July 15, 2025

CEE UTM jayakan STI 100³ & STEM in 30 Seconds di dua sekolah Johor

JOHOR BAHRU, 7 Julai – Pusat Pendidikan Kejuruteraan (CEE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memainkan peranan aktif dalam menyemarakkan minat pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) apabila dua felow penyelidiknya terlibat sebagai penceramah utama dalam Program Sains, Teknologi Inovasi 100 Kuasa Tiga (STI 100³) & STEM Dalam 30 Saat (STEM in 30 Seconds) yang berlangsung serentak di seluruh negara.

Dr. Nor Farahwahidah Abdul Rahman, Felow Penyelidik CEE dan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) UTM, telah menyampaikan ceramah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pulai Perdana. Beliau bersama tujuh orang pelajar UTM bertindak sebagai fasilitator dalam sesi interaktif yang menggabungkan ilmu STEM dengan pendekatan pemikiran kritis serta pengucapan awam.

Dr. Nor Farahwahidah Abdul Rahman menyampaikan ceramah kepada murid-murid di SK Sri Pulai Perdana
Dr. Nor Farahwahidah dan fasilitator pelajar UTM sedang menunjukkan demonstrasi kepada pelajar sekolah

Manakala di SK Kampung Maju Jaya, Dr. Nurzal Effiyana, Pengarah CEE, yang juga merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UTM, telah menyampaikan ceramah dan sesi motivasi yang memberi inspirasi kepada para pelajar agar lebih memahami aplikasi sebenar STEM dalam kehidupan seharian. Beliau juga berkongsi video kerjaya dalam bidang Kejuruteraan Telekomunikasi, mencetuskan perbincangan yang santai namun berisi bersama murid tentang cabaran dan peluang dalam bidang tersebut.

Program di SK Kampung Maju Jaya yang dikendalikan oleh Dr. Nurzal Effiyana Ghazali

Program ini merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dilaksanakan melalui kerjasama bersama Akademi Sains Malaysia (ASM), menyasarkan penglibatan 100 saintis dengan 100 buah sekolah dalam tempoh 100 hari. Ia selaras dengan objektif Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) dalam membina budaya sains dalam kalangan generasi muda.

Melalui STEM Dalam 30 Saat, murid-murid didedahkan kepada kaedah resensi bahan bacaan seperti buku dan artikel dalam bahasa Inggeris, seterusnya diminta membentangkan ulasan dalam masa singkat. Kaedah ini tidak hanya mengasah kemahiran komunikasi dan pemahaman bahasa, malah membantu meningkatkan keyakinan diri dalam pengucapan awam.

Pihak sekolah menyambut baik penganjuran program ini. Di SK Sri Pulai Perdana, barisan guru STEM antaranya Haslinda Jamaluddin, Aishah Mohd Taha dan Elampriya P. Elanchellian memainkan peranan penting dalam menjayakan program. Pihak pentadbir sekolah juga merakamkan penghargaan kepada CEE UTM atas sokongan padu yang diberikan.

Dr. Nor Farahwahidah Abdul Rahman dan barisan fasilitator pelajar UTM bergambar bersama Guru Besar SK Sri Pulai Perdana, Masnita Mohd Arif

Manakala di SK Kampung Maju Jaya, Ungku Masila Ungku Mansoor, Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid sangat berpuas hati dengan penyampaian yang santai dan mudah difahami.  Program ini turur menarik minat guru-guru di sana untuk menuntut ilmu bersama pihak CEE UTM.

Dr. Nurzal Effiyana dalam sesi motivasi beliau menyentuh cabaran salah tanggapan umum terhadap STEM. “STEM bukan hanya tentang robotik atau dron. Ia sebenarnya wujud dalam kehidupan seharian kita. Ramai pelajar dan guru tidak yakin kerana STEM sering dilihat sebagai sesuatu yang kompleks dan mahal,” ujar beliau. Beliau menggesa semua pihak agar merangka program STEM yang bersifat jangka panjang dan sesuai dengan tahap pelajar dari tadika hingga menengah.

Demonstrasi STEM oleh fasilitator UTM menggunakan bahan harian yang mudah didapati, membuktikan bahawa konsep STEM dekat dengan kehidupan seharian dan boleh diaplikasikan dalam pelbagai situasi harian.

Program STI 100³ dan STEM Dalam 30 Saat ini bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai inisiatif serentak terbesar membabitkan saintis dan sekolah di seluruh negara. CEE UTM berbangga dapat menyumbang kepakaran dalam program pembangunan modal insan ini dan berharap ia menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah demi memperkasakan pendidikan STEM di negara ini.

Explore More