hubungan Luar & Global Fakulti.





Kemuncak pelaksanaan tahun ini ialah sesi Penilaian Kemajuan Project Action Plan (PAP) bagi kumpulan STAR Lead yang berlangsung pada 29 Julai 2025 (Selasa). Seramai 30 peserta daripada kalangan Timbalan Dekan Fakulti dan PPP Gred 13 membentangkan kemajuan projek sebenar yang dikendalikan di fakulti atau PTJ masing-masing.
Barisan penilai untuk STAR Lead terdiri daripada, Prof. Dato’ Tpr. Gs. Dr. Ahmad Nazri Muhamad Ludin, Mantan Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU); Prof. Dr. Mohd Salleh Abu, Mantan Dekan Fakulti Pendidikan; Prof. Ir. Dr. Herlina Abdul Rahim, Mantan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE); Nor Azizah Ismail, Mantan Pendaftar; Prof. Ir. Dr. Haslenda Hashim, Mantan Pengerusi Perikatan Penyelidikan (RA), UTM; Mohd Zaires Md Daris – Timbalan Pendaftar Kanan; Azri Hohad, Timbalan Pendaftar Kanan, Pusat Pembangunan Bakat & Kepimpinan (CTLD); Prof. Ir. Dr. Sharifah Hafizah Syed Ariffin dari FKE; Zaleha Atan dari Jabatan Perpustakaan UTM; Hanifah Ahmad, Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA); dan Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir, Mantan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) dan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), UTM.


Peserta dinilai dalam aspek Self Leading, termasuk keupayaan berorientasikan hasil, berfikir secara analitikal dan kreatif, membuat keputusan dengan yakin, serta menzahirkan nilai integriti dalam kepimpinan. Di samping itu, mereka turut diuji dalam Leading Others melalui kebolehan memimpin perubahan, membina kerja berpasukan yang berkesan, serta membangunkan jaringan dan kolaborasi strategik.
Bagi kluster Leading Organization, penilaian memberi tumpuan kepada kebolehan peserta dalam merangka strategi jangka panjang, mengurus serta membangunkan organisasi dengan berkesan, dan mengenal pasti serta menangani risiko secara proaktif.
Sesi yang berlangsung pada hari yang sama turut melibatkan penilaian bagi kumpulan GOLD Lead, yang membentangkan projek Strategic Action Plan (SAP), satu inisiatif berimpak tinggi yang menyasarkan pembangunan organisasi universiti di peringkat strategik. Peserta terdiri daripada Dekan Fakulti dan PPP Gred 14, yang menyampaikan projek melibatkan isu seperti perancangan strategik fakulti, pengurusan risiko institusi, transformasi digital dan antarabangsa.
Barisan penilai GOLD Lead pula terdiri daripada tokoh-tokoh institusi seperti Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), UTM; Prof. Ts. Dr. Shukor Abd Razak, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA); Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Kama, Mantan Ketua Pengarah Data Peribadi, Kementerian Komunikasi; Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah, Naib Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, Pendaftar, UTM


Secara keseluruhannya, PKKUTM bukan sekadar program latihan bahkan merupakan laluan pembangunan kepimpinan yang autentik, berpaksikan amalan sebenar, dan dirancang untuk melahirkan pemimpin UTM yang berdaya fikir strategik, cekap membuat keputusan, serta mampu memimpin dengan nilai dan visi yang jelas.
Lebih daripada itu, program ini juga mencerminkan kesepaduan antara aspirasi pembangunan kepimpinan universiti dengan prinsip Malaysia MADANI yang mengangkat nilai keadilan, ihsan, kebebasan, hormat, daya cipta dan kebajikan. PKKUTM secara langsung mendukung usaha negara untuk membentuk kepimpinan sektor awam yang beretika, progresif dan berpandangan jauh.