JOHOR BAHRU, 4 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengumumkan pelaksanaan satu kajian penyelidikan yang bertujuan memperkasa kemahiran komuniti dalam sektor pekerjaan hijau di Flat Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE), Kampung Pasir Gudang Baru dan Mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah.
Penyelidikan ini diketuai oleh Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din dan dilaksanakan di bawah inisiatif Projek Ketahanan Hijau dan Peluang Kerja (Green Resilience Opportunity Work – GROW) bagi memperkukuh keupayaan komuniti dalam menjana ekonomi mampan melalui sektor hijau.


Menurut ahli penyelidik, Dr. Norazlina Mohd Yasin, objektif utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti keperluan latihan, tahap kemahiran serta potensi ekonomi komuniti setempat agar mereka dapat mengambil bahagian secara aktif dalam sektor pekerjaan hijau.
“Kajian ini penting untuk memastikan komuniti setempat dapat mengambil peluang daripada perkembangan industri hijau yang semakin berkembang pesat.
Dengan memperkasakan kemahiran mereka, kita berharap dapat membantu dalam meningkatkan pendapatan dan memperkukuh ekonomi komuniti setempat,” katanya ketika ditemui selepas sesi Focus Group Discussion (FGD) yang diadakan bersama wakil komuniti dan pemegang taruh.
Tambah beliau, dapatan awal mendapati komuniti Flat MMHE mempunyai minat yang tinggi terhadap aktiviti pertanian bandar dan kebun komuniti.
“Komuniti di Flat MMHE menunjukkan tahap kemahiran asas yang baik walaupun tidak mendapat latihan formal. Mereka hanya perlukan kursus teknikal, bimbingan berterusan serta akses kepada peralatan asas dan sistem sokongan,” jelasnya.
Bagi penduduk Kampung Pasir Gudang Baru, penyelidikan menunjukkan potensi besar dalam pemprosesan bahan berasaskan kulit kupang. Produk seperti makanan tambahan, kosmetik dan baja organik yang dihasilkan daripada sumber tersebut mampu dikomersialkan, namun komuniti masih memerlukan latihan teknikal, sokongan pemasaran dan akses kepada teknologi moden.
“Mereka memerlukan bimbingan dari segi penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknik pemprosesan serta strategi untuk menembusi pasaran dengan lebih berkesan,” ujar Dr. Norazlina lagi.
Sementara itu, komuniti di Mukim Tanjung Kupang bergantung kepada aktiviti perikanan dan pengurusan pasar, tetapi kurang kemahiran dalam pemprosesan hasil laut dan pemuliharaan sumber.
Komuniti di Tanjung Kupang juga menunjukkan minat terhadap pembangunan aktiviti pelancongan marin seperti restoran terapung dan program menyelam eko-pelancongan.
“Bagi penduduk di mukim Tanjung Kupang pula memerlukan fasiliti, peralatan dan latihan yang bersesuaian dengan kemudahan yang telah mereka miliki iaitu pasar, rumah rakit dan juga restoran terapung,” katanya lagi.
Menurut beliau, semua dapatan telah dibentangkan semasa sesi FGD dan mendapat sambutan positif daripada wakil komuniti dan pihak berkepentingan.
“Secara amnya semua dapatan ini telah pun dibentangkan di sesi FGD yang berlangsung dan semua wakil komuniti terlibat dan juga pemegang taruh telah berpuas hati dan memberikan respon yang amat baik serta sokongan padu terhadap program yang bakal dijalankan,” jelasnya.
Hasil kajian ini akan digunakan untuk membangunkan modul latihan dan program sokongan yang bersesuaian, dengan tujuan menyediakan tenaga kerja berkualiti dalam sektor pekerjaan hijau.
“Kami juga akan memaklumkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi mengambil tindakan susulan yang sesuai mengikut skop kuasa masing-masing bagi memastikan kejayaan agenda ini,” tambahnya.

Inisiatif penyelidikan ini secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim melalui pembangunan kemahiran hijau, SDG 8: Kerja yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi menerusi peluang pekerjaan bersih dan lestari, serta SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan dalam usaha membina masyarakat yang lebih berdaya tahan.
UTM komited untuk terus memainkan peranan dalam memperkukuh keupayaan komuniti luar bandar melalui penyelidikan berimpak tinggi yang bukan sahaja meningkatkan taraf hidup masyarakat, malah menyumbang ke arah masa depan ekonomi hijau negara.
