“Hard times create strong men, strong men create good times, good times create weak men, and weak men create hard times.”
Petikan ini menjadi falsafah kepimpinan yang dipegang oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Dekan baharu Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang kini tampil menerajui era baharu transformasi strategik di salah satu fakulti berpengaruh dalam sejarah kejuruteraan negara. Falsafah ini jugalah yang membentuk pendekatan beliau dalam kepimpinan akademik, yang dibina daripada pengalaman luas sebagai bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli membawa visi kepimpinan yang jelas dan menyeluruh untuk mengembalikan kegemilangan FKA sebagai peneraju kejuruteraan awam di peringkat nasional dan antarabangsa, selaras dengan visi fakulti, “To be a globally prominent Civil Engineering Centre for Education, Research and Innovation.”
“FKA bukan sekadar fakulti. Ia sebuah institusi yang melahirkan pemimpin negara. Naib Canselor UTM pertama, Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid merupakan alumni FKA. Kita mesti bangkit sebagai peneraju semula agar fakulti ini kekal relevan dan mampu berdaya saing,” ujar beliau.

Strategi Transformasi dan Adaptasi Global
Bagi merealisasikan aspirasi ini, beliau telah merangka pelan transformasi fakulti yang jelas. Dalam tempoh dua tahun pertama pentadbirannya, Prof. Ts. Dr. Rosli menggariskan empat fokus utama iaitu memperkukuh keupayaan penyelidikan dengan tumpuan kepada isu global seperti perubahan iklim dan ketahanan infrastruktur, memantapkan program akademik melalui pendekatan inovatif berasaskan teknologi terkini, meningkatkan pengantarabangsaan dengan pengambilan pelajar antarabangsa dan program pascasiswazah rentas sempadan, serta meluaskan jaringan kerjasama strategik industri dan alumni dengan memperkasa budaya “giving back”.
Beliau menyatakan bahawa walaupun FKA memiliki gabungan tenaga akademik berpengalaman, pelajar berkualiti, dan tradisi kecemerlangan sejak 1989, cabaran semasa menuntut adaptasi pantas terhadap teknologi baharu, landskap global yang berubah dan pemerkasaan akreditasi antarabangsa. FKA kini berada di kedudukan ke-108 dunia dalam QS World University Rankings by Subject: Civil & Structural Engineering (2025) dan menyasarkan untuk kembali menembusi kelompok Top 100 melalui pemantapan sistem akademik fleksibel, pembelajaran sepanjang hayat, dan kolaborasi rentas sempadan.

Seiring aspirasi tersebut, FKA menjadi antara fakulti terawal di UTM yang memperkenalkan kursus tiga kredit “AI in Civil Engineering” bersama-sama Panel Penasihat Industri, menggabungkan teknologi seperti Building Information Modeling (BIM), numerical analysis, dan design optimization menggunakan kecerdasan buatan (AI). Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa teknologi tidak boleh mengatasi peranan nilai kemanusiaan.
“AI boleh bantu mereka bentuk, tetapi nilai empati dan pemikiran kritikal manusia tetap penting. Ini yang akan membezakan jurutera kita,” ujar beliau.
Selain itu, FKA terus memperkukuh pengantarabangsaan dan penyelidikan berimpak tinggi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan universiti luar negara, penganjuran seminar antarabangsa, dan kolaborasi penyelidikan global berkaitan isu pembangunan lestari. Kumpulan penyelidikan fakulti juga aktif menangani isu kritikal negara seperti tanah runtuh, cerun, jalan raya, banjir dan penghadang jalan, menjadikan FKA kekal relevan dalam menyumbang kepada penyelesaian cabaran infrastruktur dan keselamatan negara.
Pemerkasaan Graduan, Alumni dan Pembangunan Fakulti
Selain pencapaian akademik dan penyelidikan, pembangunan modal insan melalui graduan dan alumni turut menjadi fokus utama fakulti. Kepercayaan terhadap graduan FKA kekal tinggi, dibuktikan dengan kadar kebolehpasaran mencecah 100% pada tahun 2024, hasil gabungan penguasaan teori, kemahiran amali dan keterlibatan industri. Maklum balas industri menunjukkan pelajar FKA memiliki asas teknikal yang kukuh, dan kini diperkasa dengan soft skills serta komunikasi menerusi pelbagai program pembangunan pelajar.

Sumbangan alumni turut menjadi tonggak kekuatan FKA, dengan rangkaian berpengaruh di pelbagai sektor termasuk Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong (mantan Menteri Pengangkutan); Tan Sri Acryl Sani (mantan Ketua Polis Negara); Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Datuk Mohd Zulkifli Mohd. Ghazali (mantan Dekan FKA), Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, ketiga-tiganya mantan Naib Canselor UTM; Prof. Emeritus Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir (Presiden dan Naib Canselor UCSI University); Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim (Presiden QIU); Ir. Azren Khalil (Pengarah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara), dan ramai lagi.
“Kita tidak hanya ingin melahirkan jurutera. Kita ingin melahirkan pemimpin kejuruteraan yang mampu memberi impak kepada masyarakat, negara dan dunia.”
Malah, ketika ditanya mengenai kemungkinan penubuhan Yayasan FKA sebagai wadah rasmi untuk menghimpunkan kekuatan alumni secara lebih terancang dan sebagai platform strategik untuk mereka menyumbang semula kepada pembangunan fakulti, sama ada dalam bentuk penajaan, penyelidikan, peluang kerjaya, mahupun bimbingan pelajar, beliau tidak menafikan hasrat tersebut.

Dalam aspek pembangunan pelajar, FKA aktif menganjurkan pertandingan kejuruteraan peringkat antarabangsa seperti International Bridge Competition, sebuah pertandingan kejuruteraan yang melibatkan reka bentuk dan pembinaan jambatan berskala kecil yang mampu menahan gempa bumi.
“Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi medan latihan sebenar untuk pelajar kita mahupun pelajar sekolah sekitar. Mereka belajar menyelesaikan masalah dunia nyata dan mencipta solusi inovatif yang diuji secara langsung. Fakulti perlu terus menyokong program seperti ini kerana impaknya sangat besar kepada pembangunan kemahiran pelajar dan nama baik fakulti,” jelas Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli.
Beliau menjelaskan bahawa penyertaan dalam pertandingan seperti International Bridge Competition sangat penting kerana ia mampu mengasah kemahiran kepimpinan, kerjasama berkumpulan dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar. Apabila pelajar diberi peluang untuk memimpin pasukan, mereka bukan sahaja dapat membangunkan kemahiran teknikal, tetapi juga meningkatkan keyakinan diri.
Gabungan usaha akademik, penyelidikan dan pembangunan pelajar ini akhirnya memperkukuh ekosistem fakulti yang berdaya saing di peringkat global, sekali gus mencerminkan usaha FKA membina graduan yang bukan sahaja kompeten, tetapi bersedia menjadi pemimpin masa hadapan. Dengan semangat menyemai visi “Always Ahead”, Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin membawa bukan sekadar perubahan, tetapi kebangkitan baharu melalui kepimpinan strategik, pengukuhan jaringan global, dan pembangunan graduan yang bukan sahaja cemerlang sebagai jurutera, tetapi juga pemimpin masa hadapan yang sarat dengan nilai, integriti, dan kecemerlangan.
