JOHOR BAHRU, 18 Mei – Kelab Siswa Aktif (KESIA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (UTM CCIN) serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah berjaya menganjurkan Program Pemindahan Ilmu: Transformasi Minyak Masak Terpakai kepada Produk Sabun Mesra Alam yang berlangsung di Balairaya Kampung Pasir, Tampoi, Johor Bahru.
Program ini menarik penyertaan seramai 34 peserta, terdiri daripada golongan ibu tunggal dalam komuniti setempat. Ia bertujuan untuk memberi pendedahan dan kemahiran praktikal dalam mengitar semula minyak masak terpakai kepada sabun mesra alam, di samping membuka peluang baharu untuk menjana pendapatan sampingan.
Menurut penasihat program, Dr. Mira Panadi, program ini merupakan kesinambungan daripada beberapa bengkel yang telah dilaksanakan sebelum ini di lokasi lain seperti House of Tampoi, Sekolah Kebangsaan Medini (SK Medini), dan Kolej Tun Hussein Onn (KTHO).
“Selain memupuk kesedaran terhadap amalan kelestarian alam, kita juga ingin membantu komuniti mendalami kemahiran baharu yang mempunyai potensi ekonomi,” katanya.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran dan pengenalan asas proses pembuatan sabun menggunakan kaedah saponifikasi – iaitu tindak balas kimia antara minyak dan bahan alkali. Sesi teori ini penting bagi memberi kefahaman awal kepada peserta sebelum mereka terlibat secara praktikal dalam penghasilan sabun.

Seterusnya, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan diberi peluang menghasilkan sabun secara langsung di bawah bimbingan fasilitator. Proses ini merangkumi penyediaan bahan, pencampuran mengikut sukatan, serta aspek keselamatan ketika mengendalikan bahan kimia.
Pada sesi petang, peserta didedahkan pula kepada aspek lanjutan seperti keselamatan produk, teknik pembungkusan yang menarik, serta asas penjenamaan bagi membolehkan sabun yang dihasilkan berdaya saing di pasaran. Pendedahan ini secara tidak langsung memberi inspirasi kepada peserta untuk menjadikan kemahiran tersebut sebagai peluang perniagaan dari rumah.

Rata-rata peserta meluahkan rasa seronok dan berpuas hati dengan pengisian program yang padat serta interaktif. Ramai dalam kalangan mereka mengakui memperoleh ilmu baharu yang belum pernah dipelajari sebelum ini, khususnya berkaitan penghasilan sabun secara lestari. Program ini juga membuka mata mereka terhadap potensi menjana pendapatan daripada sisa dapur seperti minyak masak terpakai.
“Saya seronok sangat. Rasa bangga sebab dapat hasilkan sabun sendiri. Selepas ini saya hendak cuba menjual untuk tambah pendapatan,” ujar Puan Rosnah, salah seorang peserta ibu tunggal dari Kampung Pasir.
Majlis penutup diadakan bagi menghargai penglibatan peserta. Setiap peserta menerima sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan.

Program ini membuktikan komitmen UTM dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui pemindahan ilmu yang relevan dan praktikal. Ia turut memberi peluang kepada pelajar UTM untuk mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi, dan pengurusan program menerusi penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan. Program ini juga menerima sokongan penuh daripada pihak UTM CCIN melalui dana khas kelab dan persatuan pelajar.
Penganjur turut menyatakan harapan agar program sebegini dapat diperluas ke lebih banyak komuniti pada masa akan datang, khususnya di kawasan luar bandar yang kurang terdedah kepada peluang seperti ini. Dengan kesinambungan usaha ini, diharap lebih ramai individu akan celik terhadap amalan kelestarian dan berani melangkah ke arah keusahawanan sosial yang memberi manfaat kepada diri dan persekitaran.
Oleh Unit Multimedia (Penulis) dan Leong Kee Yoong (Penyunting)