📝 Ringkasan
UTM telah mengadakan Program Semarak Subuh, Sukan Rakyat dan Ziarah Lestari untuk meningkatkan kesejahteraan mahasiswa. Program ini melibatkan pengisian kerohanian, sukan dan kelestarian, dengan tujuan membantu mahasiswa mencapai kecemerlangan akademik dan memiliki keseimbangan sahsiah, kesejahteraan diri dan keprihatinan terhadap persekitaran.
JOHOR BAHRU, 31 Okt. – Kesejahteraan mahasiswa bukan sahaja bergantung pada pencapaian akademik, malah turut dipengaruhi oleh kekuatan rohani, hubungan sosial serta persekitaran kehidupan yang sihat dan kondusif. Menyedari kepentingan aspek tersebut, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghimpunkan pengisian kerohanian, sukan dan kelestarian menerusi Program Semarak Subuh, Sukan Rakyat dan Ziarah Lestari di kolej kediaman universiti.
Rangkaian program anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNC (HEPA)), itu disertai Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar.
Pengisian dimulakan dengan Program Semarak Subuh di Surau Al-Mahabbah, KTHO, yang menghimpunkan hampir 100 warga kampus untuk menunaikan solat Subuh berjemaah. Program itu turut diisi dengan tazkirah oleh Menjalankan Tugas Pengarah Pusat Islam UTM, Prof. Madya Dr. Nurazmallail Marni, serta sesi perkongsian santai.

Dalam kesempatan tersebut, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry mengingatkan mahasiswa agar tidak mengabaikan pembangunan rohani dalam usaha mencapai kecemerlangan akademik. Beliau turut menggalakkan mereka memanfaatkan surau kolej kediaman sebagai ruang untuk bermuhasabah dan memperkukuh diri.
“Surau bukan sekadar tempat untuk bersujud, tetapi juga ruang untuk bermuhasabah, menenangkan hati dan mencari ilham serta kekuatan dalam menghadapi setiap cabaran kehidupan seharian,” katanya.
Pengisian kerohanian itu diteruskan dengan Sukan Rakyat di perkarangan KTHO, yang menyaksikan Naib Canselor UTM turut menyertai beberapa aktiviti bersama mahasiswa. Penyertaan beliau membuka ruang interaksi yang lebih dekat dan santai antara kepimpinan universiti dengan warga kolej.
Aktiviti yang melibatkan JKP KTHO dan Majlis Felow Merbauan (MAFAN) itu mengetengahkan permainan tradisional dan sukan komuniti seperti boling kelapa, baling selipar dan sepak yem. Selain menyemarakkan suasana kolej, aktiviti berkenaan turut menggalakkan semangat kebersamaan, kesukanan dan gaya hidup aktif dalam kalangan mahasiswa.

Selain pengisian kerohanian dan sukan, kesejahteraan mahasiswa turut diberikan perhatian menerusi sesi perasmian dan Ziarah Lestari di Kolej 9 dan Kolej 10 (K9K10). Inisiatif tersebut memberi penekanan kepada kesedaran terhadap alam sekitar, kebersihan kemudahan kolej kediaman serta kebajikan penghuni.
Menerusi sesi berkenaan, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry berkesempatan melawat Dataran Gemilang Kolej 10, selain beramah mesra dan mendengar maklum balas secara langsung daripada wakil penghuni kolej. Beliau menekankan bahawa persekitaran yang bersih dan terjaga merupakan antara faktor penting dalam menyediakan suasana kehidupan yang selesa, sekali gus membantu mahasiswa memberikan tumpuan kepada pengajian.
“Suasana yang selesa dan kondusif penting agar pelajar dapat menjalani kehidupan kampus dengan baik serta memberikan tumpuan kepada pengajian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, turut menekankan peranan universiti dalam membentuk graduan yang seimbang dari segi ilmu, kemahiran dan sahsiah.
“Mencapai aspirasi UTM ASCEND 2030 bukan sekadar melahirkan graduan berpendapatan tinggi, tetapi membentuk insan holistik yang teguh beradab, mahir berkomunikasi dan tajam dalam berfikir,” katanya.

Secara keseluruhannya, rangkaian program ini selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki keseimbangan sahsiah, kesejahteraan diri dan keprihatinan terhadap persekitaran.
Usaha seumpama ini turut membuka ruang kepada kepimpinan universiti untuk mendekati mahasiswa, memahami keperluan mereka serta menggalakkan penglibatan aktif dalam membentuk komuniti kolej kediaman yang harmoni.
Turut hadir ialah Pengetua KTHO, Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin; Felow Penasihat Program, Prof. Madya Dr. Mohd. Murtadha Mohamad; Ketua Pentadbiran JTNC (HEPA), Mohd Herme Yusman Mohd Tahir; serta Pengarah Program, Nurul Anis Haziqah Mohd Hafidzuddin.
Oleh Muhamad Faqih Amin dan Nazratul Hazirah Rushdan