KULAI, 12 Jun – Program pendidikan interaktif The Xperience: One Day of Math Mindset telah dianjurkan oleh pelajar kursus SHPP4043 Seksyen 07, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini merupakan inisiatif dalam usaha menyampaikan ilmu Matematik melalui pendekatan interaktif dan berimpak tinggi kepada komuniti sekolah.
Program ini melibatkan seramai 69 orang pelajar Tingkatan 4 sebagai peserta utama yang dibimbing secara langsung oleh mahasiswa UTM melalui pelbagai aktiviti berkaitan numerasi, penyelesaian masalah dan pemikiran aras tinggi. Inisiatif ini turut menjadi platform kolaboratif antara institusi pengajian tinggi dan pihak sekolah dalam usaha mendekatkan subjek Matematik dengan kehidupan sebenar pelajar.
Bertemakan “Eksplorasi Matematik: Ilmu, Logik dan Aksi”, program ini dilaksanakan bagi memperkukuh literasi dan numerasi serta meningkatkan keyakinan murid terhadap subjek Matematik melalui pendekatan luar bilik darjah berasaskan aktiviti dan permainan pendidikan. Program dimulakan dengan bengkel “Formula for the Future”, di mana murid diperkenalkan kepada konsep asas Matematik melalui sesi interaktif yang membina kefahaman tentang penyelesaian soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Seterusnya, murid menyertai aktiviti OlympiMath Explorace yang terdiri daripada lapan stesen cabaran Matematik seperti Maze Game: Jalan Kewangan Bijak, Graph Race, Bingo Data, Larian Bajet, dan SMART Financial Goals. Setiap aktiviti dirancang secara kreatif untuk mengintegrasikan elemen pemikiran kritis, kolaborasi dan kefahaman terhadap aplikasi Matematik dalam kehidupan seharian. Menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan permainan, murid dapat mengukuhkan kemahiran pengiraan, membuat keputusan serta meningkatkan kebolehan berfikir aras tinggi.



Menariknya, impak program ini disokong oleh analisis soal selidik sebelum dan selepas aktiviti. Seramai 62 orang pelajar memberikan respon terhadap soal selidik yang menilai dua aspek utama, iaitu mindset murid dalam menyelesaikan soalan KBAT Matematik dan tahap penglibatan mereka dalam proses tersebut. Keputusan menunjukkan peningkatan purata skor daripada sebelum program kepada selepas program, menandakan peningkatan sikap positif, keyakinan serta motivasi murid dalam menghadapi soalan KBAT.
Program ini turut memberi ruang kepada mahasiswa UTM untuk mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pengurusan dalam konteks dunia sebenar, selari dengan aspirasi kursus Bina Insan Guru. Dengan penglibatan lebih 30 orang ahli jawatankuasa pelaksana, keseluruhan program berjalan dengan lancar dan sistematik.
Secara keseluruhannya, The Xperience: One Day of Math Mindset bukan sahaja memberi nilai tambah kepada murid sekolah dari segi ilmu dan pengalaman, malah turut mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat dalam usaha menjadikan Matematik sebagai ilmu yang hidup, relevan dan membina masa depan.