UTM perkukuh ekosistem bakat Johor melalui Johor Premium Career Fair

SDGSDG4SDG8SDG9

📝 Ringkasan

Johor Premium Career Fair (JPCF) 2026 telah berlangsung di Paradigm Mall Convention Centre, Johor Bahru, pada 7 dan 8 Oktober 2026. Acara ini telah menarik lebih 22 syarikat dari pelbagai sektor industri dan membuka ruang kepada peluang kerjaya dan jaringan profesional bagi bakat muda. Majlis perasmian JPCF telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, yang menekankan kepentingan memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, bakat muda dan pihak industri bagi memastikan graduan kekal relevan, kompeten dan berdaya saing.

JOHOR BAHRU, 7 Okt – Lebih 22 syarikat daripada pelbagai sektor industri berkumpul di Johor Premium Career Fair (JPCF) 2026, yang berlangsung pada 7 dan 8 Oktober 2026 di Paradigm Mall Convention Centre, Johor Bahru, dalam satu inisiatif mempertemukan bakat muda dengan industri serta membuka ruang kepada peluang kerjaya dan jaringan profesional.

Majlis perasmian JPCF telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan kepentingan memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, bakat muda dan pihak industri bagi memastikan graduan kekal relevan, kompeten dan berdaya saing dalam mendepani perubahan landskap pekerjaan.

Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar berucap pada Majlis Perasmian Johor Premium Career Fair 2026

Beliau turut menyifatkan penganjuran JPCF oleh Talentbank dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) sebagai satu platform yang signifikan dalam mempertemukan bakat dengan industri, khususnya dalam konteks Johor yang sedang berkembang sebagai hab ekonomi dan pelaburan. Hubungan yang lebih erat antara universiti dan industri penting dalam memastikan pembangunan bakat sentiasa selari dengan keperluan tenaga kerja semasa dan masa hadapan.

“Penekanan terhadap pendidikan yang relevan, pendedahan kepada dunia pekerjaan serta pembangunan kemahiran memberikan asas penting kepada usaha melahirkan graduan yang bersedia menyumbang kepada ekonomi negara.”

Berbeza daripada program kerjaya yang hanya memfokuskan kepada komuniti sesebuah institusi, JPCF dibuka kepada pelajar dan graduan daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi, sekali gus mewujudkan platform yang lebih inklusif untuk bakat muda meneroka peluang kerjaya. Pendekatan ini membolehkan peserta berinteraksi secara langsung dengan majikan, memahami perkembangan serta keperluan semasa pasaran pekerjaan dan mengenal pasti laluan kerjaya yang bersesuaian dengan bidang pengajian, kemahiran dan kompetensi masing-masing.

 

Ucaptama daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Talentbank, Ben Ho selaku penganjur utama Johor Premium Career Fair

Bagi pelajar dan graduan UTM, khususnya mereka yang bakal diraikan dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-70, JPCF menyediakan peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak industri. Interaksi ini bukan sahaja membuka ruang kepada peluang penempatan pekerjaan, malah membantu peserta memahami jangkaan majikan, membina jaringan profesional serta meningkatkan kesediaan untuk memasuki alam pekerjaan.

Pada masa yang sama, JPCF turut menyediakan ruang kepada staf akademik untuk berinteraksi dan melaksanakan engagement bersama wakil industri. Interaksi dua hala ini membolehkan staf akademik mendapatkan pandangan secara langsung mengenai perkembangan pasaran, perubahan keperluan tenaga kerja dan kompetensi yang diperlukan industri, selain meneroka potensi kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, latihan, pembangunan bakat dan hubungan industri.

Suasana Johor Premium Career Fair yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar, graduan dan pencari kerja
Prof. Dr. Mohd Sharizal mengunjungi reruai

Lebih daripada sebuah acara kerjaya, JPCF membawa aspirasi yang lebih luas dalam memperkukuh kesepadanan antara bakat dan keperluan industri (talent–industry matching). Usaha ini amat signifikan dalam konteks pembangunan ekonomi Johor yang sedang berkembang, khususnya susulan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang berpotensi merancakkan aktiviti pelaburan, pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Seiring dengan perkembangan tersebut, keperluan terhadap tenaga kerja yang kompeten, berkemahiran dan bersedia menghadapi perubahan industri turut semakin penting. Justeru, pembangunan kumpulan bakat yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang bersesuaian perlu diberi perhatian bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peluang dan manfaat yang lebih luas kepada masyarakat Johor.

Sesi serahan sijil

Dalam konteks ini, usaha mempertemukan bakat dengan industri perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan tenaga kerja. Bakat muda bukan sahaja perlu mengetahui lokasi dan jenis peluang pekerjaan yang tersedia, tetapi juga memahami kemahiran yang diperlukan, arah perkembangan industri serta bagaimana mereka boleh menempatkan diri dalam ekosistem ekonomi yang sedang berkembang.

Penganjuran JPCF oleh Talentbank selaku penganjur utama dengan kerjasama Pusat Kerjaya sebagai penghubung antara bakat, institusi pendidikan dan industri, di samping menyokong usaha pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan. Daripada kampus ke industri, daripada kemahiran kepada pekerjaan, inisiatif seperti JPCF membuka ruang kepada bakat muda untuk mengenali dunia pekerjaan dengan lebih dekat, manakala pihak industri pula mendapat akses kepada kumpulan bakat yang berpotensi.

Johor Premium Career Fair 2026 bukan sekadar platform yang mempertemukan pencari kerja dengan majikan, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha membina ekosistem bakat Johor yang lebih bersedia, berdaya saing dan selari dengan keperluan serta masa depan ekonomi negeri.

Explore More

UTM Open Day