JOHOR BAHRU, 13 Jun – Ketua Jabatan Kelestarian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nur Aisy Yasmin Mohd. Fathil telah dilantik sebagai Setiausaha bagi Iskandar Malaysia Youth Sustainability Network (IMYSN).

Pelantikan ini menandakan pengiktirafan terhadap komitmen dan kepimpinan pelajar dalam mempromosikan kelestarian dan pembangunan lestari di peringkat tempatan.
Nur Aisy yang diwawancara oleh Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS) berkata pelantikan ini juga memperkukuh lagi usaha kolaborasi antara pihak universiti dan komuniti belia dalam merealisasikan inisiatif kelestarian yang holistik dan berdaya tahan.
“Pelantikan ini sebagai simbolik terhadap usaha berterusan saya dan rakan-rakan dalam memartabatkan inisiatif kelestarian secara konsisten dan berterusan.
“Saya sangat berharap agar dapat meningkatkan penampakan (visibility) IMYSN sebab masih ramai yang tidak mengetahui akan kewujudan organisasi ini,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perancangannya setelah dilantik menjawat jawatan ini, Nur Aisy berkata pelbagai program yang memberikan impak tinggi kepada komuniti yang tinggal di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan dirangka bagi memberikan faedah kepada mereka.
IMYSN dianggotai oleh lima institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negeri Johor iaitu UTM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) cawangan Pasir Gudang, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan juga Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

“Terdapat lima jawatan utama yang dipertandingkan di dalam Majlis Tertinggi IMYSN iaitu Presiden, Naib Presiden 1, Naib Presiden 2, Setiausaha dan Bendahari.
“Kelima-lima jawatan ini dipertandingkan dua tahun sekali dimana penyandang perlu memenangi undi dari mahasiswa kelima-lima institusi yang telah saya sebutkan tadi. Calon dibenarkan berkempen dan memperkenalkan manifesto masing-masing kepada semua pengundi sebelum sesi pengundian dijalankan,” katanya.

Ditanya mengenai kesibukan tugas sebagai Ketua Jabatan Kelestarian MPP UTM di samping pelantikannya menjawat jawatan penting sebagai Setiausaha IMYSN boleh mengganggu tumpuan terhadap pengajiannya, Nur Aisy berkata kesemua aktiviti ini tidak akan mengganggu tugasnya yang hakiki sebagai seorang pelajar universiti.
“Sebagai pelajar, kita harus tahu bila hendak aktif dan bila hendak tumpukan perhatian kepada pelajaran. Mahasiswa universiti perlu terlibat dalam semua aktiviti sosial seperti ini supaya dapat mengasah bakat kepimpinan dan juga kemahiran kendiri yang diperlukan majikan pada masa kini.
“Ada sesetengah pelajar yang menggunakan alasan memberikan tumpuan kepada pengajian menyebabkan mereka tidak boleh aktif dalam aktiviti sosial seperti ini. Ini sememangnya merugikan kerana mereka tidak punya peluang untuk membina kemahiran kendiri yang amat diperlukan sewaktu ingin memohon pekerjaan kelak,” katanya.
Mengulas mengenai peranan Setiausaha IMYSN, Nur Aisy berkata secara amnya peranan utama setiausaha dalam sesebuah pertubuhan adalah sangat penting. Antara peranan utamanya termasuk pengurusan dokumen dan rekod iaitu menguruskan semua dokumen rasmi, surat-menyurat, minit mesyuarat dan rekod penting organisasi.
“Setiausaha juga bertanggungjawab menguruskan penghantaran surat rasmi, notis mesyuarat dan segala urusan komunikasi antara organisasi dikhidmati dengan kerajaan, pihak berkuasa dan juga pihak berkepentingan.
“Antara tugas lain setiausaha adalah menguruskan mesyuarat, pengurusan rekod keahlian organisasi, memastikan organisasi mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkaitan, termasuk penyimpanan rekod dan laporan yang diperlukan,” katanya.
Setiausaha juga boleh berfungsi sebagai penghubung utama antara pengurusan organisasi, ahli dan pihak luar lain termasuk media dan pihak berkuasa di samping menguruskan kegiatan organisasi seperti membantu dalam penyelarasan aktiviti, program dan kempen.
“Secara ringkasnya, setiausaha berperanan sebagai nadi organisasi yang memastikan operasi berjalan lancar, teratur dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Adalah menjadi harapan saya yang kini memegang jawatan penting ini dapat memainkan peranan penting dalam memperluas inisiatif kelestarian dan merangsang lebih banyak penyertaan belia dalam pembangunan lestari di Iskandar Malaysia,” katanya.
Majlis pelantikan ini telah berlangsung dalam Mesyuarat Tahunan Kali Pertama IMYSN yang dijalankan dengan jayanya di Wisma Sunway Big Box, Iskandar Puteri pada 13 Jun 2025 yang turut dihadiri oleh Pengarah UTMCCS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din dan juga Penolong Pendaftar Kanan UTMCCS, Kiflee Jimpi.

Pelantikan Nur Aisy Yasmin sebagai Setiausaha IMYSN adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berkaitan dengan SDG 13, Tindakan Iklim, dan SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, kerana ia melibatkan usaha ke arah kelestarian dan tindakan terhadap perubahan iklim serta pengurusan sumber yang bertanggungjawab.
